SERI KEMBANGAN – Bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai isu Palestin dan konflik geopolitik di Asia Barat, program penerangan PACE Turun Sekolah (POTS) telah dilancarkan.
Program Siri POTS pertama anjuran Palestine Centre of Excellence (PACE) ini telah bermula di Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak, yang disertai lebih 700 pelajar.
POTS diserikan dengan pameran dan perkongsian interaktif kepada para pelajar untuk mendedahkan sejarah Palestin, perkembangan semasa serta realiti kehidupan rakyat yang terus berdepan penjajahan dan konflik.

Melalui program sebegini, PACE percaya bahawa generasi muda bukan sahaja perlu celik terhadap isu semasa dan global, malah berani berfikir secara kritis serta mempunyai semangat untuk berorganisasi, memimpin dan bertindak demi membawa perubahan yang positif kepada masyarakat.
Selepas itu, Siri POTS yang kedua diteruskan dengan penyertaan lebih 600 pelajar di Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’, Jeram, Kuala Selangor. Kedua-dua program dikendalikan oleh Huzayl Mohammad Noor Sia, Pegawai Penyelidik dan Advokasi PACE.

PACE merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua pihak sekolah atas jemputan dan kerjasama yang diberikan, serta sambutan baik ratusan pelajar terhadap program POTS ini.
Dalam pada itu, PACE turut membuka jemputan kepada mana-mana sekolah yang berminat dengan program POTS atau individu yang ingin menjadi sukarelawan PACE, dengan menghubungi terus melalui FB PACE di pautan https://www.facebook.com/palestinecentreofexcellence.




