Rasuah di Malaysia: CPI 2025 Naik, Sasaran Masih Jauh

sasaran

Peningkatan skor Malaysia dalam Corruption Perceptions Index (CPI) 2025 kepada 52 mata, berbanding 50 mata dalam dua tahun sebelumnya, wajar diiktiraf sebagai satu perkembangan positif. Ia menandakan adanya usaha pembaikan, sama ada dari sudut dasar, komitmen politik mahupun naratif reformasi yang semakin lantang dibicarakan.

Namun, seperti yang diingatkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), peningkatan ini tidak seharusnya melahirkan rasa selesa apatah lagi sikap sambil lewa.

Berada di skor 52 mata dan kedudukan ke-54 dunia bermakna Malaysia masih jauh daripada mencerminkan aspirasi sebuah negara yang benar-benar menjunjung integriti, keadilan dan amanah dalam tadbir urus.

Lebih penting, CPI bukan sekadar soal angka, tetapi cerminan kepercayaan rakyat dan pelabur terhadap kesungguhan negara memerangi rasuah secara sistemik dan konsisten.

Rajah 1 : Kenyataan Media oleh EAIC

Dalam konteks ini, kenyataan dan pendirian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) harus diberikan perhatian serius.

EAIC dengan jelas menegaskan bahawa sasaran Malaysia untuk berada dalam kelompok 25 negara teratas CPI menjelang 2033 tidak akan tercapai sekiranya reformasi hanya terhenti di peringkat dasar, pelan tindakan atau pengumuman politik. Apa yang dituntut ialah tindakan yang kredibel, berani dan memberi impak nyata.

Penegasan EAIC bahawa persepsi dan naratif terhadap rasuah perlu diubah secara radikal patut disokong. Rasuah tidak boleh lagi dilihat sebagai “penyimpangan kecil”, “isu terpencil” atau sekadar salah laku individu.

Ia mesti difahami sebagai satu bentuk rompakan terhadap negara, merompak hak rakyat, menjejaskan keadilan sosial dan melemahkan institusi awam. Selagi naratif ini tidak diarusperdanakan dalam kalangan penjawat awam dan kepimpinan institusi sedia ada, usaha meningkatkan CPI akan kekal bersifat kosmetik.

Lebih kritikal, amaran EAIC terhadap keperluan ketegasan dalam tindakan tatatertib harus diterjemahkan dengan segera. Ketua jabatan dan pihak berkuasa tidak boleh terus berlindung di sebalik alasan sensitiviti, tekanan dalaman atau kebimbangan terhadap reaksi awam. 

Menyingkirkan pegawai yang terbukti korup, melaksanakan syor tatatertib yang tegas dan bertindak secara telus mungkin tidak popular tetapi inilah harga yang perlu dibayar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Dalam hal ini juga, cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia tidak boleh dianggap sebagai satu lagi penambahan institusi semata-mata. Selari dengan pendirian EAIC dan TI-M, 

Ombudsman Malaysia mesti dirancang dengan mandat yang jelas, kuasa yang menyeluruh dan bebas daripada campur tangan politik atau birokrasi. Sebuah Ombudsman yang lemah, terhad bidang kuasa atau bertindih fungsi hanya akan menambah kekeliruan serta merencatkan agenda reformasi.

Penegasan Tan Sri Dr. Ismail Bakar mengenai keperluan bidang kuasa Ombudsman yang meliputi semua agensi perkhidmatan awam adalah satu titik penting. Ombudsman mesti berupaya menerima, menyiasat dan menyelesaikan aduan awam secara menyeluruh serta menutup ruang kepada salah tadbir dan pelanggaran integriti.

Lebih signifikan, cadangan agar dapatan dan syor Ombudsman dapat dimanfaatkan secara langsung oleh Pihak Berkuasa Tatatertib merupakan langkah praktikal untuk mengelakkan pertindihan siasatan, menjimatkan sumber dan mempercepat keadilan pentadbiran.

Pendekatan ini selari dengan prinsip Negara Rahmah yang menekankan amanah, keadilan dan kebertanggungjawaban sebagai asas tadbir urus. Negara Rahmah tidak boleh wujud dalam persekitaran yang membiarkan rasuah berakar umbi atau melindungi salah laku atas nama kestabilan dan keharmonian palsu.

Sebaliknya, rahmah menuntut keberanian moral; berani menegur, berani membetulkan dan berani menghukum demi kebaikan jangka panjang negara.

Akhirnya, peningkatan CPI 2025 harus dilihat sebagai peluang, bukan pencapaian muktamad. Ia memberi isyarat bahawa perubahan itu mungkin tetapi hanya akan menjadi realiti sekiranya reformasi institusi digerakkan secara menyeluruh, konsisten dan bebas daripada kompromi politik.

Oleh itu, adalah diharapkan agar komitmen yang dizahirkan oleh EAIC, TI-M dan kepimpinan negara diterjemahkan kepada tindakan yang berani dan berprinsip demi memastikan integriti bukan sekadar slogan tetapi menjadi budaya dan amalan sebenar dalam pentadbiran negara.

Malaysia masih mempunyai ruang untuk memperbaiki diri. Persoalannya kini bukan lagi sama ada kita mampu meningkatkan skor CPI, tetapi sama ada kita benar-benar bersedia untuk membayar harga reformasi yang tulen.

Prof. Dr. Hanim Salleh
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Rujukan

Kenyataan Media EAIC – Reformasi Penguatkuasaan Agensi

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia