Modal Insan Kompeten Atasi Paradoks Produktiviti AI

Modal Insan Kompeten Atasi Paradoks Produktiviti AI

Dalam arus modenisasi, penguasaan teknologi menjadi teras utama yang menentukan daya saing sesebuah negara. Tiada pilihan lain bagi negara yang ingin muncul sebagai kuasa ekonomi melainkan melabur secara besar-besaran dalam bidang teknologi semasa.

Pelaburan ini bukan sekadar untuk seiring dengan perkembangan dunia, tetapi merupakan prasyarat untuk terus bertahan dalam persaingan global yang semakin sengit.

Tuntutan sebegini sentiasa mendorong negara memperuntukkan perbelanjaan besar untuk penyediaan kemudahan teknologi, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan serta melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi.

Namun, di sinilah timbul paradoks, apabila teknologi yang dicipta untuk memudahkan kehidupan manusia pada masa yang sama turut menimbulkan kesulitan, kerumitan atau kesan yang tidak dijangka.

Kebimbangan paradoks produktiviti AI

Hal ini menimbulkan persoalan, sejauh manakah pelaburan yang begitu besar benar-benar membawa pulangan setimpal? Kebimbangan inilah yang beberapa kali ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, antaranya ketika Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta ketika merasmikan Fakulti AI dan Kejuruteraan di Universiti Multimedia (MMU).

Beliau mengingatkan agar negara sentiasa berwaspada terhadap apa yang disebut sebagai “AI Productivity Paradox”, keadaan apabila pelaburan besar dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi tidak semestinya menterjemah kepada peningkatan produktiviti.

Ia bermaksud, cabaran sebenar bukan sekadar melabur dalam teknologi, tetapi memastikan setiap perbelanjaan benar-benar menghasilkan manfaat nyata kepada negara dan rakyat.

Paradoks teknologi sebenarnya boleh dilihat dari pelbagai sudut. Ada yang menekankan kesukaran penggunaan walaupun teknologi dicipta untuk memudahkan. Ada juga yang menyorot kepada cabaran sosial seperti kehilangan pekerjaan akibat automasi. Namun, aspek yang ditekankan oleh Perdana Menteri ialah paradoks produktiviti.

Walaupun pelaburan besar dibuat dalam teknologi, peningkatan produktiviti tidak selalu seiring dengan harapan. Hal ini penting kerana produktiviti merupakan tunjang pembangunan negara, justeru kegagalan teknologi menyumbang kepada peningkatan tersebut akan menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju dan keberkesanan pelaburan negara dalam bidang ini.

Kompetensi penentu utama

Realitinya, penentu utama produktiviti bukan sekadar terletak pada kecanggihan kemudahan teknologi yang disediakan, tetapi pada modal insan yang mengurus dan menggerakkannya. Nilai sebenar pelaburan hanya terserlah apabila segala kemudahan itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan produktiviti dan hasil.

Di sinilah kompetensi tenaga kerja menjadi kunci. Tanpa kemahiran dan kepakaran yang tinggi, segala kelebihan yang dibangunkan hanya akan menjadi aset yang tidak dimanfaatkan secara optimum, sekali gus gagal memberikan impak yang bermakna kepada pembangunan negara.

Aspek kompetensi boleh dilihat dari dua sudut iaitu penggunaan dan pembangunan. Dari sudut penggunaan, tenaga kerja perlu memiliki kemahiran untuk mengadaptasi serta memanfaatkan teknologi secara optimum dan beretika bagi meningkatkan produktiviti.

Dari sudut pembangunan pula, kompetensi merujuk kepada keupayaan mencipta inovasi, menghasilkan penyelesaian baharu, dan membangunkan teknologi sendiri agar negara tidak hanya menjadi pengguna tetapi juga pencipta.

Kedua-dua sudut ini sebenarnya saling melengkapi dan berkait rapat. Tanpa kecekapan menggunakan, teknologi yang disediakan berisiko terbazir kerana tidak dimanfaatkan secara optimum untuk menjana produktiviti dan nilai tambah. 

Sebaliknya, tanpa kemampuan membangunkan, negara akan terus bergantung kepada pihak luar, sekali gus meletakkan kita dalam kedudukan yang lemah serta berisiko ketinggalan dalam arus persaingan global.

Justeru, keseimbangan antara keupayaan menggunakan dan membangunkan teknologi menjadi syarat penting bagi memastikan daya saing negara.

Hakikat kemajuan teknologi

Hakikatnya, kemajuan teknologi tidak akan memberi makna tanpa modal insan yang berkompetensi. Keupayaan menggunakan dan membangunkan teknologi perlu digerakkan secara seimbang kerana kedua-duanya saling melengkapi dan berkait rapat.

Hanya dengan keseimbangan inilah pelaburan besar negara dalam teknologi dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti, daya saing global serta pembangunan yang benar-benar mampan.

Peranan institusi pendidikan, khususnya di peringkat tinggi, amat penting dalam menjayakan agenda ini. Perlumbaan menubuhkan fakulti dengan nama yang melambangkan teknologi termaju semasa tidak bermakna sekiranya tidak disusuli dengan pembangunan tenaga pengajar yang benar-benar kompeten.

Hanya dengan barisan pendidik yang berkemahiran tinggi, institusi pendidikan mampu melahirkan modal insan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berdaya cipta, inovatif dan mampu menyumbang secara langsung kepada peningkatan produktiviti negara.

Prof. Dr. Ahmad Zamzuri Mohamad Ali
Profesor di Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK)
Universiti Pendidikan Sultan Idris

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia