KUALA LUMPUR – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menyertai program Muzakarah Pakar berkaitan Isu Buli dari Perspektif Psikologi dan Kesihatan Mental pada 11 Jun lalu di Bilik Persidangan IKIM di sini.
Muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap isu kesihatan mental dan kesejahteraan sosial.
Dalam muzakarah yang menghimpunkan para pakar dalam bidang psikologi, kesihatan mental dan pendidikan bagi membincangkan isu buli yang semakin mendapat perhatian masyarakat, IKRAM diwakili Puan Atriza Umar, Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat, dan Puan Nur Idayu Abd. Rahman, Ketua Jabatan Wanita IKRAM.

Program tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd. Yusof Haji Othman dan menampilkan tiga pembentangan utama iaitu Dr. Hazli Zakaria, Prof. Dr. Noor Azimah Muhammad dan Dr. Shairatul Azlin Abdul Shukor.
Pembentangan itu mengupas isu buli daripada pelbagai dimensi antaranya termasuk faktor psikologi yang membentuk perilaku pembuli, kesan mendalam terhadap emosi dan mental mangsa serta keperluan membina ekosistem sosial yang lebih selamat melalui pendekatan psikososial dan dasar yang berkesan.
Muzakarah ini bertujuan membincangkan isu buli dari sudut psikologi, memperkukuh sokongan kesihatan mental serta mencadangkan pengukuhan dasar ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera.
Perbincangan yang berlangsung secara ilmiah dan konstruktif itu memperlihatkan bahawa isu buli bukan sekadar masalah disiplin atau tingkah laku, tetapi merupakan cabaran kemanusiaan yang memberi kesan besar terhadap pembangunan individu, institusi pendidikan dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Dalam pada itu, kesan trauma, kemurungan, keresahan serta hilang keyakinan diri yang dialami mangsa boleh berlarutan sehingga ke alam dewasa sekiranya tidak ditangani dengan sewajarnya.
Penyertaan IKRAM dalam muzakarah ini mencerminkan komitmen berterusan organisasi dalam memperkasa pendidikan masyarakat, memupuk budaya rahmah dan ihsan serta menyokong usaha melahirkan komuniti yang selamat, sejahtera dan bebas daripada sebarang bentuk keganasan serta penindasan.
Oleh itu, menangani gejala buli memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan melibatkan semua pihak, keluarga, sekolah, masyarakat, institusi agama, badan bukan kerajaan dan pembuat dasar.
Hanya melalui kesedaran, pendidikan dan tindakan bersama, kita mampu membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja menolak budaya buli, bahkan menjunjung nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan kemuliaan insan.
IKRAM merakamkan penghargaan kepada IKIM atas penganjuran muzakarah yang sangat signifikan ini dan berharap wacana seumpama ini dapat diteruskan bagi memperkukuh usaha membina masyarakat yang berilmu, berakhlak dan berjiwa rahmah.
Kredit foto utama: FB IKIM




