Insiden Pelancong Malaysia di China: Iktibar Buat Kita

Insiden Pelancong Malaysia di China: Iktibar Buat Kita | IKRAM

“Setiap perkongsian di media sosial meninggalkan jejak digital yang boleh kekal dalam tempoh yang panjang dan memberi implikasi terhadap reputasi individu, organisasi mahupun negara.”

Dalam era digital hari ini, media sosial memainkan peranan yang sangat signifikan dalam membentuk persepsi dan tingkah laku masyarakat. Menurut laporan Digital 2026: Malaysia oleh DataReportal, Malaysia mempunyai kira-kira 30.7 juta identiti pengguna media sosial aktif, bersamaan sekitar 85 peratus daripada jumlah penduduk negara ini.

Di peringkat global pula, jumlah pengguna media sosial telah mencecah lebih 5.6 bilion pengguna, iaitu hampir 69 peratus daripada populasi dunia. Secara purata, pengguna di seluruh dunia menghabiskan lebih dua jam sehari di platform media sosial.

Bukan hanya medium komunikasi 

Perkembangan ini menunjukkan bahawa media sosial bukan lagi sekadar medium komunikasi, sebaliknya telah menjadi ruang utama pembentukan persepsi, penyebaran maklumat, pembinaan naratif dan pengaruh sosial. 

Dalam konteks pelancongan, setiap kandungan yang dimuat naik berpotensi membentuk persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sesebuah negara dan rakyatnya.

Justeru, pengguna media sosial perlu mengamalkan literasi digital yang tinggi, bertanggungjawab dalam perkongsian kandungan serta sentiasa mempertimbangkan implikasi sosial, budaya dan reputasi sebelum memuat naik sebarang bahan ke platform digital.

Isu pelancong Malaysia

Susulan video tular yang memaparkan seorang pelancong Malaysia berkongsi pengalamannya ketika berada di China sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen, individu berkenaan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi akaun TikTok miliknya.

Dalam perkongsian tersebut, beliau memaklumkan bahawa dirinya menerima dan mengambil maklum setiap teguran serta pandangan yang diberikan oleh masyarakat dengan hati terbuka. Daripada perspektif teori etika, insiden ini boleh dianalisis melalui beberapa pendekatan utama.

Pertama, menurut Teori Etika Deontologi yang diasaskan oleh Immanuel Kant, setiap individu mempunyai tanggungjawab moral untuk bertindak berdasarkan prinsip yang betul tanpa mengira situasi atau akibatnya. Dalam konteks pelancongan, menghormati maruah, budaya dan sensitiviti masyarakat tempatan merupakan satu kewajipan moral yang perlu dipatuhi oleh setiap pelancong.

Permohonan maaf dibuat atas kesilapannya serta menerima segala kritikan dan nasihat yang diberikan. Pada masa yang sama, beliau turut melantik peguam bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah, tohmahan tidak berasas atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi dan kredibilitinya.

Melalui lensa Teori Utilitarianisme yang diperkenalkan oleh Jeremy Bentham dan John Stuart Mill, sesuatu tindakan dinilai berdasarkan kesan atau akibat yang dihasilkannya terhadap kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.

Tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan, menjejaskan hubungan antara masyarakat serta mencalar imej negara jelas tidak memberikan manfaat kepada majoriti pihak dan oleh itu dianggap tidak beretika.

Peringatan penting 

Walau bagaimanapun, isu ini harus dilihat dalam perspektif yang lebih luas. Insiden tersebut merupakan satu peringatan penting kepada semua rakyat Malaysia bahawa setiap individu yang melancong ke luar negara bukan sahaja membawa identiti diri, malah turut membawa imej negara.

Perkara ini selari dengan Teori Etika Kebajikan (Virtue Ethics) oleh Aristotle yang menekankan pembentukan sahsiah dan akhlak yang baik seperti hormat-menghormati, kesederhanaan, empati dan kebijaksanaan.

Nilai-nilai ini amat penting dalam konteks pelancongan antarabangsa kerana setiap pelancong bukan sahaja mewakili dirinya sendiri, tetapi turut menjadi duta kecil yang mencerminkan identiti serta nilai masyarakat negaranya. 

Pelancongan bukan sekadar aktiviti rekreasi atau penerokaan destinasi baharu, tetapi juga merupakan satu bentuk diplomasi rakyat. Tingkah laku pelancong mampu membentuk persepsi masyarakat antarabangsa terhadap sesebuah negara.

Dalam era media sosial tanpa sempadan, setiap tindakan, pertuturan dan tingkah laku seseorang boleh dirakam, dikongsi dan menjadi perhatian masyarakat global dalam tempoh yang singkat

Tampilkan akhlak jati diri bangsa 

Justeru, aspek adab, sensitiviti budaya dan penghormatan terhadap masyarakat tempatan perlu sentiasa diberi keutamaan. Insiden tersebut bukan sahaja mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen, malah turut mengundang kecaman daripada masyarakat Malaysia sendiri.

Sebagai rakyat Malaysia yang terkenal dengan nilai kesopanan, hormat-menghormati dan semangat muhibah, kita sewajarnya menampilkan akhlak serta tingkah laku yang mencerminkan jati diri bangsa. Menghormati budaya, adat resam dan sensitiviti masyarakat tempatan merupakan asas penting dalam memastikan hubungan antara rakyat pelbagai negara terus diperkukuh.

Insiden ini juga memperlihatkan betapa pentingnya literasi digital dan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda. Sebelum memuat naik sebarang kandungan di media sosial, setiap individu perlu mempertimbangkan implikasi yang mungkin timbul, bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi juga terhadap imej negara.

Pepatah Melayu ada menyebut, “Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak”, yang membawa maksud seseorang perlu menyesuaikan diri dengan adat dan budaya setempat.

Hormati negara orang 

Menghormati negara orang bukan bermaksud kita perlu bersetuju dengan semua amalan atau budaya mereka, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu mengelakkan tindakan, pertuturan atau perlakuan yang boleh dianggap menghina, memperlekeh atau menyinggung perasaan masyarakat setempat.

Sikap saling menghormati merupakan asas penting dalam membina persefahaman antara budaya serta memperkukuh hubungan antara rakyat pelbagai negara.

Sebagai pelancong, kita bukan sahaja membawa identiti diri, malah turut membawa nama keluarga, masyarakat dan negara. Justeru, setiap tingkah laku yang dipamerkan di luar negara sewajarnya mencerminkan nilai kesopanan, adab dan budi bahasa yang menjadi teras jati diri rakyat Malaysia. 

Akhirnya, setiap pengalaman, termasuk kesilapan, seharusnya dijadikan iktibar. Yang lebih penting ialah kesediaan untuk mengakui kesilapan, belajar daripadanya dan berusaha menjadi individu yang lebih matang, bertanggungjawab dan beretika. Sesungguhnya, adab dan budi bahasa merupakan cerminan sebenar jati diri rakyat Malaysia di persada dunia.

Marilah kita renungi bersama bahawa setiap langkah kita di bumi asing bukan sekadar mewakili diri sendiri, tetapi turut mencerminkan nilai, budaya dan maruah negara. Sesungguhnya, apabila berada di negara orang, kita bukan sekadar pelancong, tetapi duta kecil yang membawa nama dan jati diri Malaysia ke persada dunia.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia,
Ahli Majlis Bahasa Negara & Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia