Dalam era digital yang semakin berkembang pesat ini, fenomena “viral” atau tular telah muncul sebagai satu saluran suara rakyat dalam usaha mencari keadilan. Trend menularkan isu semakin ketara apabila berhadapan dengan kekecewaan dalam mendapatkan penyelesaian melalui saluran rasmi yang sedia ada.
Secara tidak langsung, penggunaan media sosial sebagai platform untuk mendapatkan perhatian pihak berkuasa telah menimbulkan beberapa implikasi terhadap sistem pentadbiran dan masyarakat.
Keputusan untuk menjadikan sesuatu isu viral bukanlah pilihan mudah bagi kebanyakan rakyat. Penggunaan kuasa viral juga membawa risiko kepada individu yang terlibat.
Mereka terpaksa mendedahkan masalah peribadi kepada umum, berhadapan dengan risiko buli siber dan kehilangan privasi yang sepatutnya dijaga. Namun, adakalanya ia menjadi pilihan terakhir setelah berhadapan dengan pelbagai halangan birokrasi yang meletihkan atau menyulitkan.
Proses yang panjang dan maklum balas yang tidak memuaskan daripada pihak berkuasa telah mendorong usaha mencari alternatif baharu dalam menyuarakan masalah mereka.
Hal ini menjadi lebih membimbangkan apabila isu-isu yang memerlukan penyelesaian segera terpaksa melalui proses yang berbelit-belit, menyebabkan mereka yang terdesak menggunakan platform media sosial sebagai jalan keluar.
Kadang-kadang, cara ini dapat membongkar kes-kes yang mungkin tidak akan mendapat perhatian melalui saluran biasa. Kebiasaannya apabila sesuatu isu dibangkitkan hingga tular, hal itu akan mendapat perhatian segera daripada pihak berkuasa akibat daripada tekanan awam yang terhasil.
Dalam pada itu, ia telah mengangkat suara golongan yang terpinggir, namun dalam masa yang sama, hal ini menunjukkan ada kelemahan yang wujud dalam sistem pentadbiran.
Situasi ini juga telah mewujudkan satu budaya di mana masyarakat mula melihat media sosial sebagai “mahkamah rakyat”.
Sering kali, kita dapat melihat pelbagai isu seperti kes penipuan, penganiayaan, ketidakadilan dan masalah pengguna yang terpaksa dibawa ke platform media sosial dengan harapan untuk mendapat perhatian pihak berkenaan.
Lebih membimbangkan, ia telah mewujudkan budaya “viral atau tidak akan diselesaikan” yang boleh mengakibatkan isu-isu penting menjadi sekadar bahan sensasi tanpa penyelesaian sebenar. Keadaan ini juga boleh menyebabkan masyarakat mula memandang rendah proses dan prosedur yang telah ditetapkan.
Trend tular ini secara tidak langsung mencerminkan kegagalan sistem sedia ada dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi-institusi yang sepatutnya melindungi kepentingan mereka.
Fenomena ini bukan sahaja menunjukkan ada masalah ketidakcekapan dalam sistem sedia ada, malah ia turut mencerminkan tahap kepercayaan rakyat yang semakin menurun terhadap saluran rasmi.
Selain itu, pendedahan berlebihan di media sosial juga boleh memberi kesan negatif kepada proses perundangan sekiranya kes tersebut memerlukan tindakan undang-undang.
Maklumat yang disebarkan secara meluas di media sosial boleh menjejaskan proses siasatan dan seterusnya menjejaskan peluang untuk mendapatkan keadilan sebenar melalui saluran yang betul.
Bagi menangani isu ini secara holistik, beberapa langkah penambahbaikan perlu dilaksanakan secara menyeluruh. Sistem pentadbiran berkaitan perlu diperkemas dengan mempercepat proses birokrasi dan meningkatkan ketelusan dalam setiap peringkat urusan.
Ia termasuklah mewujudkan sistem pemantauan yang lebih efisien dan memastikan setiap aduan mendapat maklum balas yang sewajarnya dalam tempoh masa yang munasabah.
Selain itu, saluran sedia ada seperti unit aduan awam perlu diperkasakan dan diberi kuasa yang sewajarnya untuk bertindak. Antaranya termasuklah meningkatkan bilangan kakitangan terlatih, menyediakan sistem pengurusan aduan yang lebih sistematik dan memperkenalkan mekanisme pemantauan prestasi yang berkesan.
Pihak berkuasa juga perlu memastikan setiap aduan direkodkan dan dipantau dengan teliti untuk mengelakkan sebarang kes tercicir atau diabaikan.
Program pendidikan dan kesedaran perlu dipergiat untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang hak dan tanggungjawab mereka. Hal ini termasuk memberikan pendedahan tentang saluran-saluran yang betul untuk membuat aduan, prosedur yang perlu diikuti dan jangka masa yang diperlukan untuk sesuatu proses.
Masyarakat juga perlu dididik tentang kepentingan menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan implikasi penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu mengambil inisiatif untuk meningkatkan kecekapan dalam mengendalikan aduan awam.
Ia boleh dilakukan melalui penggunaan teknologi terkini seperti sistem pengurusan aduan dalam talian yang lebih mesra pengguna, sistem pemantauan status aduan secara masa nyata dan penggunaan aplikasi mudah alih untuk memudahkan proses membuat dan memantau aduan.
Kesimpulannya, walaupun fenomena tular telah terbukti berkesan dalam mendapatkan perhatian segera, ia seharusnya tidak menjadi norma dalam menyelesaikan masalah rakyat.
Sistem sedia ada seharusnya dapat memberikan perkhidmatan yang efisien kepada rakyat. Yang penting ialah perlunya setiap rakyat mendapat akses kepada keadilan melalui sistem yang telus, cekap dan berkesan.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia