KUALA SELANGOR – Lebih 3,000 orang telah berkunjung dan memeriahkan Karnival 40 Tahun Hira’ bagi memperingati sumbangan besar sekolah itu selama 40 tahun, di Sekolah Menengah Islam Hira’ dan Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ di sini.
Para pengunjung terdiri daripada pengasas, mantan ahli lembaga, bekas guru dan pengetua, alumni, kakitangan, pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat, yang memberikan tanda simbolik penyatuan empat dekad komuniti itu dalam perjuangan pendidikan Hira’.
Karnival 40 Tahun Hira’ yang diraikan pada Sabtu, 15 November lalu dengan pelbagai aktiviti menarik dari 10.00 pagi hingga 10.30 malam telah dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.
Karnival ini menampilkan pameran pendidikan dan agensi luar termasuk Pusat Darah Negara, Hidayah Centre Foundation (HCF), MyCARE, Agensi Antidadah Kebangsaan (ADDK), Balai Bomba Kuala Selangor, Bank Muamalat dan Inteam.

Karnival bersejarah ini juga diserikan dengan slot ilmu merangkumi sesi Tahsin al-Fatihah, Taklimat Kempen Ansar Initiative HCF dan Pesan Pakcik Lan “Redah Sampai Allah Reda”, persembahan Inteam termasuk pelbagai pertandingan rakyat, mewarna, tilawah al-Quran dan azan, zoo mini, soopa doopa serta Jualan Rahmah.
Usai solat maghrib dan Solat Hajat Perdana, kemuncak acara karnival pada malamnya dimeriahkan dengan persembahan khas nasyid “Quranic Generation” oleh alumni Hira’ (Batch Hira’ 1 – 4) dan konsert nasyid oleh Munif Hijjaz, Rabithah, Fetya, Putra Aiman & Haikal Iman, serta Cabutan Rezeki (Grand Prize).

Hadir bersama dalam majlis antaranya wakil Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta KPM, En. Mohd. Suffian Mohd. Mahmud; Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan Islam JAIS, Dr. Hj. Azammuddin Zainuddin dan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Adab dan Nilai JPNS, Ustaz Mohd Razali Abdullah Sani.
Turut hadir Setiausaha Agung IKRAM, En. Mohd. Hafiz Abd. Hamid mewakili Presiden IKRAM, Setiausaha LPA MIEB, Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor dan barisan kepimpinan Institusi Pendidikan Hira’, termasuk Pengerusi Ahli Lembaga Pengelola Sekolah, Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Yang Dipertua PIBG, Dr. Abdul Rahman Khalid, serta wakil-wakil rasmi daripada pelbagai agensi utama.

Sejak 1985, Hira’ konsisten dengan khidmat dan sumbangan pendidikannya untuk membina generasi Rabbani melalui pendidikan holistik, budaya ilmu, penghasilan huffaz al-Quran dan pembinaan adab serta akhlak.

Melalui slogan Sambutan 40 Tahun Hira’ iaitu “Memacu Aspirasi, Mencipta Legasi”, menjadi setinggi harapan pada masa depan agar institusi pendidikan Islam seperti Hira’ ini akan terus melahirkan pemimpin ummah yang cemerlang dari segi ilmu, akhlak dan kepimpinan, dan memberi impak positif kepada masyarakat dan negara, insya-Allah.
Lihat lagi liputan Karnival 40 Tahun Hira’: FB Institusi Pendidikan Hira’




