Memartabat Wanita: Teras Kekuatan Negara Rahmah

Memartabat Wanita: Teras Kekuatan Negara Rahmah | IKRAM

Memartabatkan wanita bukan sekadar soal kesaksamaan, tetapi merupakan asas penting dalam pembinaan masyarakat yang sejahtera serta negara yang berdaya tahan. Dalam kerangka pembangunan negara rahmah, kedudukan serta peranan wanita perlu dihargai, diperkasa dan diberikan ruang yang sewajarnya.

Wanita IKRAM Malaysia menyambut baik tema Hari Wanita Peringkat Kebangsaan iaitu “Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara”.

Tema ini mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negara turut bergantung kepada kedudukan, peranan serta penghormatan yang diberikan kepada wanitanya bukan sekadar mengiktiraf sumbangan mereka, tetapi memastikan mereka diberikan ruang, akses serta sokongan yang adil dalam pelbagai dimensi kehidupan termasuk pendidikan, ekonomi, kepimpinan, sosial serta pembinaan keluarga. 

Islam sejak azali menegaskan bahwa lelaki dan wanita yang beriman serta beramal soleh dijanjikan keampunan serta ganjaran yang besar. Prinsip ini mengingatkan bahawa kemuliaan insan di sisi Allah SWT berasaskan iman dan amal, bukan jantina, seperti yang terkandung dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 35. 

Di peringkat global, tema Hari Wanita Antarabangsa 2026, “Give To Gain”, membawa mesej bahawa kemajuan wanita menuntut budaya memberi dengan memberi peluang, kepercayaan, perlindungan dan pengiktirafan. Apabila wanita diberikan ruang untuk berkembang, keseluruhan sistem sosial dan ekonomi akan menjadi lebih stabil serta berdaya tahan.

Realiti semasa menunjukkan bahawa usaha memartabatkan wanita masih memerlukan komitmen yang berterusan daripada semua pihak. Statistik menunjukkan bahawa wanita di Malaysia menghabiskan sekitar 19.1% masa mereka untuk kerja penjagaan tidak berbayar, berbanding lelaki hanya sekitar 6% (UN Women).

Dalam aspek kepemimpinan pula, wanita hanya memegang sekitar 13.5% kerusi parlimen di Malaysia, menunjukkan bahawa penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan masih perlu diperkukuh.

Selain itu, keselamatan wanita juga memerlukan perhatian serius. Statistik menunjukkan bahawa 11,042 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan pada tahun 2024, dan hampir 47.6% daripadanya merupakan kes keganasan rumah tangga (DOSM). Angka ini menuntut usaha secara holistik bagi memperkukuh perlindungan serta memastikan wanita dapat hidup dalam suasana yang selamat dan bermaruah.

Sehubungan itu, Wanita IKRAM Malaysia menyeru komitmen bersepadu daripada semua pihak bagi memastikan usaha memartabatkan wanita dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh oleh kerajaan dengan terus memperkukuh dasar mesra keluarga, memperluaskan akses kepada pendidikan serta meningkatkan penyertaan wanita dalam kepimpinan, termasuk memperkasa pelaksanaan sasaran 30% wanita dalam jawatan pembuat keputusan. 

Pertubuhan masyarakat pula diharapkan agar terus memperluas program pendidikan, advokasi serta pembangunan kepemimpinan wanita di semua peringkat.

Dalam masa yang sama, institusi keluarga memainkan peranan paling penting dalam memupuk budaya saling menghormati dan menghargai wanita sebagai ibu, isteri, anak serta anggota masyarakat.

Wanita sendiri juga perlu terus memperkukuh jati diri dengan menjadikan nilai agama sebagai asas kekuatan diri serta meningkatkan ilmu dan kemahiran agar mampu menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.

Seiring dengan aspirasi Malaysia Negara Rahmah (MNR), Wanita IKRAM Malaysia komited dengan usaha untuk membangunkan wanita secara holistik dari pelbagai aspek.

Seiring dengan itu, Wanita IKRAM Malaysia percaya bahawa memartabatkan wanita bukan sekadar agenda pembangunan sosial, tetapi merupakan langkah penting dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera.

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia