Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan haram tentera Zionis Israel yang memintas kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens To Gaza (TMTG) yang turut membawa wira dan wirawati Malaysia di perairan antarabangsa pagi tadi.
IKRAM menuntut pembebasan serta-merta semua aktivis kemanusiaan yang ditahan secara haram dengan segera dan diberikan perlindungan sepanjang tempoh tahanan.
IKRAM yakin bahawa penyertaan MyCARE dalam misi flotila di bawah FFC ini akan dapat diteruskan bagi membela rakyat Gaza yang sedang ditindas dan meluaskan kesedaran global tentang krisis kemanusiaan di sana.
IKRAM juga memuji dan menyokong usaha kerajaan Malaysia di peringkat diplomatik antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan pembebasan rakyatnya, serta memperkukuh tekanan global terhadap Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa.
IKRAM berharap kerajaan Malaysia dapat mengusahakan agar wira dan wirawati Malaysia pulang ke tanah air dengan selamat dalam kadar segera.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia