Malaysia sering dirujuk sebagai contoh negara majmuk yang relatif stabil. Rakyat pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India serta etnik Sabah dan Sarawak seperti Iban, Kadazan-Dusun dan Bidayuh, hidup dalam satu kerangka kenegaraan yang sama.
Kepelbagaian ini terpancar melalui bahasa, makanan, perayaan dan rumah ibadat, namun tetap berkongsi ruang sosial dan ekonomi yang saling berkait.
Di sekolah, tempat kerja, pasar dan pejabat kerajaan, interaksi rentas kaum berlaku setiap hari. Inilah wajah sosial Malaysia yang sering dijadikan asas naratif perpaduan nasional. Namun dalam konteks semasa, perpaduan tidak lagi boleh dinilai melalui simbol keharmonian semata-mata.
Pengumuman skor 0.701 bagi Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 meletakkan tahap perpaduan negara pada paras sederhana tinggi.
Peningkatan daripada 0.567 (2018) dan 0.629 (2022) menunjukkan trajektori positif, selari dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12. Secara keseluruhan, ia memberi gambaran bahawa perpaduan yang merupakan asas sosial negara masih stabil.
Tetapi persoalan penting wajar diajukan ialah, adakah angka ini benar-benar mencerminkan sentimen rakyat, atau sekadar menggambarkan kestabilan yang rapuh?
Defisit sosial yang masih membara
Di sebalik skor yang meyakinkan, IPNas 2025 turut mendedahkan faktor-faktor defisit sosial yang signifikan. Sebanyak 60.3% responden melihat sentimen etnik sebagai cabaran utama perpaduan. Ia diikuti pengaruh media (57.2%), politik (56.9%) dan agama (56.7%).
Dapatan ini menunjukkan bahawa identiti etnik masih menjadi lensa utama dalam menilai isu sosial dan ekonomi. Konflik terbuka mungkin jarang berlaku, tetapi garis pemisah psikologi tetap wujud. Persepsi tentang keadilan, peluang dan representasi masih sering ditafsir melalui kerangka identiti.
Perpaduan dalam keadaan ini menjadikannya bersifat bersyarat. Ia dilihat stabil selagi tiada isu besar mencetuskan emosi kolektif.
Realiti harmoni, persepsi digital yang tegang
Menariknya, konflik paling lantang hari ini bukan berlaku di pasar atau tempat kerja, tetapi di ruang maya.
Dalam kehidupan fizikal, masyarakat umumnya berinteraksi secara normal. Namun di media sosial, naratifnya jauh berbeza. Isu agama, kaum, bahasa dan pembangunan wilayah mudah mencetuskan polemik berpanjangan. Algoritma digital mengutamakan kandungan beremosi seperti marah, takut dan curiga kerana ia dapat meningkatkan kadar keterlibatan.
Akibatnya, persepsi boleh terbentuk lebih pantas daripada fakta. Perdebatan reaktif mendahului penjelasan dasar. Isu terpencil dibingkaikan seolah-olah mencerminkan keseluruhan realiti negara.
IPNas mengukur tahap perpaduan dalam konteks sosial yang lebih luas, tetapi ia tidak secara langsung mengukur tahap polarisasi digital atau impak disinformasi. Di sinilah wujud jurang antara kestabilan fizikal dan ketegangan psikologi dalam talian.
Dalam era algoritma, perpaduan bukan sekadar diuji di lapangan, tetapi juga dalam ruang digital yang tidak bersempadan.
Dimensi wilayah dan kepercayaan persekutuan
Data IPNas turut menunjukkan variasi skor antara negeri. Sabah dan Sarawak mencatat tahap perpaduan lebih tinggi berbanding beberapa negeri di Semenanjung. Perbezaan ini membuka persoalan tentang hubungan federalisme dan rasa kekitaan terhadap pusat.
Isu agihan pembangunan, tuntutan hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 serta persepsi dominasi politik pusat mempengaruhi sentimen wilayah. Perpaduan nasional tidak hanya bergantung kepada pentadbiran cekap, tetapi juga pengiktirafan identiti dan aspirasi wilayah secara adil.
Apabila jurang antara naratif pusat dan pengalaman wilayah melebar, perpaduan memerlukan lebih daripada slogan dan ia memerlukan pembetulan struktur.
Agama dan politik persepsi
Agama bukan sahaja merupakan elemen penting dalam struktur sosial Malaysia, tetapi juga antara faktor paling sensitif dalam wacana awam. Isu perundangan dan moral yang dipolitikkan boleh mencetuskan polemik besar walaupun kesnya terpencil.
Dalam ruang digital, insiden kecil mudah digeneralisasikan kepada seluruh komuniti. Retorik eksklusif menenggelamkan naratif kesederhanaan. Walaupun konflik fizikal jarang berlaku, persepsi ancaman antara komuniti boleh terbentuk dengan cepat.
Ringkasnya, ketiadaan konflik terbuka sahaja belum boleh menjadi penentu kestabilan sebenar, sebaliknya kematangan wacana agama yang diadakan di ruang awam bagi meningkatkan kembali naratif kesederhanaan patut diutamakan.
Tadbir urus: Faktor penentu perpaduan
Menariknya, IPNas menunjukkan bahawa faktor paling dominan menyumbang kepada perpaduan ialah tadbir urus dan pembangunan (69.7%). Ia membawa mesej jelas bahawa rakyat menilai keharmonian negara berdasarkan pengalaman harian mereka termasuklah peluang pekerjaan, keadilan sistem, keselamatan dan keberkesanan perkhidmatan awam.
Perpaduan hari ini bergantung kuat pada keyakinan terhadap sistem.
Namun kebergantungan ini juga menjadikannya rapuh. Dalam era media sosial, berita palsu dan manipulasi fakta boleh meruntuhkan keyakinan dengan pantas. Isu kos sara hidup, contohnya, mudah dieksploitasi menjadi sentimen perkauman.
Jika kepercayaan terhadap keadilan sistem mula goyah, perpaduan boleh terhakis secara perlahan tanpa disedari.
Ujian kerajaan MADANI
Dalam konteks ini, kerajaan MADANI meletakkan naratif keadilan sosial dan tadbir urus berintegriti sebagai teras pentadbiran. Pendekatan ini menekankan nilai kemampanan, kesejahteraan, hormat dan ihsan dalam usaha membina semula kepercayaan rakyat.
Reformasi tata kelola, ketelusan perolehan, penambahbaikan sistem penyampaian serta usaha menangani kos sara hidup dan pembangunan wilayah merupakan langkah penting. Pendidikan, TVET dan ekonomi digital pula dilihat sebagai pemacu mobiliti sosial yang lebih inklusif.
Namun cabaran utama bukan sekadar merangka dasar, tetapi memastikan pelaksanaan konsisten dan dirasai. Dalam persekitaran digital, kelewatan kecil atau komunikasi yang lemah boleh dimanipulasi menjadi naratif kegagalan.
Reformasi memerlukan masa, tetapi persepsi terbentuk secara serta-merta.
Di sinilah ujian sebenar kerajaan: bukan sekadar menaikkan skor indeks, tetapi mengekalkan kepercayaan rakyat ketika berdepan tekanan politik identiti dan gelombang maklumat yang tidak terkawal.
Antara skor dan kepercayaan
IPNas 2025 memberi isyarat bahawa Malaysia masih mempunyai tapak perpaduan yang kukuh. Namun skor 0.701 bukan jaminan kekal. Ketahanan sebenar bergantung kepada integriti institusi, keadilan sistem dan keberanian politik menolak eksploitasi perkauman.
Perpaduan dalam era digital menuntut lebih daripada toleransi simbolik. Ia memerlukan literasi media, pengurusan ekosistem maklumat dan budaya dialog yang matang. Tanpa hal tersebut, jurang antara persepsi digital dan realiti sosial boleh terus melebar walaupun statistik kelihatan stabil.
Akhirnya, perpaduan bukan sekadar tentang hidup bersama, tetapi tentang percaya antara satu sama lain dan kepada sistem yang mentadbir. Skor indeks boleh memberi keyakinan sementara, tetapi kepercayaan rakyatlah yang menentukan ketahanan sebenar negara.
Jika kepercayaan itu berjaya diperkukuh melalui tindakan konsisten dan telus, jurang antara persepsi dan realiti boleh dirapatkan. Jika tidak, perpaduan mungkin kekal pada skor yang memuaskan, tetapi gelisah akan terus dirasai dalam jiwa masyarakat.
Dr Sabariah Baharun
Naib Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




