IKRAM Academia (Persatuan Akademia IKRAM Malaysia) menyambut baik pengumuman bersejarah YAB Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Langkah ini ialah creative destruction (pemusnahan kreatif) demi membina masa depan pendidikan tinggi yang merdeka dan bertanggungjawab.
Pemansuhan AUKU mestilah menjadi titik permulaan reformasi struktural menyeluruh yang diselaraskan dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menerusi prinsip utama berikut:
1. Penyepaduan “One Higher Education Act”
Menggantikan AUKU dengan kerangka komprehensif yang menyatukan tadbir urus merentasi universiti awam (UA), IPTS, politeknik dan kolej komuniti. Ini merapikan standard tadbir urus dan melonggarkan kawalan ketat penggunan nama/status institusi (Seksyen 24) agar lebih fleksibel serta mesra inovasi pendidikan.
2. Autonomi Kewangan & Hak Berpersatuan (Pindaan Seksyen 15 & 16)
Melonggarkan syarat tegar penubuhan persatuan serta kawalan kewangan pelajar. Kuasa mutlak Naib Canselor untuk membubarkan pertubuhan mahasiswa perlu dipindahkan kepada mekanisme semak dan imbang yang adil.
3. Tribunal Tatatertib Bebas & Kebebasan Pensyarah (Pindaan Seksyen 16B & 16C)
Menggantikan jawatankuasa tatatertib dalaman dengan Tribunal Tatatertib Bebas yang telus dan melibatkan wakil mahasiswa. Tatatertib staf akademik (Seksyen 16C) wajib dipinda bagi menjamin kebebasan pakar menyampaikan wacana ilmiah tanpa ancaman tindakan disiplin.
4. Demokrasi Kampus & Kepimpinan Profesional (Pindaan Seksyen 4 & 12)
Memperkasakan mahasiswa sebagai warga dewasa untuk berpolitik dan mentadbir urus secara mandiri. Pelantikan kepimpinan tertinggi universiti dan Lembaga Pengarah Universiti (LPU) wajib dibuat secara telus menerusi Jawatankuasa Carian (Search Committee) yang bebas daripada campur tangan politik.
5. Konsultasi Inklusif & Terbuka
Penggubalan akta baharu hendaklah melibatkan seluruh pemegang taruh. IKRAM Academia secara rasmi menawarkan kepakaran ahli kami untuk menganggotai jawatankuasa teknikal perangkaan One Higher Education Act.
Kesimpulan
Reformasi ini akan mematangkan demokrasi kampus, menjamin kebebasan akademik, dan menjadikan universiti lebih inklusif demi menjayakan misi Malaysia sebagai hab pendidikan global berintegriti.
Dikeluarkan oleh:
IKRAM ACADEMIA
(Persatuan Akademia IKRAM Malaysia)




