Isu Pemisahan Kuasa, Dana Politik: Usah Tangguh Lagi

politik

Memasuki tahun 2026, Malaysia berada pada satu fasa persimpangan penting dalam perjalanan reformasi institusi negara.

Setelah reformasi dijadikan tema utama pascaperubahan landskap politik nasional, rakyat kini semakin matang menilai kerajaan bukan lagi berdasarkan slogan dan manifesto tetapi berdasarkan keberanian membuat keputusan sukar demi kepentingan jangka panjang negara.

Dalam konteks ini, dua agenda reformasi teras wajar diberi keutamaan dan tidak lagi ditangguhkan iaitu pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya melalui pindaan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan serta penggubalan Akta Pendanaan Politik yang komprehensif dan telus. 

Kedua-dua agenda ini bukan sekadar pembaikan teknikal, tetapi menyentuh asas keadilan, integriti dan kepercayaan rakyat terhadap sistem kenegaraan.

Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya

Struktur sedia ada yang menggabungkan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan pada masa yang sama memegang kuasa sebagai Pendakwa Raya telah lama menjadi subjek perdebatan awam.

Dalam keadaan politik yang semakin kompetitif dan berbilang parti, struktur ini mewujudkan konflik kepentingan yang jelas atau sekurang-kurangnya persepsi konflik kepentingan.

Walaupun sistem perundangan negara berfungsi berdasarkan profesionalisme dan peraturan, realitinya keadilan yang sentiasa dipersoalkan dari sudut kebebasan akan kehilangan legitimasi awam. Persepsi ini menjadi lebih ketara apabila melibatkan kes-kes berprofil tinggi yang mempunyai implikasi politik.

Hakikat bahawa kajian dan rundingan meluas telah pun dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri menunjukkan bahawa isu ini bukan lagi kekurangan kajian atau ketiadaan model pelaksanaan.

Banyak negara Komanwel lebih awal memisahkan fungsi ini bagi memastikan pendakwaan bebas daripada pengaruh eksekutif.

Persoalan yang tinggal ialah, sama ada kerajaan bersedia untuk mengambil risiko politik jangka pendek demi manfaat institusi jangka panjang. Mari kita fikirkan bersama-sama

Dari perspektif nilai, pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya selari dengan prinsip maqasid syariah, khususnya hifz al-‘adl (pemeliharaan keadilan) dan sad al-zara’i (menutup jalan kepada mudarat).

Dalam kerangka siasah syar‘iyyah, pencegahan terhadap potensi penyalahgunaan kuasa adalah sebahagian daripada amanah kepimpinan, bukan tanda ketidakpercayaan terhadap individu. 

Alhamdulillah, baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan komitmen kerajaan berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah rang undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen tahun ini.

Ia disertakan dengan beberapa pengumuman lain iaitu Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat dan Rang Undang-Undang Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan dibentang pada sesi Parlimen ini. 

Status Akta Pendanaan Politik

Reformasi institusi kehakiman dan pendakwaan tidak akan berkesan sepenuhnya jika sistem politik terus beroperasi dalam ekosistem pendanaan yang kabur dan tidak terkawal.

Ketiadaan undang-undang khusus berkaitan pendanaan politik telah lama membuka ruang kepada kes politik yang melampau, dominasi penderma besar dan normalisasi rasuah politik sebagai alat survival untuk meneruskan kehidupan. 

Usaha ke arah penggubalan Akta Pendanaan Politik sebenarnya telah bergerak lebih jauh daripada yang sering difahami umum.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) telah menjalankan kajian serta beberapa siri rundingan, manakala Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia  (APPGM) telah menyediakan draf rang undang-undang berkaitan pendanaan politik sejak 2024. 

Hal ini membuktikan bahawa kesediaan teknikal dan sokongan rentas parti wujud, sekurang-kurangnya pada peringkat dasar.

Namun, kelewatan menterjemahkan usaha ini kepada penggubalan dan pembentangan di Parlimen menimbulkan persoalan tentang tahap keutamaan sebenar reformasi ini. Tanpa kerangka undang-undang yang jelas, integriti politik akan sentiasa bergantung kepada komitmen moral individu dan bukannya sistem yang mengikat.

Cadangan memasukkan komponen pendanaan awam perlu dilihat sebagai mekanisme membina keadilan politik, bukan pembaziran dana negara.

Pendanaan awam yang disertai dengan syarat ketelusan dan akauntabiliti dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber kewangan tidak telus serta mewujudkan medan persaingan yang lebih adil. Ia juga menjadikan setiap proses politik lebih telus dan mampan. 

Dalam kerangka siasah rahmah, kuasa politik yang dibiayai secara bersih lebih berpotensi digunakan demi kemaslahatan rakyat dan bukannya untuk memenuhi tuntutan penyumbang tertentu.

Usah tangguh lagi

Kerajaan hari ini sering menekankan keperluan proses, rundingan dan konsensus. Prinsip ini penting dalam demokrasi. Namun, proses tanpa garis masa yang jelas berisiko menjadi alasan untuk penangguhan berpanjangan. Reformasi institusi menuntut keputusan politik yang tegas, walaupun tidak popular.

Tahun 2026 wajar menjadi titik pemisah antara:

  • reformasi sebagai wacana
  • reformasi sebagai tindakan

Sekiranya pindaan Perkara 145 (3) dan Akta Pendanaan Politik terus ditangguhkan, mesej yang sampai kepada rakyat ialah reformasi hanya dilaksanakan apabila selari dengan kepentingan politik semasa, bukan apabila ia diperlukan oleh sistem negara.

IKRAM melihat isu ini melalui lensa pembinaan negara. Sebagai gerakan masyarakat sivil, IKRAM sentiasa berusaha menyumbang pandangan berasaskan nilai, kepakaran dan pengalaman dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan keadilan sosial.

IKRAM percaya bahawa reformasi institusi yang kukuh memerlukan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat. Namun, tanggungjawab akhir untuk membuat keputusan tetap terletak pada kepimpinan politik yang diberi mandat oleh rakyat.

Malaysia tidak kekurangan laporan, kajian dan cadangan dasar. Yang semakin terhad ialah masa untuk bertangguh. Pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penggubalan Akta Pendanaan Politik adalah prasyarat penting untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan demokrasi negara.

Jika kerajaan benar-benar komited kepada prinsip keadilan, amanah dan rahmah, maka tahun 2026 mesti menjadi tahun pelaksanaan dan bukan sekadar lanjutan perbincangan. Reformasi yang terlalu lama ditangguhkan akhirnya akan kehilangan makna dan kepercayaan rakyat sukar untuk dipulihkan.

Prof. Dr. Hanim Salleh 
Naib Presiden 
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia