Jihad & Perang terhadap Bukan Muslim yang Disalahfahami

Jihad & Perang terhadap Bukan Muslim yang Disalahfahami

Islam sering disalahfahami sebagai agama yang menganjurkan peperangan, lebih-lebih lagi apabila muncul perkataan “jihad” atau “jihadis” dalam berita atau media sosial. Gambaran yang segera muncul dalam fikiran kebanyakan orang ialah imej keganasan, radikalisme dan terorisme. 

Gambaran seperti ini adalah kesalahfahaman yang amat popular berkaitan istilah-istilah Islam dan sering kali digunakan media sebagai satu strategi licik mereka untuk mengaitkan istilah “jihad” dengan unsur ekstremisme dalam berita

Akhirnya ia berjaya membina persepsi buruk dan tanggapan salah mengenai makna jihad yang sebenar sehinggakan ramai orang Muslim sendiri “termakan” dengan naratif negatif tersebut. 

Mereka bukan sahaja bersikap apologetik seperti enggan menggunakan perkataan jihad, bahkan ingin mematikan perkataan tersebut. Namun, ada juga segelintir Muslim yang turut bersama menyebarkan naratif negatif di media-media sosial seperti yang dilakukan oleh media Barat. 

Persoalannya: Adakah mereka benar-benar memahami maksud jihad yang sebenar? Atau adakah mereka sekadar menerima bulat-bulat tafsiran Barat yang menyeleweng daripada maksud asal dalam ajaran Islam? 

Benarkah makna jihad itu perang terhadap bukan Muslim? 

Berkaitan jihad, perlu difahami terlebih dahulu bahawa makna jihad bukan hanya bermaksud pergi berperang semata-mata. Perkara itu adalah asas yang perlu kita pegang terlebih dahulu. 

Hal itu demikian kerana makna jihad sangat luas. Merujuk kepada kamus Lisan al-’Arab, dari sudut bahasa, jihad berasal dari kalimah jim-ha-dal (د.ه.ج ) yang bermaksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. 

Dari segi istilah, pelbagai definisi “jihad” ditakrifkan oleh para ulama. Contohnya, al-Kasani mengatakan jihad digunakan bagi mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah SWT dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. (Bada’i’ al-Sana’i’: 7/97)

Manakala, sebahagian fuqaha seperti Ibn ‘Arafah, Ibn Hajar dan al-Buhuti mendefinisikan jihad dengan lebih khusus lagi iaitu jihad perang. 

Hal ini bermakna, terdapat dua takrifan mengenai jihad iaitu jihad secara am seperti jihad ilmu, jihad ekonomi atau jihad dakwah, manakala secara khas ia bermaksud jihad memerangi musuh.

Malangnya, apabila makna jihad disempitkan kepada “perintah memerangi orang kafir”, nilai jihad yang luas dan suci itu mula dipandang buruk seolah-olah ia sinonim dengan kekerasan.

Islam itu realistik 

Muslim tidak boleh bersikap apologetik dalam menjelaskan isu ini kerana Islam adalah satu agama yang amat pragmatik dan realistik. Islam tidak mengajar umatnya menjadi lemah atau menyerah kepada kezaliman. Islam juga tidak mengajar penganutnya membiarkan kezaliman dan ketidakadilan terjadi. 

Jika hal seperti itu berlaku, ia ibarat apabila orang menampar pipi kanan kita, maka kita berikan pula pipi kiri untuk ditampar lagi

Sebaliknya, Islam menuntut umatnya menegakkan keadilan dan menolak kezaliman tanpa melampaui batas. Inilah keseimbangan yang digariskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8 – 9 (maksudnya): 

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” 

Imam at-Tabari (wafat 310H) menjelaskan dalam Jami‘ al-Bayan (28/66) bahawa ayat ini menunjukkan larangan itu bersifat khusus hanya terhadap mereka yang memerangi dan menzalimi umat Islam. 

Adapun terhadap sesiapa sahaja sama ada Muslim atau bukan Muslim yang tidak memerangi atau menzalimi, Islam tetap menyeru kepada keadilan dan kebaikan terhadap mereka.

Islam tidak menganjurkan peperangan sewenang-wenangnya terhadap bukan Muslim. Peperangan dalam Islam bukanlah bertujuan menindas, tetapi mempertahankan diri, menegakkan keadilan dan menolak kezaliman.

Ustazah Fathin
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia