HARA 2025: Lebih 200 Sertai Pertandingan Video

HARA 2025: Lebih 200 Sertai Pertandingan Video | IKRAM

SHAH ALAM – Sambutan terhadap pertandingan video sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Rasuah Busters terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila sebanyak 207 penyertaan diterima tahun ini.

Peningkatan penyertaan ini sekali gus mencerminkan kesedaran dan penglibatan masyarakat yang semakin tinggi dalam advokasi menolak rasuah.

Naib Presiden IKRAM, Profesor Dr Hanim Salleh berkata, penyertaan tertinggi direkodkan dalam kategori pelajar institusi pengajian tinggi yang merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan penyertaan.

Menurutnya, perkembangan tersebut membuktikan keberkesanan pelaksanaan Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) yang diwajibkan di universiti dan kolej dalam membina kefahaman serta kesedaran pelajar terhadap isu rasuah.

“KIAR memainkan peranan yang sangat penting dalam mendedahkan pelajar kepada konsep integriti dan bahaya rasuah. Kesedaran ini seterusnya mendorong mereka untuk terlibat secara aktif dalam pertandingan video HARA,” katanya kepada Rasuah Busters pada Selasa.

Hanim memaklumkan, jumlah penyertaan menunjukkan peningkatan ketara daripada sekitar 130 penyertaan pada 2024 kepada lebih 200 penyertaan pada tahun ini.

“Alhamdulillah, peningkatan ini amat memberangsangkan. Ia mencerminkan minat rakyat Malaysia yang semakin tinggi untuk menyuarakan penolakan terhadap rasuah melalui pendekatan seni dan medium digital, khususnya menerusi platform TikTok,” katanya.

Bagi penganjuran kali ini, pihak penganjur turut memperkenalkan markah bonus untuk penyertaan secara berkumpulan, sekali gus menggalakkan penglibatan lebih meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Hasilnya, lebih 2,500 individu terlibat secara langsung dalam penghasilan video pertandingan tersebut.

Tambah beliau, penyertaan berkumpulan merangkumi sekolah, pelajar universiti, badan kerajaan, jawatankuasa masjid serta kumpulan produksi video.

Penyertaan secara berkumpulan bukan sahaja meningkatkan jumlah penglibatan, malah menyumbang kepada kualiti kandungan yang dihasilkan.

Penyertaan berkumpulan memerlukan proses kajian, perancangan, koordinasi dan persediaan yang lebih rapi. Ini secara langsung menyumbang kepada penghasilan video yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi,” katanya.

Mengulas status pertandingan, beliau memaklumkan, pertandingan video HARA 2025 telah ditutup sepenuhnya pada jam 11.59 malam, 15 Disember lalu.

Ujarnya, ketika ini pihak penganjur berada dalam fasa penapisan dan penilaian awal, selaras dengan tema, kriteria serta syarat-syarat pertandingan yang telah ditetapkan.

“Keputusan pertandingan dijangka diumumkan pada pertengahan Januari, dengan para pemenang akan dimaklumkan secara langsung dan dijemput secara rasmi ke majlis penyampaian hadiah,” katanya.

Dalam pada itu, Hanim turut menyatakan harapan agar video-video yang dihasilkan dapat memberi kesedaran menyeluruh kepada masyarakat mengenai pelbagai bentuk rasuah serta kesan buruknya.

Tegas beliau, mesej utama pertandingan berkenaan adalah rasuah tidak boleh dinormalisasikan dalam apa jua keadaan.

“Kami berharap masyarakat dapat mengambil nilai dan pengajaran daripada video-video ini, khususnya dalam mengenali rasuah sama ada yang kecil mahupun berskala besar, serta memahami kesannya terhadap individu, masyarakat dan negara.

Rasuah adalah satu pilihan yang mesti ditolak. Dalam setiap situasi, nilai integriti perlu sentiasa menjadi pilihan utama,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia