Terdapat satu paradoks yang semakin jelas melingkari pengguna media sosial hari ini, iaitu semakin seseorang mendakwa dirinya bebas dalam ruang digital, semakin dia sebenarnya terikat dengan kehendak pandangan orang lain.
Kebebasan yang dipamerkan bukan lagi sekadar ekspresi diri, tetapi berfungsi sebagai bentuk kepatuhan yang lebih halus terhadap sistem perhatian digital yang sentiasa menuntut respons, reaksi dan keterlihatan tanpa henti.
Dalam konteks ini, budaya hedonisme moden tidak muncul secara terasing, sebaliknya berkembang melalui media sosial sebagai medium utama. Keseronokan visual, keterujaan dan keinginan untuk dilihat telah menjadi nilai dominan yang membentuk tingkah laku pengguna.
Normalisasi tabaruj
Akibatnya, tabaruj tidak lagi dilihat sebagai penyimpangan, tetapi semakin dinormalisasikan sebagai strategi untuk menarik perhatian dan meningkatkan keterlibatan penonton.
Menurut Imam Ibnu Mandzur, tabaruj merujuk kepada tindakan menampakkan perhiasan dan anggota tubuh bagi menarik perhatian lelaki bukan mahram. Dalam konteks semasa, makna ini tidak lagi terhad kepada ruang fizikal, tetapi telah meluas ke ruang digital yang bersifat terbuka dan berjangkauan luas.
Kita tidak lagi hidup dalam masyarakat yang sekadar menilai penampilan secara kasual. Sebaliknya, kita berada dalam ekosistem yang mengkomoditikan penampilan secara sistematik. Tubuh kini bukan sekadar identiti fizikal, tetapi telah menjadi aset komunikasi, alat strategi dan dalam banyak keadaan telah disifatkan sebagai mata wang sosial.
Dalam persekitaran ini, tabaruj tidak boleh lagi dilihat sebagai isu moral individu semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai fenomena komunikasi yang kompleks, melibatkan dimensi psikologi, ekonomi perhatian, reka bentuk algoritma dan perubahan budaya digital yang sedang mengubah definisi maruah secara mendalam.
Penulisan ini bukan bertujuan menghakimi individu, tetapi meneliti struktur yang lebih besar. Fokusnya adalah kepada sistem yang secara aktif menggalakkan, memberi ganjaran dan akhirnya menormalisasikan tabaruj sebagai strategi survival sosial dalam dunia digital.
Tabaruj di media sosial
Dalam wacana konvensional, tabaruj sering dibingkaikan sebagai pilihan peribadi atau isu keagamaan. Namun dalam konteks media sosial, pendekatan ini terlalu simplistik.
Apabila seseorang memuat naik kandungan yang mendedahkan tubuh atau menonjolkan daya tarikan fizikal secara berlebihan, tindakan tersebut sebenarnya adalah satu bentuk komunikasi yang berlaku dalam sistem yang mempunyai logik, insentif dan ganjaran tersendiri.
Media sosial telah beroperasi berdasarkan ekonomi perhatian. Algoritma tidak menilai moral, sebaliknya mengoptimumkan apa yang paling menarik perhatian. Kandungan berunsur seksualisasi atau visual provokatif cenderung menerima kadar interaksi yang lebih tinggi, sekali gus memperluas jangkauan kandungan tersebut.
Justeru, tabaruj bukan sekadar pilihan individu, tetapi sebahagian daripada mekanisme sistem yang memberi ganjaran kepada bentuk ekspresi tertentu.
Perspektif psikologi
Dari sudut psikologi, media sosial berfungsi seperti mesin dopamin. Setiap tanda suka dan komen mencetuskan ganjaran neurologi yang mendorong ketagihan kepada validasi.
Apabila kandungan tabaruj menerima perhatian yang tinggi, otak mula mengaitkan pendedahan diri dengan penerimaan sosial. Akibatnya, individu tidak lagi menilai sesuatu berdasarkan makna atau nilai, tetapi berdasarkan tahap engagement yang diterima.
Identiti diri akhirnya dibentuk daripada reaksi luar, bukan lagi daripada nilai dalaman. Dalam era digital, persepsi diri tidak lagi bergantung kepada manusia di sekeliling, tetapi kepada algoritma dan metrik digital seperti tontonan dan pengikut. Situasi ini bukan sekadar perubahan tingkah laku, tetapi perubahan dalam struktur pembinaan identiti manusia.
Dalam kerangka komunikasi, tubuh kini berfungsi sebagai medium. Setiap paparan membawa mesej simbolik tentang nilai dan identiti. Tabaruj sering dibingkaikan sebagai keyakinan diri, namun hakikatnya ia sering menjadi persembahan yang bergantung kepada penerimaan luar. Apabila keterlihatan menjadi matlamat utama maka nilai dan jati diri akan mudah terpinggir.
Jika dilihat dari sudut sistem, algoritma telah memperkukuh tingkah laku ini melalui kitaran berulang. Kandungan yang mendapat perhatian akan diperluas, sekali gus mendorong penghasilan kandungan serupa secara berterusan.
Dalam keadaan ini, tabaruj bukan lagi pilihan yang sepenuhnya bebas, tetapi hasil daripada reka bentuk sistem yang mengarahkan tingkah laku pengguna.
Jadi aset komersial
Namun apa yang lebih membimbangkan adalah apabila keadaan ini telah dinormalisasikan, tindakan yang dahulu dianggap melampau kini telah dianggap sesuatu yang biasa. Generasi muda yang terdedah secara berterusan kepada kandungan sebegini mula menerimanya sebagai standard baharu dalam menampilkan diri.
Fenomena ini sering dilindungi oleh naratif empowerment, menyebabkan kritikan terhadapnya mudah disalah tafsir sebagai penghakiman.
Sebahagian pempengaruh media sosial hari ini telah menjadikan tubuh sebagai aset komersial. Kandungan seperti tutorial solekan yang berlebihan dan pelbagai bentuk paparan kecantikan diri sering dijadikan strategi utama untuk menarik perhatian audiens.
Dalam logik ekonomi digital, semakin tinggi daya tarikan visual sesuatu kandungan, semakin besar potensi monetisasinya. Keadaan ini secara langsung mewujudkan insentif yang mendorong penghasilan kandungan berunsur tabaruj secara berterusan.
Justeru, dalam konteks ini, tabaruj tidak lagi boleh dilihat semata-mata sebagai isu moral, tetapi telah berfungsi sebagai strategi ekonomi dalam landskap media sosial kontemporari.
Masalah etika kritikal
Namun begitu, persoalan etika tetap kritikal. Apabila tubuh dijadikan alat untuk menjana pendapatan, implikasinya terhadap maruah diri dan masyarakat tidak boleh diabaikan. Apa yang berlaku ialah peralihan daripada ekspresi diri kepada eksploitasi diri yang dijenamakan sebagai kebebasan.
Di sinilah pendirian tegas perlu diambil. Tidak semua bentuk ekspresi adalah kebebasan. Dalam banyak keadaan, tabaruj mencerminkan penyesuaian terhadap sistem yang eksploitatif, bukan manifestasi kekuatan. Ia menunjukkan bagaimana nilai diri semakin bergantung kepada perhatian orang lain.
Jika isu ini ingin ditangani secara serius, pendekatan moral semata-mata tidak mencukupi. Individu perlu diperkasakan dengan literasi digital yang kritikal, termasuk kefahaman tentang bagaimana algoritma mempengaruhi emosi dan tingkah laku.
Institusi pendidikan perlu mengintegrasikan komunikasi digital kritikal dalam kurikulum, manakala platform perlu lebih telus dan bertanggungjawab terhadap reka bentuk sistem mereka. Pada masa yang sama, pembuat dasar perlu membangunkan regulasi berasaskan data yang selari dengan realiti digital semasa.
Bina naratif baharu
Akhirnya, masyarakat perlu membina naratif baharu tentang nilai. Selagi perhatian terus diberikan kepada kandungan sensasi, selagi itu ia akan mendominasi. Perlu ada usaha kolektif untuk menjadikan kandungan berasaskan ilmu, nilai dan sumbangan sebagai sesuatu yang relevan dan menarik.
Isu tabaruj di media sosial bukan sekadar tentang penampilan, tetapi tentang bagaimana manusia menilai diri dan bagaimana sistem membentuk pilihan secara tidak sedar. Persoalan sebenar bukan sama ada ia boleh atau tidak, tetapi mengapa ia dirasakan perlu.
Selagi persoalan ini tidak dijawab dengan jujur, kita akan terus hidup dalam ilusi kebebasan yang sebenarnya dikawal oleh sistem yang hanya peduli kepada perhatian, bukan kepada manusia itu sendiri.
Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon
Pengarah Kreatif
Sixtysix Action Academy




