Dalam artikel siri yang lalu, kita ditinggalkan dengan satu persoalan besar tentang sama ada kita benar-benar bersedia melayan anak-anak yang lasak dan banyak bertanya, atau kita sebenarnya rasa lebih selesa apabila melihat anak duduk diam dan menurut kata. [1]
Bagi masyarakat yang sibuk, seorang budak yang duduk diam tanpa membantah sering dipuji sebagai anak yang soleh, taat dan mudah diurus. Namun, sikap orang dewasa yang lebih selesa melihat anak senyap berdiam diri demi menjaga ketenteraman suasana, sebenarnya bertentangan dengan acuan tarbiah Islam.
Oleh itu, mendengar suara kanak-kanak bukanlah sekadar pilihan komunikasi biasa, melainkan sebahagian daripada amanah tarbiah yang sangat bernilai di sisi Allah Subhanahuwataala.
Hak asasi kanak-kanak untuk bersuara
Ruang untuk bersuara dan mengekspresikan diri sebenarnya adalah hak paling asas untuk setiap kanak-kanak membesar dengan sihat. Dokumen konvensyen antarabangsa oleh UNICEF sendiri menegaskan hak kanak-kanak untuk menyatakan pandangan mereka secara bebas. [2,3]
Kajian juga membuktikan bahawa kebahagiaan sejati anak-anak sangat berkait dengan pengalaman emosi yang selamat apabila mereka didengari oleh orang dewasa [4]. Jelaslah bahawa kebahagiaan anak tidak terletak pada gajet yang mahal, tetapi pada rasa dihargai oleh mak dan ayah.
Budaya mendengar suara anak melalui Projek CELOTEH
Atas sebab itulah, Projek CELOTEH ingin mengajak kita semua untuk mula menghidupkan budaya mendengar suara anak yang jujur. Kita boleh bermula dengan bertanya soalan mudah seperti, “Apa yang paling seronok hari ini?” atau “Ada tak benda yang buat adik rasa takut tadi?”
Proses ringkas ini merupakan satu bentuk validasi emosi yang melatih anak-anak untuk memahami dan mengurus jiwa mereka sendiri. Tindakan kecil ini secara tidak langsung menghantar isyarat besar bahawa suara mereka sangat bernilai di mata kita.
Mendengar: Tanda rahmah pada anak-anak
Islam sebenarnya telah lama menekankan kepentingan memahami jiwa dan emosi golongan kecil ini melalui pendekatan yang penuh empati. Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang sangat lembut terhadap kanak-kanak dengan sentiasa memberikan perhatian penuh kepada perasaan mereka.
Melalui teladan agung ini, jelaslah bahawa perhatian kepada emosi adalah antara elemen utama dalam pembentukan akhlak anak-anak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Bukan daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi anak kecil dan tidak menghormati orang tua.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi, no. 1921) [5]
Jerat “ketegasan” yang tersilap tempat
Sayangnya hari ini, kita sering tersilap mengaitkan disiplin agama dengan sifat anak yang mesti sentiasa taat dan patuh. Akibatnya, ada sebilangan kita yang begitu mudah mengherdik atau merenung tajam dengan wajah marah apabila melihat kanak-kanak mula bergerak aktif ketika solat berjemaah.
Sikap sebegini sebenarnya jauh terpesong daripada apa yang ditunjukkan dalam lembaran sirah nabawiyah. Rasulullah SAW mengajar kita bahawa kelembutan tidak sesekali merosakkan ibadah, bahkan ia menambahkan keberkatan serta membina emosi anak yang stabil.
Teladan Rasulullah SAW meraikan fitrah anak-anak
Para sahabat pernah menceritakan betapa Rasulullah SAW pernah sengaja memanjangkan sujud solat berjemaahnya menjadi lama semata-mata kerana cucu Baginda memanjat dan bermain di atas belakangnya.
Rasulullah SAW tidak sedikit pun berasa maruahnya tercalar, malah Baginda rela menunggu dengan penuh sabar sehingga si kecil itu puas bermain. Sesudah selesai solat, Baginda menjawab penuh ketenangan dan rahmah melalui sabdanya:
“Sesungguhnya anakku (cucuku) ini sedang menunggangku, dan aku tidak suka untuk tergesa-gesa sehinggalah dia menyelesaikan kemahuannya.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i, no. 1141) [6]
Dalam riwayat sahih yang lain, Baginda juga kerap bersolat sambil menggendong cucu perempuan Baginda, Umamah binti Zainab, dengan penuh cermat [7]. Teladan agung ini membuktikan secara jelas bahawa meraikan fitrah bermain dan bermanja seorang anak tidak pernah merosakkan khusyuknya sebuah ibadah.
Kelembutan sebagai asas tarbiyatul aulad
Mendidik melalui konsep tarbiyatul aulad yang sebenar memerlukan hikmah yang tinggi serta kefahaman yang jelas terhadap fitrah perkembangan anak-anak.
Sifat lemah lembut dan sudi mendengar inilah yang menjadi magnet paling kuat untuk menarik minat anak-anak mencintai agama. Konsep mendidik ini selari dengan panduan daripada wahyu Allah Subhanahuwataala dalam Surah Ali ‘Imran, 3:159:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ
“Maka dengan rahmat daripada Allah, engkau berlaku lemah lembut terhadap mereka.”
Ayat ini memberi panduan bahawa kelembutan merupakan asas utama dalam hubungan manusia, termasuk terhadap anak-anak. Dari sudut psikologi Islam, mendengar anak-anak merupakan sebahagian daripada amanah mendidik agar emosi mereka tidak dipendam atau ditakuti.
Mendengar: Menyempurnakan sebuah amanah jiwa
Sebagai penutup, Wanita IKRAM melalui Projek CELOTEH ingin mengetuk kembali pintu hati kita semua untuk mula melihat kehidupan dari sudut pandangan kanak-kanak. Kita perlu mengubah tabiat lama yang hanya mahu melihat anak-anak duduk diam dan patuh mendengar arahan di rumah mahupun di dalam kelas.
Setiap empati yang kita berikan kepada suara kecil mereka hari ini adalah pelaburan untuk membentuk peribadi mereka apabila dewasa. Ayuh kita mulakan langkah hari ini demi melahirkan sebuah generasi masa depan yang lebih stabil, yakin dan sejahtera jiwanya.
Dr Syaheedatul Iman Dinsuhaimi
Pensyarah Perubatan & Pakar Psikiatri
Pusat Pengajian Sains Perubatan
Universiti Sains Malaysia &
Ahli Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Pusat
Nota: Artikel ini ialah artikel keempat Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.
Rujukan
[1] Teks Kandungan Projek CELOTEH Siri 4A (2026).
[2] Shier, H. (2001). Pathways to participation: Openings, opportunities and obligations. Children & Society, 15(2), 107–117.
[3] UNICEF. (1989). Convention on the Rights of the Child. United Nations.
[4] Fattore, T., Mason, J., & Watson, E. (2007). Children’s conceptualisation(s) of their well‐being. Social Indicators Research, 80(1), 5–29.
[5] Al-Tirmizi, M. I. (n.d.). Sunan al-Tirmizi (Hadis no. 1921).
[6] Al-Nasa’i, A. S. (n.d.). Sunan al-Nasa’i (Hadis no. 1141).
[7] Al-Bukhari, M. I. (n.d.). Sahih al-Bukhari (Hadis no. 516).




