Isu Dekriminalisasi Dadah: IKRAM Hargai Panduan Mufti WP

Isu Dekriminalisasi Dadah

PUTRAJAYA – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bersama delegasi daripada Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di bawah naungan Yayasan AIDS Malaysia (MAF) serta Malaysian Substance Abuse Council (MASAC) telah mengadakan satu sesi pertemuan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil pada Isnin lalu.

Pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan pandangan dan panduan beliau berkaitan pendekatan isu dekriminalisasi dadah dari perspektif Islam, khususnya dalam konteks usaha advokasi dasar yang lebih berteraskan prinsip rahmah, pemulihan dan kesejahteraan masyarakat. 

Delegasi tersebut turut menyampaikan penghargaan atas panduan dan maklum balas yang telah diberikan oleh pihak Mufti, di samping mendapatkan penjelasan lanjut bagi memastikan usaha advokasi yang sedang digerakkan kekal selaras dengan prinsip-prinsip Islam.

Wakil IKRAM yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah daripada Kluster Sosial Agenda Nasional, iaitu Puan Faridah Maludin, Prof. Dr. Amir Husin Mohd Nor dan Dr. A’isyah Che Rahimi.

Dalam perbincangan itu, IKRAM menegaskan bahawa sebarang usaha mempromosikan pandangan berkaitan isu ini perlu dilaksanakan secara berhikmah, bertanggungjawab dan tidak menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat awam.

Pertemuan ini juga merupakan kesinambungan hubungan baik antara IKRAM, DPPM dan MASAC dengan pihak Mufti Wilayah Persekutuan, selepas kunjungan hormat pada Oktober 2025.

Seterusnya,  beliau terlibat sebagai panelis melalui sidang video dalam Perbincangan Meja Bulat mengenai Pemimpin Agama dan Reformasi Dasar Dadah sempena Sidang Kemuncak Dasar Dadah pada November 2025.

Kesediaan beliau untuk terlibat dalam perbincangan meja bulan tersebut, meskipun berdepan kekangan jadual, mencerminkan keprihatinan dan komitmen yang tinggi terhadap perbincangan dasar awam yang melibatkan kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan rentan yang terkesan dengan isu penyalahgunaan dadah.

IKRAM berpandangan bahawa isu dadah perlu ditangani melalui pendekatan yang seimbang antara aspek perundangan, kesihatan awam, pemulihan, pendidikan dan sokongan sosial. 

Dalam masa yang sama, panduan agamawan amat penting bagi memastikan setiap cadangan dasar tidak terpisah daripada nilai syariah, maqasid dan kemaslahatan umat.

Sesi pertemuan bersama Mufti WP ini diharap dapat memperkukuh lagi kerjasama strategik antara IKRAM dan institusi agama dalam membina kefahaman masyarakat terhadap pendekatan yang lebih menyeluruh, adil dan manusiawi bagi menangani isu dadah di Malaysia.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia