AI dalam Agama: Antara Solusi dan Autoriti Keilmuan

AI dan agama

Teknologi Artificial Intelligence (AI) sedang mengubah landskap cara manusia mendapatkan maklumat dengan begitu pantas.

Jika dahulu masyarakat merujuk kitab, menghadiri kuliah atau bertemu guru agama untuk mendapatkan penjelasan, kini pelbagai persoalan hanya memerlukan satu arahan ringkas di ruangan chatbot sebelum jawapan dipaparkan dalam beberapa saat. 

Perubahan ini menjadikan AI bukan lagi sekadar enjin pencarian maklumat, malah semakin diterima sebagai rakan dialog, penasihat dan sumber rujukan dalam pelbagai bidang termasuk agama.

Persoalan yang lebih besar bukan sama ada AI mampu menjawab persoalan agama, tetapi sejauh manakah masyarakat masih mampu membezakan antara kemudahan teknologi dengan autoriti keilmuan.

AI: Ancaman atau solusi?

Perdebatan tentang AI sering terperangkap dalam dua kutub yang terlalu mudah. Sebahagian pihak melihat AI sebagai ancaman yang wajib dijauhi, manakala sebahagian lagi menganggap AI sebagai penyelesaian kepada hampir semua masalah. Kedua-dua pandangan ini gagal melihat isu sebenar.

Cabaran terbesar bukan terletak pada kecanggihan AI, sebaliknya pada perubahan cara manusia menentukan sumber kebenaran. Apabila masyarakat mula menganggap setiap jawapan yang dipaparkan oleh mesin sebagai rujukan yang setara dengan pandangan ilmuwan, ketika itu autoriti ilmu mula mengalami pergeseran yang sangat halus tetapi amat signifikan.

AI sememangnya membawa pelbagai manfaat kepada dunia dakwah. Pendakwah boleh menyediakan bahan kuliah dengan lebih pantas, menterjemah teks Arab, menghasilkan infografik, menyusun nota pengajian, membina kandungan multimedia dan memperluas capaian dakwah kepada kelompok yang sebelum ini sukar didekati.

Institusi pendidikan Islam di beberapa negara turut memanfaatkan AI untuk mendigitalkan manuskrip lama, mempercepat carian literatur dan memudahkan penyelidikan.

Semua perkembangan tersebut membuka ruang baharu kepada penyebaran ilmu. Namun, manfaat tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menyerahkan proses pentafsiran agama kepada algoritma yang tidak memiliki disiplin keilmuan.

Hakikatnya, AI bukan pendakwah, bukan mufti dan bukan autoriti agama. Sistem ini hanyalah model bahasa yang menghasilkan jawapan berdasarkan corak data yang dipelajari daripada jutaan dokumen.

AI tidak memahami maqasid syariah, tidak menguasai usul fiqh, tidak melalui proses talaqqi, tidak berijtihad dan tidak mempunyai pertimbangan terhadap latar budaya, adat setempat serta realiti masyarakat yang sering menjadi asas kepada sesuatu keputusan hukum. 

Keupayaan menyusun ayat yang kelihatan meyakinkan tidak bermaksud sistem tersebut benar-benar memahami kandungan yang dipersembahkan. Dalam agama, kefasihan bahasa tidak pernah menjadi ukuran tunggal kepada kesahihan ilmu.

Risiko AI dalam kandungan agama

Kelemahan tersebut menjadi semakin ketara apabila AI menghasilkan fenomena yang dikenali sebagai AI hallucination. Sistem mampu menghasilkan jawapan yang kelihatan lengkap dan meyakinkan walaupun bersandarkan maklumat yang tidak pernah wujud.

Dalam konteks agama, keadaan ini boleh membawa kepada petikan hadis palsu, nombor ayat al-Quran yang tersalah, kenyataan ulama yang diputarbelitkan atau rumusan hukum yang bercanggah dengan disiplin syariah.

Lebih membimbangkan, pengguna biasa sering gagal mengesan kesilapan tersebut kerana jawapan dipersembahkan dalam bahasa yang lancar, tersusun dan penuh keyakinan. Kesilapan yang dihias dengan bahasa profesional lazimnya lebih mudah dipercayai berbanding penjelasan yang berhati-hati.

Risiko tersebut menjadi lebih kompleks apabila AI digabungkan dengan teknologi deepfake. Hari ini suara, wajah dan gaya pertuturan seseorang tokoh agama boleh ditiru dengan ketepatan yang semakin tinggi sehingga kelihatan seolah-olah benar-benar sedang menyampaikan ceramah atau mengeluarkan pandangan tertentu.

Tokoh agama tempatan seperti mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli al-Bakri pernah dikaitkan dengan kandungan yang dimanipulasi menggunakan teknologi sedemikian.

Di peringkat antarabangsa, beberapa ilmuwan Islam turut berdepan penyalahgunaan identiti digital yang hampir mustahil dibezakan oleh orang awam. Fenomena ini memperlihatkan bahawa ancaman AI tidak lagi terbatas kepada penciptaan maklumat yang salah, bahkan sudah memasuki fasa pemalsuan identiti keilmuan.

Keadaan tersebut berlaku ketika masyarakat semakin bergantung kepada media sosial sebagai pintu utama mendapatkan maklumat agama. Platform digital membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan kandungan yang kelihatan ilmiah tanpa melalui proses semakan, penyuntingan atau pengesahan oleh institusi berautoriti.

Dalam persekitaran seperti ini, sempadan antara ilmuwan, pencipta kandungan dan sistem AI menjadi semakin kabur. Pengguna akhirnya menilai sesuatu kandungan berdasarkan gaya penyampaian, kualiti visual dan populariti, bukan lagi berdasarkan latar keilmuan penyampainya.

Cabaran AI di Malaysia

Malaysia turut berdepan cabaran yang sama. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memperkenalkan Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu bagi memastikan penerbitan kandungan digital mematuhi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta mengelakkan penyebaran maklumat yang mengelirukan.

Langkah tersebut menunjukkan bahawa cabaran AI bukan lagi isu masa depan, sebaliknya sudah menjadi realiti yang memerlukan kerangka tadbir urus baharu. Garis panduan sahaja bagaimanapun tidak memadai sekiranya masyarakat masih menganggap setiap kandungan yang dipaparkan oleh teknologi sebagai benar hanya kerana kelihatan moden dan meyakinkan.

Kebimbangan tersebut disokong oleh perkembangan semasa. Kementerian Komunikasi melaporkan peningkatan ketara penyalahgunaan teknologi deepfake bagi tujuan penipuan dan penyamaran identiti.

Aduan berkaitan kandungan deepfake meningkat lebih lapan kali ganda dalam tempoh berkenaan, daripada 917 aduan pada 2024 kepada 3,612 aduan pada 2025 sebelum mencecah 7,967 aduan setakat 15 Jun 2026.

Walaupun majoriti kes melibatkan jenayah kewangan, teknologi yang sama berpotensi dimanipulasi untuk menghasilkan ceramah palsu, memalsukan kenyataan tokoh agama serta menyebarkan dalil dan hukum yang dijana AI tanpa kesahihan.

Dalam ekosistem media sosial yang mengutamakan kepantasan mengatasi ketepatan, kandungan sensasi lazimnya tular lebih awal berbanding penjelasan rasmi daripada pihak berautoriti.

Fenomena tersebut boleh difahami melalui konsep Algorithmic Authority, iaitu kecenderungan manusia mempercayai maklumat yang dihasilkan oleh algoritma semata-mata kerana teknologi dianggap lebih pantas, lebih pintar dan lebih objektif.

Tahap kepercayaan AI dan krisis autoriti

Pada masa yang sama, teori Authority Bias menjelaskan bahawa manusia lebih mudah menerima sesuatu kenyataan apabila disampaikan secara profesional, tersusun dan meyakinkan. Dalam persekitaran digital hari ini, kredibiliti semakin jarang diukur berdasarkan keluasan ilmu, sanad keilmuan atau rekod kepakaran.

Sebaliknya, persepsi terhadap kewibawaan dibentuk oleh reka bentuk visual, kelancaran bahasa, jumlah tontonan, tanda pengesahan akaun dan keupayaan algoritma mengangkat sesuatu kandungan ke halaman utama pengguna.

Keadaan ini menyebabkan jawapan yang dijana AI mampu memperoleh tahap kepercayaan yang menyamai, malah kadangkala mengatasi, pandangan daripada ilmuwan yang benar-benar memiliki autoriti keilmuan.

Perubahan tersebut diperkukuh lagi oleh budaya ekonomi perhatian atau attention economy yang menjadi asas kepada hampir semua platform digital. Dalam model perniagaan ini, perhatian pengguna ialah komoditi paling bernilai.

Algoritma tidak memberi ganjaran kepada kandungan yang paling tepat, sebaliknya mengutamakan kandungan yang paling mampu mengekalkan perhatian pengguna. Faktor seperti kadar tontonan, tempoh menonton, komen, perkongsian dan reaksi emosi menjadi ukuran utama untuk menentukan capaian sesuatu kandungan.

Akibatnya, penjelasan agama yang memerlukan penghuraian panjang sering tenggelam, manakala jawapan ringkas, sensasi dan kontroversi lebih mudah menembusi ruang digital. 

Dalam keadaan sedemikian, algoritma sedikit demi sedikit mula menentukan kandungan agama yang ditemui masyarakat setiap hari, walaupun algoritma tidak pernah memahami nilai kebenaran yang terkandung di dalamnya.

Di sinilah muncul satu krisis yang jarang dibincangkan, iaitu krisis autoriti epistemologi. Persoalan utama bukan lagi sama ada AI boleh memberikan jawapan yang salah, tetapi siapakah yang berhak menentukan sesuatu jawapan dianggap benar.

Sejak sekian lama, tradisi Islam membina autoriti ilmu melalui proses talaqqi, sanad, penguasaan disiplin ilmu, adab berguru dan pengiktirafan komuniti ilmuwan. Hari ini, sebahagian proses tersebut semakin diketepikan apabila masyarakat lebih cenderung menerima jawapan yang muncul paling pantas di skrin telefon.

Dalam keadaan tertentu, algoritma secara tidak langsung sedang mengambil alih fungsi memilih siapa yang didengari, siapa yang diabaikan dan siapa yang dianggap paling berwibawa.

Perubahan budaya, makumat tidak tepat

Perubahan ini turut mengubah budaya bertanya. Jika suatu ketika dahulu seseorang akan bertanya, “Apakah pandangan mufti tentang isu ini?” atau “Apakah pendapat ulama yang muktabar?”, kini persoalan yang semakin lazim kedengaran ialah, “Apa kata AI?” atau “Apa jawapan chatbot?”

Perubahan tersebut kelihatan kecil, namun membawa implikasi besar terhadap struktur pemikiran masyarakat. Yang sedang berubah bukan sekadar medium mendapatkan maklumat, tetapi mekanisme menentukan sumber autoriti. Apabila mesin mula menggantikan proses berguru, masyarakat berisiko kehilangan keupayaan membezakan antara maklumat, ilmu dan hikmah.

Lebih membimbangkan, budaya mendapatkan jawapan segera semakin menghakis tradisi menuntut ilmu yang menjadi kekuatan tamadun Islam sejak berabad-abad. Ilmu agama tidak pernah dibina melalui satu soalan dan satu jawapan.

Kefahaman berkembang melalui pembacaan yang luas, penelitian terhadap pelbagai pandangan, penghormatan kepada disiplin ilmu serta kesediaan menerima bahawa tidak semua persoalan mempunyai jawapan yang mudah.

AI pula direka untuk menjawab hampir setiap pertanyaan yang diajukan. Apabila teknologi sentiasa menawarkan jawapan segera, pengguna sedikit demi sedikit kehilangan kesabaran untuk meneliti, menyemak dan mendalami sesuatu isu.

Kebimbangan sebenar bukannya apabila AI menghasilkan jawapan yang salah, tetapi apabila manusia semakin hilang budaya menyemak sama ada sesuatu jawapan benar, lengkap dan sesuai dengan konteks semasa.

Kesan jangka panjang jauh lebih besar daripada penyebaran maklumat yang tidak tepat. Masyarakat akan membesar dalam budaya yang menganggap kepantasan lebih penting daripada ketelitian, keyakinan lebih bernilai daripada kesahihan dan populariti lebih utama daripada autoriti.

Apabila keadaan tersebut menjadi norma, institusi ilmu akan kehilangan pengaruh secara perlahan-lahan bukan kerana gagal berfungsi, tetapi kerana masyarakat tidak lagi melihat keperluan untuk merujuk kepada institusi tersebut. Inilah bentuk perubahan sosial yang paling sukar disedari kerana berlaku secara beransur-ansur melalui tabiat penggunaan teknologi harian.

Namun, menolak AI secara mutlak juga bukan penyelesaian yang bijaksana. Sejarah membuktikan bahawa setiap perkembangan teknologi sentiasa mengubah cara manusia menyampaikan ilmu.

Mesin cetak pernah dianggap mengancam tradisi penyalinan kitab, radio dan televisyen pernah dipersoalkan sebagai medium dakwah, manakala Internet pernah dilihat sebagai ancaman kepada institusi pendidikan.

AI pembantu ilmuwan

Hari ini, semua teknologi tersebut menjadi sebahagian daripada ekosistem penyebaran ilmu. AI juga berpotensi memainkan peranan yang sama sekiranya digunakan dalam kerangka tadbir urus yang jelas dan beretika.

Pendekatan yang lebih matang ialah meletakkan AI sebagai pembantu kepada ilmuwan, bukannya pengganti ilmuwan. AI boleh mempercepat penyelidikan, membantu penterjemahan, memudahkan carian literatur, menghasilkan bahan visual, menganalisis data dan memperluas akses kepada ilmu.

Namun, setiap kandungan agama yang dijana AI perlu melalui proses semakan oleh individu yang memiliki autoriti keilmuan sebelum diterbitkan atau dikongsi kepada masyarakat. Dalam bidang agama, kelajuan tidak boleh mengatasi ketepatan, manakala kecekapan teknologi tidak boleh menggantikan amanah ilmu.

Dalam masa yang sama, negara memerlukan kerangka literasi AI yang lebih menyeluruh. Literasi tersebut tidak boleh sekadar mengajar masyarakat menggunakan aplikasi AI, tetapi perlu membentuk keupayaan menilai kredibiliti sumber, mengenal pasti kandungan sintetik, memahami risiko AI hallucination, mengesan manipulasi deepfake dan membezakan antara jawapan algoritma dengan pandangan ilmuwan yang berautoriti.

Pendidikan sebegini perlu diterapkan di sekolah, universiti, institusi pengajian Islam dan latihan profesional supaya masyarakat bukan sahaja celik teknologi, tetapi turut memiliki keupayaan membuat pertimbangan yang berasaskan ilmu.

Institusi agama juga perlu bergerak lebih pantas daripada perkembangan teknologi. Fatwa, penjelasan hukum dan panduan berkaitan AI tidak boleh hanya bersifat reaktif selepas sesuatu isu menjadi tular.

Pendekatan yang lebih proaktif diperlukan melalui pembangunan garis panduan penggunaan AI dalam dakwah, pensijilan kandungan agama berasaskan AI, latihan literasi digital kepada pendakwah serta kerjasama strategik antara pakar syariah, penyelidik AI dan penggubal dasar. Cabaran baharu memerlukan bentuk kepimpinan ilmu yang baharu tanpa mengorbankan prinsip asas agama.

Kesimpulan: Autoriti kekal di tangan manusia

Akhirnya, cabaran terbesar bukan terletak pada AI yang semakin pintar, tetapi pada manusia yang semakin mudah menyerahkan pertimbangan kepada mesin. AI tidak mempunyai amanah, tanggungjawab moral, pengalaman berguru atau kebijaksanaan yang lahir daripada tradisi keilmuan Islam.

Mesin mampu memproses berjuta-juta halaman kitab dalam beberapa saat, tetapi tidak mampu memahami hikmah di sebalik sesuatu hukum, menimbang realiti masyarakat atau membezakan antara maslahat dan mudarat dalam kehidupan manusia.

Masa depan dakwah tidak ditentukan oleh secanggih mana AI mampu menghasilkan jawapan, tetapi oleh sejauh mana masyarakat mempertahankan integriti ilmu, memelihara autoriti keilmuan dan memastikan setiap kemajuan teknologi sentiasa dipandu oleh etika, disiplin serta tanggungjawab.

AI boleh menjadi pemudah cara kepada penyebaran ilmu, tetapi autoriti mentafsir agama mesti terus kekal di tangan manusia yang memiliki ilmu, amanah dan kelayakan.

Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

Mohd Radzman Basinon
Pengarah Kreatif
Sixtysix Action Academy

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia