Krisis Kewangan: Bersediakah Kita Menghadapinya?

krisis kewangan

Lebih sebulan konflik Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran berlarutan, ketidaktentuan ekonomi global semakin terasa hingga ke pesisiran Asia Tenggara.

Untuk Malaysia, kesannya bukan sekadar bacaan berita antarabangsa, tetapi telah mula menjelma dalam pertumbuhan ekonomi suku pertama yang lembap, kos sara hidup yang meningkat serta beban fiskal kerajaan yang kian memberat.

Namun, adakah rakyat Malaysia benar-benar bersedia menghadapi krisis kewangan yang mungkin datang? Atau kita masih terlena dengan subsidi yang menjadikan keadaan terasa “baik-baik saja” sehingga tiba-tiba api menjalar dalam periuk yang mendidih?

Dalam suasana getir ini, panduan Islam melalui al-Quran dan sunnah menawarkan suatu kerangka perancangan kewangan yang bukan sahaja bersifat material, tetapi juga rohani. 

Kewangan yang terancang bukan sekadar menyelamatkan kita daripada musibah, bahkan melatih jiwa untuk bersyukur, bertanggungjawab dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Ironinya, wujud persamaan besar iaitu ketika dunia dikejutkan dengan perang dan ketidaktentuan, Islam telah pun mengajarkan umatnya untuk merebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Ia merupakan peringatan yang begitu relevan untuk kita hayati pada hari ini.

Kesan perang Iran-AS terhadap ekonomi Malaysia

Konflik yang tercetus pada akhir Februari lalu telah menyebabkan harga minyak mentah Brent melonjak daripada sekitar AS$70 setong sebelum perang kepada melebihi AS$100 setong dalam masa hanya sembilan hari.

Walaupun kemudiannya susut akibat rundingan gencatan senjata, harganya masih kekal tinggi sekitar AS$98.50 setong, iaitu hampir 32 peratus lebih tinggi berbanding akhir tahun lalu. Malaysia, walaupun merupakan pengeksport tenaga bersih, masih perlu mengimport 69 peratus minyak mentah dari Asia Barat pada tahun 2025.

Kebergantungan ini menjadikan sebarang gangguan di Selat Hormuz yang mengangkut hampir 20 peratus bekalan minyak dunia bukan sekadar mengakibatkan risiko kenaikan harga, tetapi turut membabitkan aspek keselamatan bekalan dan kesinambungan logistik.

Ekonomi Malaysia telah pun menunjukkan tanda-tanda terkesan dengan ketidaktentuan.  Pertumbuhan KDNK awal bagi suku pertama 2026 direkodkan pada 5.3 peratus, di bawah jangkaan pasaran 5.5 peratus dan jauh menurun daripada 6.3 peratus pada suku keempat 2025.

Bank Negara Malaysia mengunjurkan pertumbuhan ekonomi tahun ini antara 4 hingga 5 peratus, dengan inflasi dijangka kekal rendah antara 1.5 hingga 2.5 peratus, namun ia sangat bergantung kepada tempoh dan keterukan konflik.

Jika harga minyak meningkat kepada AS$140 setong, pertumbuhan KDNK tahunan dijangka susut 0.5 mata peratusan kepada 4.2 peratus, manakala jika tekanan harga tinggi berlarutan hingga suku ketiga serta disertai gangguan rantaian bekalan yang lebih luas, risiko penurunan boleh mencecah 0.8 hingga 1.0 mata peratusan, membawa pertumbuhan kepada sekitar 3.7 hingga 3.9 peratus.

Persediaan rakyat Malaysia: Antara “rasa selamat” dan “ketidaksediaan”

Di sebalik indikator makroekonomi yang agak terkawal, timbul persoalan yang lebih penting: sejauh manakah rakyat Malaysia benar-benar bersedia sekiranya krisis kewangan melanda secara tiba-tiba?

Satu tinjauan oleh Rakuten Insight pada awal April mendapati bahawa 52.1 peratus responden berkata mereka akan segera memotong perbelanjaan, meningkat daripada 46.9 peratus pada Mac. Lebih membimbangkan, 57.4 peratus responden menjangkakan kewangan isi rumah mereka akan semakin teruk pada bulan hadapan, meningkat 9.2 mata peratusan berbanding Mac.

Pada masa yang sama, penggunaan kredit mula berkurangan, dengan penggunaan “beli sekarang, bayar kemudian” menurun daripada 4 peratus kepada 3.1 peratus, penggunaan kad kredit turun daripada 2.3 peratus kepada 1.7 peratus, dan pinjaman daripada keluarga merosot daripada 2.5 peratus kepada 1.3 peratus.

Respons ini menunjukkan bahawa isi rumah Malaysia sudah mula beralih kepada penjimatan berstruktur apabila strategi jangka pendek seperti menangguhkan pembelian besar atau bergantung kepada kredit sudah mula kehabisan ruang.

Walau bagaimanapun, laporan oleh PNB Research Institute pada Januari 2026 memberi amaran lebih serius kira-kira separuh daripada pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, yang hanya cukup untuk tiga bulan persaraan.

Hampir 60 peratus pekerja berpendapatan bawah RM4,000 sebulan, dan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin terus melebar, dengan 20 peratus isi rumah terbawah memegang kurang daripada 6 peratus pendapatan negara manakala 20 peratus teratas menguasai kira-kira 41 peratus.

Hakikatnya, Malaysia sudah melepasi ambang “masyarakat menua” pada 2022, dengan populasi berusia 65 tahun ke atas diunjur berganda kepada 14 peratus menjelang 2040, namun ramai yang masih belum bersedia dari segi kewangan.

Situasi yang lebih membimbangkan, fenomena “rasa selamat” juga ketara dalam kalangan sebahagian rakyat. Dalam laporan eksklusif Nanyang bertarikh 18 April 2026, para penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa subsidi besar-besaran menjadi “gula-gula” yang menutup risiko sebenar.

Akibat subsidi RON95 yang dikekalkan pada RM1.99 seliter, ramai rakyat “berasa baik-baik saja” dan tidak menyedari bahawa bil subsidi bulanan kerajaan sudah melonjak daripada RM7 bilion kepada sekitar RM60 bilion.

Para pakar mengingatkan bahawa jika kerajaan terpaksa memotong subsidi secara drastik atau jika bekalan minyak benar-benar tergendala, ramai rakyat akan terkejut dan tidak bersedia.

Solusi dan pengajaran: Kaedah pengurusan kewangan menurut al-Quran dan sunnah 

Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Islam telah meletakkan asas perancangan kewangan yang kukuh. Rasulullah SAW berpesan, rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk dan hidup sebelum mati.

Hadis ini mengajar kita bahawa perancangan kewangan bukanlah pilihan, tetapi keperluan asas bagi setiap individu yang ingin mencapai kehidupan yang seimbang antara kerohanian dan kebendaan.

Pertama, sumber pendapatan yang halal. Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 114 bermaksud

“Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada kamu, dan syukurilah nikmat Allah itu jika benar kamu hanya beribadat kepada-Nya”. 

Dalam konteks semasa, ia mengingatkan kita untuk menjauhi sumber pendapatan yang mengandungi unsur riba, rasuah atau judi kerana harta yang haram tidak akan membawa keberkatan walaupun banyak.

Kedua, mengawal perbelanjaan dengan bijak. Surah an-Nisa’ ayat 5 memberi peringatan: 

“Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah jadikannya sebagai asas kehidupan kamu.” 

Ertinya, kita perlu mendidik diri dan keluarga agar tidak boros. Dahulukan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan sebelum perbelanjaan lain seperti percutian dan hiburan.

Ketiga, peruntukan sebahagian harta untuk sedekah. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: 

Tidak berlalu suatu pagi bagi hamba Allah melainkan akan turun dua malaikat ke dunia, maka salah satunya berdoa: “Ya Allah kurniakanlah gantian kepada orang yang menafkahkan hartanya.” Lalu berdoa malaikat yang lain: “Ya Allah musnahkanlah harta orang yang bakhil.” (Riwayat Imam Bukhari)

Bersedekah tidak mengurangkan harta, bahkan menjadikan rezeki lebih berkat dan dilindungi daripada musibah.

Keempat, menabung sebagai persiapan masa depan. Sabda Rasulullah SAW: 

“Semoga Allah memberikan rahmat kepada orang yang berusaha dengan cara yang baik, berbelanja dengan sederhana dan menabung apa yang lebih untuk saat-saat yang memerlukannya nanti.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

Dalam konteks krisis semasa, simpanan tetap sama ada melalui potongan gaji, takaful, KWSP, Tabung Haji atau ASNB menjadi penyelamat ketika pendapatan terjejas atau kos hidup meningkat secara mendadak.

Kelima, mengeluarkan zakat. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 103 (maksudnya): 

“Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka.” 

Zakat bukan sahaja membersihkan harta, tetapi juga mengurangkan jurang ekonomi dan membantu golongan yang terkesan akibat krisis.

Selain itu, kisah Nabi Yusuf a.s. memberikan teladan terbaik dalam perancangan kewangan jangka panjang, sebagaimana diceritakan dalam Surah Yusuf ayat 43-49, Nabi Yusuf mentafsir mimpi raja Mesir tentang tujuh ekor lembu gemuk dimakan tujuh ekor lembu kurus, dan tujuh tangkai gandum hijau serta tujuh tangkai kering.

Baginda menasihatkan supaya penduduk Mesir terus bercucuk tanam selama tujuh tahun dan menyimpan hasilnya untuk menghadapi tujuh tahun kemarau yang bakal datang. Inilah contoh perancangan yang sistematik mengumpul simpanan pada masa senang untuk menghadapi masa susah.

Bersedia sebelum terlambat 

Harta dan wang ringgit adalah amanah Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia sebagai wasilah untuk mencapai kehidupan yang sejahtera dan diberkati.

Krisis kewangan mungkin datang tanpa diduga, tetapi dengan perancangan yang bijak memastikan sumber pendapatan halal, mengawal perbelanjaan, bersedekah, menabung dan mengeluarkan zakat, kita mampu menghadapinya dengan tenang dan penuh keyakinan.

Firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat 28 (maksudnya)

“Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah cubaan (bagimu), dan sesungguhnya di sisi Allah ada pahala yang besar.” 

Maka, janganlah kita menjadi hamba kepada harta, sebaliknya jadikan harta sebagai alat untuk mencapai keredaan Allah dan kesejahteraan hidup.

Sekiranya krisis kewangan benar-benar melanda, persoalan terbesarnya bukanlah “apa yang akan berlaku?” tetapi “adakah kita sudah bersedia?” 

Mulakan perancangan hari ini – rebutlah masa muda, sihat, lapang dan hidup sebelum semuanya berlalu. Sesungguhnya, yang terancang itu lebih baik daripada yang terlepas pandang.  

Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab. Rahaman (SRFP)

Koordinator MBA & MIBF

Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia