Sijil dan Ijazah: Amanah Ilmu atau Sekadar Gelaran?

Ijazah dan Ilmu

Persepsi umum masyarakat hari ini melihat sijil dan ijazah sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan, kenaikan pangkat atau pengiktirafan sosial.

Tidak dinafikan, kelulusan akademik sememangnya mempunyai nilai yang besar dalam dunia profesional. Namun dari sudut pandang syariah, makna sebuah sijil dan ijazah jauh lebih mendalam daripada sekadar sekeping kertas atau gelaran pada pangkal nama.

Islam meletakkan ilmu pada kedudukan yang sangat tinggi. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dimulakan dengan perkataan Iqra’ bermaksud “Bacalah.” Hal ini menunjukkan bahawa pencarian ilmu merupakan asas penting dalam pembinaan manusia dan tamadun.

Dalam konteks ini, sijil dan ijazah bukan semata-mata bukti seseorang pernah belajar di universiti atau institusi pendidikan, tetapi ia adalah simbol kepada usaha menuntut ilmu, kesungguhan mencari kebenaran dan proses membentuk akhlak serta pemikiran.

Malah dalam konteks pendidikan yang formal, bukan kemajuan kognitif yang dikejar semata-mata, tetapi menjangkau kecerdikan afektif dan kemahiran psikomotor diri seseorang.

Ia bermakna, dalam proses mendapatkan segulung ijazah, seseorang itu bukan sahaja membina minda dan pemikiran, tetapi yang lebih besar ialah pembinaan kemahiran, sikap-sikap dan nilai murni yang melengkapi diri serta peribadi.

Konsep sijil dan ijazah daripada tradisi keilmuan Islam

Menariknya, istilah sijil dan ijazah sendiri berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa makna yang lebih mendalam.

Perkataan سِجِلّ (sijil) merujuk kepada catatan atau rekod rasmi iaitu sesuatu yang didaftarkan dan diiktiraf sebagai bukti pencapaian. Ia selari dengan fungsi sijil hari ini sebagai dokumen formal yang mengesahkan seseorang telah menyempurnakan sesuatu pengajian.

Namun istilah إِجَازَة (ijazah) mempunyai makna yang lebih luas. Ia berasal daripada akar kata ajāza yang bermaksud memberi keizinan atau pengiktirafan. Dalam tradisi keilmuan Islam, ijazah bukan sekadar tanda tamat belajar, tetapi satu bentuk keizinan daripada guru kepada murid untuk menyampaikan ilmu.

Ia juga menunjukkan bahawa seseorang itu telah mencapai tahap kelayakan dan autoriti dalam bidang tertentu serta bersedia memikul amanah ilmu tersebut. Dalam konteks dunia moden hari ini, badan-badan yang berautoriti bertindak sebagai pemberi izin berupa pengiktirafan terhadap program pengajian yang ditawarkan oleh institut pengajian.

Memberi makna ilmu pada amalan

Namun begitu, syariah juga mengingatkan bahawa ilmu tanpa adab dan amanah boleh membawa kerosakan. Seseorang mungkin memiliki ijazah yang tinggi, tetapi jika ilmu tersebut digunakan pada jalan dan cara yang salah, ilmu tidak akan membawa kebaikan malah memudaratkan.

Dalam Islam, ilmu bukan hanya untuk diketahui, tetapi untuk diamalkan dan memberi manfaat kepada orang lain. Sifir yang mudah, makin tinggi ilmu, makin banyak manfaat yang mengalir pada diri dan orang lain.

Atas sebab itu, sijil dan ijazah dalam perspektif Islam sebenarnya membawa amanah yang besar. Seorang doktor memikul amanah menjaga nyawa manusia. Seorang guru memikul amanah mendidik generasi.

Seorang ilmuan Islam memikul amanah menyampaikan hukum dan nilai Islam dengan hikmah. Maka semakin tinggi ilmu seseorang, semakin besar tanggungjawab moral dan spiritual yang dipikulnya.

Dalam masa yang sama, Islam juga menuntut agar ilmu diperoleh melalui proses yang tersusun, berdisiplin dan mempunyai sanad keilmuan yang jelas. Sebab itu pengajian secara berstruktur dan diiktiraf mempunyai kepentingan yang besar.

Institusi pendidikan bukan sekadar tempat mendapatkan sijil, tetapi medan untuk membimbing cara berfikir, menilai kesahihan ilmu, membentuk disiplin akademik dan memastikan ilmu dipelajari daripada mereka yang benar-benar ahli dalam bidangnya.

Teknologi mempermudah ilmu

Dalam era media sosial hari ini, maklumat boleh diperoleh dengan sangat pantas. Seseorang boleh belajar melalui video, podcast, kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai platform digital hanya di hujung jari. Teknologi sememangnya membuka ruang yang luas kepada pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning).

Seorang pekerja boleh menyambung pengajian tanpa meninggalkan kerjaya. Seorang suri rumah boleh mengikuti kursus secara dalam talian dari rumah. Golongan warga emas juga kini mempunyai peluang untuk terus belajar tanpa batas usia.

Namun kemudahan teknologi juga membawa cabaran besar, khususnya dari sudut kesahihan ilmu. Tidak semua maklumat di internet tepat, sahih atau sesuai dijadikan rujukan.

Dalam isu agama misalnya, kesilapan memahami hukum akibat belajar tanpa bimbingan boleh membawa kekeliruan kepada masyarakat. Oleh itu, pengajian yang tersusun dan diiktiraf tetap penting bagi memastikan ilmu yang dipelajari mempunyai asas metodologi, disiplin dan autoriti yang betul.

Teknologi sepatutnya menjadi alat memperluas akses pendidikan, bukan menggantikan sepenuhnya peranan guru, institusi dan tradisi keilmuan.

Dalam tradisi Islam, hubungan antara guru dan murid bukan sekadar pemindahan maklumat, tetapi proses pembentukan adab, nilai dan kebijaksanaan. Justeru, walaupun dunia kini semakin digital, manusia tetap memerlukan bimbingan, pemantauan dan proses pendidikan yang berstruktur.

Menterjemah ilmu pada peribadi

Malangnya, dalam realiti semasa, ada kalanya masyarakat terlalu memuliakan gelaran sehingga terlupa kepada nilai sebenar ilmu. Ada yang mengejar ijazah demi status sosial, bukan demi manfaat kepada masyarakat.

Ada juga yang merasakan diri lebih mulia hanya kerana memiliki kelulusan yang lebih tinggi. Sedangkan dalam Islam, ukuran kemuliaan bukan hanya pada sijil, tetapi pada takwa, akhlak dan sumbangan kepada manusia.

Selain itu, syariah juga menekankan bahawa proses menuntut ilmu adalah ibadah. Setiap kesusahan menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan, membaca buku dan melakukan penyelidikan boleh menjadi pahala jika diniatkan kerana Allah.

Oleh itu, perjalanan mendapatkan sijil dan ijazah sebenarnya merupakan perjalanan spiritual yang mendidik kesabaran, disiplin dan keikhlasan.

Dalam dunia moden yang semakin kompetitif, masyarakat memerlukan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan nilai kemanusiaan.

Universiti tidak boleh hanya menjadi kilang menghasilkan graduan, tetapi perlu menjadi tempat melahirkan insan berintegriti, beradab dan mempunyai tanggungjawab sosial. Sijil dan ijazah seharusnya menjadi lambang kemampuan seseorang untuk memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar simbol kebanggaan peribadi.

Akhirnya, dari perspektif syariah, makna sebenar sebuah sijil dan ijazah bukan terletak pada bingkai yang tergantung di dinding, atau yang digenggam di pentas konvokesyen, tetapi pada sejauh mana ilmu tersebut membentuk akhlak, mendekatkan diri kepada Allah dan membawa kebaikan kepada manusia.

Seperti kata pepatah Melayu, “Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi” yang bermaksud berguru mesti dengan belajar agar tinggi nilai peribadi.

Prof Madya Dr Hamidah Mat

Dekan

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia