Dalam artikel siri sebelum ini, kita telah membincangkan bagaimana meja makan sering menjadi “medan perang” harian akibat anak yang cerewet makan, serta belajar mengenali isu biologi seperti food neophobia.
Hari ini, mari kita telusuri pula satu tabiat popular yang sering dianggap sebagai “penyelamat” oleh ibu ayah. Demi mengelakkan konflik dan mahu anak duduk diam sewaktu makan, gajet akhirnya dijadikan “ubat bius” visual.
Kita sering menyedapkan hati, kononnya asalkan rezeki makanan itu masuk ke perut, kaedah menyuap sambil menonton skrin itu bukanlah satu masalah besar.
Benarkah begitu? Di sebalik kemudahan kosmetik ini, ada harga biologi yang sangat mahal sedang dibayar oleh anak kita, terutamanya pada perkembangan minda dan keupayaan mereka untuk berkomunikasi.
Mengapa ibu ayah memilih “ubat bius” ini?
Proses menyuap anak kecil makan selalunya sangat menguji kesabaran dan mengambil masa yang lama. Pada fasa usia awal ini, anak-anak secara fitrahnya sedang melalui fasa perkembangan fizikal yang aktif, di mana mereka mempunyai dorongan biologi untuk sentiasa meneroka dan bergerak.
Kerana mahukan “jalan damai” supaya anak tidak ke sana ke mari dan suasana makan kekal tenang, gajet akhirnya dijadikan pilihan utama. Apabila skrin menyala, jasad anak serta-merta terkunci dan tugas menyuap menjadi begitu mudah serta cepat. Namun, di sebalik kemudahan sementara ini, kita sebenarnya sedang menyia-nyiakan satu proses pembelajaran yang sangat penting untuk mereka [1].
Bagaimana gajet merampas fitrah anak?
Kanak-kanak dilahirkan dengan fitrah untuk meneroka persekitaran mereka melalui interaksi sesama manusia, bukannya peranti [1, 2].
Otak mereka berkembang paling optimum melalui konsep interaksi responsif “serve and return”, iaitu proses dua hala apabila ibu ayah membalas (return) setiap ekspresi, kata-kata, bunyi atau pergerakan yang dimulakan oleh anak (serve) dengan penuh perhatian, sama ada melalui tatapan mata, senyuman dan suara atau kesemuanya sekali [2].
Waktu makan sepatutnya menjadi ruang berharga untuk menghidupkan corak interaksi ini, di samping menjadi medan utama untuk perkembangan deria anak. Melalui suapan yang tenang, anak sepatutnya belajar fokus kepada hidangan di depan mereka, mengenal tekstur, menghidu aroma, dan meneroka rasa sambil disulami perbualan dua hala dengan ibu ayah.
Malangnya, apabila mata anak terpaku pada skrin, bukan sahaja komunikasi bertukar menjadi satu hala, malah seluruh eksplorasi deria ini turut terhenti. Proses makan yang sepatutnya penuh dengan rangsangan rasa di lidah, latihan motor, serta kesedaran terhadap makanan, akhirnya bertukar menjadi proses mekanikal mengisi perut yang kosong semata-mata [3].
Keadaan inilah yang dikenali sebagai pendedahan skrin waktu makan (mealtime screen exposure). Kajian membuktikan bahawa pendedahan yang berterusan begini boleh melumpuhkan isyarat biologi anak untuk mengenali rasa kenyang, sekali gus memburukkan lagi isu anak sehingga menjadi seorang yang cerewet makan (picky eater) [3].
Tanda amaran: Mengapa otak anak “ketagih” stimulasi skrin?
Pada peringkat usia awal, pancaran visual skrin yang bergerak pantas melepaskan hormon dopamin (hormon keseronokan) dalam kuantiti yang sangat tinggi ke dalam otak anak secara mendadak [4].
Apabila kita membiasakan tabiat “menyuap gajet” bersama makanan, otak anak mula membuat satu hubung kait yang salah, seolah-olah aktiviti makan hanya menyeronokkan jika ada skrin di depan mata.
Akibatnya, kenikmatan semula jadi untuk menikmati hidangan telah dipadamkan oleh kenikmatan tiruan daripada gajet. Keadaan ini menyebabkan anak menjadi cepat bosan, gelisah dan gagal fokus apabila skrin dimatikan [4].
Ibu ayah wajib berwaspada dengan beberapa tanda amaran utama apabila ketagihan stimulasi tiruan ini mula menjejaskan kawalan emosi dan tingkah laku anak:
- Kehilangan fokus semula jadi: Anak sukar memberikan tumpuan kepada perkara lain di luar skrin dan kurang berminat untuk meneroka persekitaran fizikal mereka.
- Sindrom “dalam dunia sendiri”: Anak kurang memberi respons, lambat bertindak balas, atau langsung tidak menoleh apabila namanya dipanggil kerana mindanya sedang “tenggelam” dalam stimulasi visual peranti.
- Tantrum waktu makan yang teruk: Anak mula menangis, meronta atau bertindak menutup mulut rapat-rapat sebagai tanda protes tidak mahu makan apabila skrin ditutup [4].
Bius skrin: Penghalang komunikasi dua hala ibu, ayah dan anak
Kesan “bius digital” sewaktu makan ini tidak berhenti pada isu emosi dan cerewet makan sahaja, malah ia melarat kepada isu yang paling membimbangkan ibu ayah hari ini, iaitu kelewatan pertuturan (speech delay).
Ramai menyangka dengan membiarkan anak menonton video kartun atau rancangan “belajar bercakap”, anak akan cepat pandai berkomunikasi. Hakikatnya, perkembangan bahasa anak memerlukan dua kemahiran yang mesti seiring, iaitu kemahiran reseptif (faham input bahasa) dan kemahiran ekspresif (membina ayat dan mengeluarkan pertuturan untuk berinteraksi).
Apabila waktu makan yang sepatutnya menjadi ruang interaksi mesra keluarga digantikan dengan skrin peranti, anak hanya dirangsang secara pasif. Anak mungkin faham perkataan yang didengar daripada video, namun untuk kemahiran ekspresif mereka, iaitu keupayaan untuk membina ayat dan menggerakkan motor halus seperti lidah, bibir dan rahang semasa bercakap menjadi kurang peluang untuk eksplorasi [3, 5].
Bercakap ialah kemahiran motor dan sosial yang kompleks. Anak perlu melalui proses serve and return yang hidup, melihat pergerakan bibir ibu bapa secara fizikal, mendengar intonasi nyata dan meniru bunyi tersebut dalam interaksi dua hala yang bermakna [5].
Skrin gajet langsung tidak mempunyai maklum balas insani ini [3]. Akibatnya, apabila ruang komunikasi kerap hilang di meja makan, fungsi otot pertuturan anak menjadi kurang terlatih dan keyakinan sosial mereka pula tidak berkembang dengan optimum [5].
Apabila ibu ayah pula “tenggelam” dalam telefon
Kesan bius digital ini menjadi berganda buruknya apabila kita sendiri sebagai ibu bapa turut memegang telefon bimbit sewaktu makan dan mengabaikan pandangan mata anak. Fenomena ini dikenali dalam bidang psikologi sebagai gangguan teknologi (technoference) [6, 7].
Apabila kita makan sambil leka menatap skrin, kualiti interaksi dan respons emosi terhadap anak-anak akan merosot dengan ketara [6]. Melalui pandangan mata yang mesra sewaktu menyuap makanan, anak sepatutnya belajar meniru pergerakan bibir dan ekspresi wajah kita untuk mula bercakap.
Namun, apabila wajah hangat ibu ayah digantikan dengan belakang sebuah telefon bimbit yang kaku, anak akan merasai pengabaian emosi. Kesannya, anak akan mengalami tekanan dalam diam atau menunjukkan perilaku tantrum semata-mata demi meraih perhatian kita semula [6, 7].
Jangan melangkah sendirian: Dapatkan saringan awal
Jika ibu ayah sudah mula bimbang melihat tanda-tanda kelewatan pertuturan (speech delay) pada anak, jangan sekadar tunggu dan lihat. Langkah terbaik adalah mendapatkan saringan awal daripada Ahli Terapi Pertuturan-Bahasa (Speech-Language Therapist) yang bertauliah [5]. Pengesanan awal adalah kunci penting bagi memastikan rangsangan yang tepat dapat diberikan sebelum anak menjadi lebih jauh ketinggalan [5].
Kesimpulan: Kembalikan keberkatan meja makan
Menyuap makanan bersama gajet mungkin memberi ketenangan sementara, tetapi harganya terlalu mahal untuk dibayar oleh masa depan anak. Kemampuan anak untuk berkomunikasi memerlukan kehadiran jiwa, tatapan mata dan suara kita, bukannya pancaran skrin peranti.
Melalui kempen CELOTEH, ayuh kita mulakan langkah pertama dengan mengisytiharkan meja makan sebagai Zon Bebas Gajet, termasuk untuk diri kita sendiri demi meruntuhkan tembok technoference. Amalkan semula pesanan penuh rahmah Rasulullah SAW kepada Umar bin Abi Salamah r.a.:
“Wahai anak kecil, sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah yang dekat denganmu.” (HR Bukhari & Muslim)
Mari kembalikan waktu makan sebagai ruang interaksi manusia yang hidup. Semoga setiap suapan selepas ini diiringi kemesraan yang melatih semula otot pertuturan anak dan menyuburkan keyakinan sosial mereka untuk berkembang dengan optimum. Tutup skrin peranti, mulakan celoteh si kecil hari ini!
Dr. Nurzalinda Zalbahar
Pensyarah Kanan & Nutritionist, UPM &
AJK Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Pusat
Nota: Artikel ini ialah artikel keenam Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.
Rujukan:
[1] World Health Organization. (2019). Guidelines on physical activity, sedentary behaviour and sleep for children under 5 years of age. World Health Organization.
[2] Center on the Developing Child at Harvard University. (2016). From Best Practices to Best Outcomes: A Science-Based Framework for Early Childhood Policy.
[3] Fathima, N., Venkatraman, K., & Hariharan, T. S. (2024). Qualitative study on the influence of mealtime screen exposure on children’s feeding practices: perspectives from paediatricians and speech-language pathologists in Chennai, Tamil Nadu. BMJ Open, 14(12), e087904.
[4] Paulus, F. W., Hübler, K., Mink, F., & Möhler, E. (2021). Emotional Dysregulation in Preschool Age Predicts Later Media Use and Gaming Disorder Symptoms in Childhood. Frontiers in Psychiatry, 12, 626387.
[5] Alamri, M. M., Alrehaili, M. A., Albariqi, W., Alshehri, S. M., Alotaibi, K. B., & Algethami, A. M. (2023). Relationship Between Speech Delay and Smart Media in Children: A Systematic Review. Cureus, 15(9), e45396.
[6] Radesky, J. S., Weeks, H. M., McCaffery, H., Kaciroti, N., Lumeng, J. C., & Miller, A. L. (2024). Maternal Mobile Device Use and Mealtime Interactions With Children. Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics, 45(6), e545-e551.
[7] Vik, F. N., Grasaas, E., Polspoel, M. E. M., Røed, M., Hillesund, E. R., & Øverby, N. C. (2021). Parental phone use during mealtimes with toddlers and the associations with feeding practices and shared family meals: a cross-sectional study. BMC Public Health, 21(1), 756.




