Bilik Darjah Pasif, Gaya Kilang Sekat Potensi Anak? (Bhg. 2)

Bilik Darjah Pasif, Gaya Kilang Sekat Potensi Anak? (Bhg. 2)

Dalam artikel sebelum ini, kita telah melihat bagaimana amalan ‘gaya kilang’ dan budaya duduk diam di bilik darjah akhirnya menjadi penghalang utama kepada perkembangan emosi serta potensi murid.

Krisis sosiopendidikan ini memberi impak yang sangat nyata, bermula daripada pelbagai isu kesihatan mental di sekolah sehinggalah kepada lambakan graduan yang mengalami ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran kerja masa kini.

Jika kita sudah tahu sistem lama ini menjejaskan potensi masa depan anak-anak, apakah formula pembelajaran aktif dan idea praktikal yang boleh kita tiru serta-merta untuk memecahkan kekakuan ruang ini?

Transformasi fungsi ruang: Reka bentuk fizikal yang dinamik

Australia dan New Zealand menjadi antara perintis dunia yang memperkenalkan konsep bilik darjah boleh ubah menggunakan dinding mudah alih serta perabot serbaguna. 

 

Pendekatan ini diperkemaskan lagi oleh negara Nordic seperti Denmark dan Finland melalui reka bentuk bilik darjah berzon, serta turut dipraktikkan melalui model classe flexible di Perancis [1]. Perubahan praktikal ini diterjemahkan melalui tiga fungsi zon utama di dalam bilik darjah iaitu [2]:

  • Zon Pengajaran: Meja dan kerusi murid disusun bertingkat atau rapat berbentuk bulatan. Susunan ini memastikan semua murid dapat melihat guru dengan jelas tanpa terlindung, sekali gus membantu mereka memberikan fokus yang penuh.
  • Zon Kolaborasi: Menyediakan meja beroda yang mudah dicantum atau dipisahkan mengikut saiz kumpulan. Zon ini turut dilengkapi kerusi khas yang boleh bergerak sedikit untuk mengurangkan rasa bosan murid, sekali gus merangsang perbincangan berkumpulan yang lebih aktif.
  • Zon Kendiri (Sudut Sunyi): Ruang khas berpenghadang yang memberikan sedikit privasi di dalam bilik darjah. Sudut ini membolehkan murid mengasingkan diri seketika daripada suasana bilik darjah yang bising bagi menenangkan semula fikiran mereka yang penat atau serabut akibat rangsangan melampau.

Anjakan paradigma kurikulum: Reka bentuk pembelajaran yang hidup

Bagi menyokong bilik darjah yang hidup, struktur kurikulum perlu dirombak dengan mengurangkan silibus yang padat dan kaku. Kelonggaran ini bukan bermaksud menurunkan kualiti pendidikan.

Sebaliknya, ia memberi ruang kepada murid untuk benar-benar memahami ilmu melalui aktiviti yang menyeronokkan, bukannya sekadar menghafal secara pasif demi lulus peperiksaan. Pendekatan ini telah pun terbukti berjaya di peringkat dunia melalui beberapa kaedah utama iaitu [3]:

  • Singapura (Fokus Kemahiran Berfikir): Melalui konsep “Teach Less, Learn More”, masa untuk guru berdiri bercakap di depan bilik darjah dikurangkan. Sebaliknya, murid diberikan lebih banyak ruang untuk berbincang dan menyelesaikan masalah bersama rakan-rakan.
  • Finland (Kebebasan Mengajar): Negara ini membuang terus sistem peperiksaan berpusat yang membebankan. Langkah ini membebaskan guru daripada sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang kaku, sekali gus memberi mereka peluang merancang aktiviti pembelajaran yang lebih kreatif, santai dan sesuai dengan keperluan murid.
  • Estonia (Kurikulum Masa Depan): Murid didedahkan dengan dunia digital seperti asas pengekodan sejak peringkat awal lagi. Kemahiran ini tidak dihafal melalui buku teks, sebaliknya diajar secara praktikal melalui projek berkumpulan dan penerokaan aktif mengikut minat anak-anak.

Mengangkat nilai kemanusiaan: Murid sebagai subjek, bukan objek

Pendidikan di negara maju kini memberi tumpuan besar kepada usaha membentuk nilai kemanusiaan dalam diri murid.

Apabila anak-anak diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk mengurus diri serta ruang belajar mereka, sekolah sebenarnya sedang melatih watak dan emosi mereka menjadi lebih matang melalui tindakan praktikal [4]. Amalan murni ini dapat dilihat dengan jelas melalui model yang diterapkan oleh beberapa buah negara:

bilik darjah

  • Belanda dan Estonia (Kebebasan Belajar): Memberikan kebebasan penuh kepada murid untuk memilih sendiri cara, sudut dan posisi belajar yang paling selesa bagi mereka di dalam bilik darjah. Sama ada mahu duduk di lantai, di sudut santai atau di meja, pilihan berada di tangan mereka sendiri.
  • Jepun (Didikan Nilai Melalui Ruang): Melatih murid membersihkan bilik darjah dan menghidangkan makanan secara kendiri setiap hari. Melalui tugasan fizikal ini, sifat empati, rasa bertanggungjawab dan semangat bekerjasama dapat dipupuk dalam diri anak-anak sejak awal usia lagi.

 

Mengapa kita tersekat? Kekangan fizikal dan mitos budaya

Di Malaysia, perubahan ini berjalan sangat perlahan. Hasrat murni dasar pendidikan kita sering kali tersangkut disebabkan oleh dua tembok besar yang menghalang potensi anak-anak.

Tembok pertama ialah infrastruktur tradisional. Agenda moden PAK-21 rancak dilaungkan untuk melahirkan generasi 4K.

Namun, impian besar ini akhirnya tersungkur apabila berhadapan dengan realiti fizikal sekolah iaitu bilik darjah yang sempit, bilangan murid yang terlalu padat serta lambakan meja kayu yang berat dan kaku yang menyukarkan sebarang aktiviti kolaboratif.

Tembok kedua pula ialah mitos budaya disiplin. Acuan pemikiran lama masih tegar menganggap bilik darjah yang sunyi serta murid duduk sopan dan diam mendengar sebagai satu-satunya tanda pengajaran yang berkesan.

Akibatnya, elemen kolaborasi dan komunikasi yang menuntut murid bergerak serta rancak berinteraksi sering kali disalah erti sebagai suasana yang bising dan hilang kawalan.

budak sekolah

Kita perlu berani merombak takrifan bilik darjah daripada ruang yang menuntut murid duduk diam menerima arahan kepada medan yang melatih mereka berani bertanya, berinteraksi dan berfikir secara kritis.

Kemahiran masa depan tidak akan pernah lahir daripada ruang yang terkunci. Murid yang bergerak aktif mencari jawapan bukanlah sedang membuat bising, sebaliknya mereka sedang mengaktifkan otak untuk berkembang mengikut fitrah semula jadi manusia.

Tuntutan keadilan terhadap biologi murid: Langkah segera tanpa kos

Memecahkan belenggu bilik darjah yang kaku di sekolah kita sebenarnya tidak memerlukan peruntukan belanja yang besar. Kita boleh memulakan perubahan ruang bilik darjah secara serta-merta melalui beberapa langkah mudah tanpa modal ini:

  • Zon Karpet dan Lantai: Tanpa perlu membeli perabot serbaguna yang mahal, guru boleh mengalih barisan meja di bahagian hadapan untuk mewujudkan satu ruang kosong di atas lantai. Ini membolehkan murid menukar posisi duduk secara santai semasa sesi perbincangan, sekali gus merapatkan jurang yang kaku antara guru dan murid.
  • Celah Masa untuk Regangan: Menyelitkan aktiviti regangan fizikal yang mudah selama dua hingga tiga minit di tengah-tengah sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Tindakan ringkas ini bukan satu pembaziran masa, sebaliknya merupakan formula biologi untuk mengecas semula fokus otak murid yang mula penat akibat terlalu lama duduk.
  • Memanfaatkan Persekitaran Luar Bilik Darjah: Tidak perlu terus terkurung di dalam bilik darjah yang padat. Sesekali, alihkan aktiviti pembelajaran ke koridor sekolah, pondok bacaan, atau di bawah pohon yang rendang untuk meredakan ketegangan emosi murid dan memberikan suasana pembelajaran yang lebih segar dan alami.

 

Kesimpulan: Bergerak mencergaskan minda, kekakuan mengehadkan potensi

Bergerak bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi merupakan keperluan biologi yang menghidupkan fungsi otak untuk menyerap ilmu. Menyediakan ruang pembelajaran yang dinamik dan menyantuni pergerakan ini bukanlah sekadar perhiasan kosmetik, sebaliknya ialah tuntutan keadilan terhadap sistem fisiologi anak-anak kita.

Sudah tiba masanya kita merendahkan ego orang dewasa, memecahkan acuan sistem lama dan mula melihat dunia pendidikan daripada aras pandang anak-anak. Terima kasih kerana setia mengikuti kembara 10 perbincangan dalam Siri CELOTEH ini. 

Semoga setiap langkah kecil kita dalam menyantuni fitrah murid ini menjadi titik mula kepada gelombang perubahan yang lebih besar, demi menyediakan ruang hidup yang subur mengikut acuan fitrah insani yang murni.

Dr Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia

Nota: Artikel ini ialah artikel ke-10 (terakhir) daripada Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.

Rujukan

[1] OECD. (2017). The OECD handbook for innovative learning environments. OECD Publishing. https://www.oecd.org/content/dam/oecd/en/publications/reports/2017/06/the-oecd-handbook-for-innovative-learning-environments_g1g7aeda/9789264277274-en.pdf

[2] Nair, P., & Fielding, R. (2013). The language of school design: Design patterns for 21st century schools (2nd ed.). DesignShare.

[3] Sahlberg, P. (2011). Finnish lessons: What can the world learn from educational change in Finland?. Teachers College Press. (Diulang petik untuk hujah anjakan kurikulum)

[4] Ryan, R. M., & Deci, E. L. (2017). Self-determination theory: Basic psychological needs in motivation, development, and wellness. The Guilford Press.

[5] World Bank. (2026). Malaysia Economic Monitor, April 2026: Raising the Ceiling, Raising the Floor – The Jobs Agenda as a Productivity Agenda. World Bank Group.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia