Isu memijak al-Quran bukan satu kes jenayah biasa. Ia adalah luka pada maruah umat, tamparan terhadap nilai agama dan cabaran terbuka kepada keharmonian negara.
Apabila seorang penuntut di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) didakwa bertindak memijak al-Quran, ia mencetuskan gelombang emosi yang wajar, marah, sedih, kecewa dan terguris. Namun dalam gelombang itu, kita perlu bertindak dengan hikmah, tetapi tidak sesekali berkompromi dengan penghinaan yang dicetuskan.
Sokongan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, terhadap siasatan menyeluruh adalah langkah yang tepat.
Apabila isu ini turut disentuh oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta mendapat titah tegas daripada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ia menandakan bahawa penghinaan terhadap agama bukan isu kecil. Ia isu kenegaraan. Ia isu yang menyentuh asas Rukun Negara, khususnya Kepercayaan kepada Tuhan.
Tindakan tegas
Bagaimanapun, dalam ketegasan itu, masyarakat mahukan lebih daripada sekadar kenyataan. Masyarakat mahukan keadilan. Masyarakat mahu tindakan yang tegas, jelas dan tanpa kompromi.
Al-Quran bukan buku biasa. Ia adalah kalam Allah. Ia sumber panduan hidup lebih 1.8 bilion umat Islam di dunia. Dalam tradisi Islam, adab terhadap al-Quran bukan perkara simbolik. Ia lambang keimanan.
Ulama sejak dahulu mengajar bahawa menghormati mushaf adalah sebahagian daripada memuliakan wahyu itu sendiri. Maka, tindakan memijaknya bukan hanya provokasi, tetapi juga penghinaan terang-terangan terhadap kesucian agama.
Dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia, tindakan seperti ini lebih berbahaya daripada yang disangka. Ia boleh mencetuskan api perpecahan. Ia boleh membuka ruang manipulasi politik. Ia boleh menggugat kestabilan sosial yang selama ini dibina dengan susah payah.
Tidak ada ruang untuk berkompromi dalam isu penghinaan agama. Undang-undang negara sudah menyediakan peruntukan jelas bagi kesalahan yang menyentuh sensitiviti agama dan ketenteraman awam.
Apa yang masyarakat tuntut ialah pelaksanaan undang-undang secara konsisten dan tegas. Jangan ada persepsi pilih kasih. Jangan ada tanggapan bahawa kes tertentu dilayan lembut kerana latar belakang tertentu. Keadilan yang lambat atau lembik hanya akan menambah bara di dada rakyat.
Memulihkan rakyat
Namun dalam ketegasan menuntut hukuman, kita juga mesti menampilkan wajah Islam yang rahmah. Di sinilah konsep Asas Islam Rahmah (AISAR) perlu diketengahkan.
AISAR bukan pendekatan lembik. AISAR bukan toleransi membuta tuli. AISAR ialah keseimbangan antara ketegasan dan hikmah, antara keadilan dan kasih sayang, antara mempertahankan prinsip dan memulihkan masyarakat.
Dalam kerangka AISAR, ada beberapa asas penting. Pertama, maruah agama mesti dipertahankan. Kedua, undang-undang mesti ditegakkan. Ketiga, pendidikan masyarakat mesti diperkasakan agar penghinaan seperti ini tidak berulang.
Kes ini adalah cerminan bahawa literasi agama dalam kalangan generasi muda masih perlu diperkukuh.
Jika pelaku bertindak kerana kebencian, ia menunjukkan wujudnya benih ekstremisme atau islamofobia yang perlu ditangani secara sistemik. Jika kerana kejahilan atau provokasi media sosial, ia membuktikan bahawa pendidikan nilai belum cukup membumi.
Bina ekosistem kefahaman
Sebagai pendidikan kepada masyarakat, kita tidak boleh sekadar menghukum dan mengharapkan isu ini selesai. Kita mesti membina ekosistem kefahaman. Di sekolah, di universiti, bahkan di ruang digital, pendidikan tentang sensitiviti agama perlu dijadikan arus perdana. Menghina agama bukan kebebasan bersuara. Ia adalah penyalahgunaan kebebasan.
Namun jangan silap faham. Pendidikan tidak menggugurkan keperluan hukuman. Hukuman yang tegas adalah mesej jelas bahawa negara tidak akan berkompromi dengan penghinaan agama. Ia menjadi benteng pencegahan. Ia memberi isyarat bahawa kebebasan di Malaysia datang bersama tanggungjawab.
Dalam suasana Ramadan pula, isu ini menjadi lebih sensitif. Ramadan adalah bulan penyucian jiwa. Tetapi penyucian jiwa tidak bermaksud kita menutup mata terhadap penghinaan. Sebaliknya, Ramadan mengajar kita untuk menuntut keadilan dengan sabar, bukan dengan amarah membuta tuli.
Umat Islam perlu bertenang, memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan. Jangan mengambil tindakan sendiri. Jangan terjebak dengan hasutan yang boleh merosakkan keamanan. Serahkan kepada undang-undang.
Tetapi pada masa sama, bersuaralah dengan tegas menuntut keadilan. Pihak berkuasa pula mesti bergerak dengan profesional, telus dan pantas. Rakyat memerhati. Dunia juga memerhati bagaimana Malaysia mengurus isu sensitif begini.
Kenakan hukuman berat
Jika kesalahan dibuktikan, hukuman berat tanpa kompromi wajar dikenakan. Ia bukan kerana dendam, tetapi kerana menjaga keharmonian. Dalam undang-undang, hukuman bukan sebagai pembalasan. Ia adalah pencegahan dan pendidikan.
Jika tindakan ringan diambil, ia boleh membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuba lagi. Hari ini al-Quran dipijak. Esok apa pula? Rumah ibadat diserang? Simbol agama dihina secara terbuka? Negara tidak boleh membiarkan garis merah ini dilangkaui.
Namun dalam menuntut ketegasan, kita juga mesti menolak eksploitasi politik. Isu agama tidak boleh dijadikan bahan bakar kebencian antara kaum atau parti. Jangan ada pihak yang menunggang emosi umat untuk kepentingan sempit. Prinsipnya jelas iaitu pertahankan agama, lindungi keharmonian, tegakkan undang-undang.
Kes ini juga peringatan bahawa media sosial adalah pedang bermata dua. Tindakan individu boleh menjadi tular dalam sekelip mata, mencetuskan gelombang kemarahan nasional.
Maka pendidikan digital dan etika siber juga perlu diperkukuh. Generasi muda mesti diajar bahawa apa yang mereka lakukan di ruang maya mempunyai implikasi nyata.
Masyarakat berilmu dan beradab
Akhirnya, mesejnya jelas dan tegas iaitu menghina al-Quran adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat bertamadun. Negara mesti menunjukkan bahawa undang-undang bukan hanya tulisan di atas kertas. Ia mesti ditegakkan dengan adil dan berani.
Dengan semangat AISAR, kita berdiri teguh mempertahankan maruah agama, tetapi tetap berpegang kepada prinsip keadilan dan rahmah. Kita mahu hukuman yang tegas, tetapi kita juga mahu masyarakat yang lebih berilmu dan beradab.
Jika kes ini ditangani dengan betul, tegas dalam undang-undang, matang dalam komunikasi dan menyeluruh dalam pendidikan, ia boleh menjadi titik perubahan. Bahkan ia boleh menjadi momentum memperkukuh kefahaman agama, mempererat keharmonian dan membina masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
Al-Quran tidak akan terjejas sedikit pun dengan perbuatan manusia. Tetapi maruah kita sebagai masyarakat yang beradab akan teruji. Maka bertindaklah dengan tegas, adil dan rahmah tanpa kompromi terhadap penghinaan dan tanpa kebencian terhadap kemanusiaan. Itulah keseimbangan yang perlu kita pertahankan.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia




