IKRAM Kecam Penghinaan Terhadap al-Quran, Seru Ketenangan Demi Keharmonian Negara

IKRAM Kecam Penghinaan Terhadap al-Quran, Seru Keharmonian

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang serius insiden yang didakwa melibatkan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang telah menghina al-Quran dan kini tular di media sosial, lebih-lebih lagi ketika umat Islam berada dalam bulan Ramadan yang dimuliakan sebagai bulan al-Quran.

IKRAM dengan tegas mengecam dan mengutuk sebarang bentuk penghinaan terhadap al-Quran. Perbuatan sebegini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, malah tidak boleh diterima oleh mana-mana agama yang menjunjung kesucian kitab suci masing-masing.

Ketegasan dalam mempertahankan penghormatan terhadap agama tidak seharusnya ditafsir sebagai sikap ekstrem, sebaliknya merupakan usaha menjaga batas sensitiviti serta keharmonian dalam ruang awam yang dikongsi bersama oleh masyarakat majmuk di negara ini.

IKRAM menyeru umat Islam agar kekal tenang dan tidak bertindak melulu dalam menghadapi isu ini. Meskipun tindakan menghina al-Quran adalah sesuatu yang serius, sebarang provokasi atau spekulasi wajar dielakkan.

Masyarakat perlu memberi ruang dan kepercayaan kepada pihak berautoriti seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus berdasarkan lunas undang-undang.

Insiden ini juga wajar dijadikan peringatan kepada umat Islam untuk terus bersungguh-sungguh memperkenalkan Islam sebagai cara hidup yang membawa rahmah kepada seluruh manusia.

Islam bukan sahaja menuntut kita mempertahankan kesuciannya, malah menyeru agar kefahaman tentang Islam disampaikan kepada masyarakat secara hikmah, berakhlak dan penuh kebijaksanaan.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا

“Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka menjawab dengan ucapan yang sejahtera.” (Surah al-Furqan: 63)

IKRAM menegaskan komitmen untuk terus memelihara kesucian agama dan keharmonian negara secara seimbang, berhemah dan berlandaskan prinsip undang-undang demi kesejahteraan bersama.

Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia