Nafkah Isteri Bekerja: Masihkah Suami Perlu Tanggung?

Dalam dunia moden hari ini, semakin ramai wanita yang tampil aktif dalam pelbagai bidang kerjaya. Ada yang menjadi doktor, guru, peguam, pensyarah, jurutera, usahawan malah pemimpin negara. Peranan mereka semakin besar dalam masyarakat. Gaji yang diperoleh pula bukan sedikit. 

Situasi ini sering menimbulkan persoalan dalam kalangan pasangan suami isteri. Antaranya, jika isteri sudah bekerja dan berpendapatan sendiri, adakah suami masih wajib menanggung nafkahnya? Adakah status seorang isteri yang berdikari dari segi kewangan menyebabkan gugurnya hak terhadap nafkah yang sepatutnya diterima?

Persoalan ini bukan sekadar isu teknikal dalam rumah tangga, tetapi menyentuh soal keadilan, tanggungjawab dan hukum syarak. Ada pasangan yang bertelagah kerana tidak jelas kedudukan hukum.

Ada pula yang mengambil kesempatan, sama ada suami yang culas lalu membiarkan isteri menanggung segala perbelanjaan, ataupun isteri yang meremehkan kewajipan suami hanya kerana dirinya sudah mempunyai pendapatan sendiri.

Artikel ini cuba menjawab persoalan yang dibincangkan dengan santai tetapi tetap berlandaskan dalil al-Quran, hadis Nabi SAW, pandangan ulama klasik dan kontemporari serta realiti rumah tangga moden yang semakin mencabar.

Kewajipan nafkah dalam Islam

Dalam Islam, nafkah adalah kewajipan syarii yang tidak boleh dipandang ringan. Nafkah bermaksud segala bentuk perbelanjaan asas yang seorang suami perlu sediakan untuk isterinya, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, perubatan dan apa sahaja keperluan asas yang munasabah.

Nafkah adalah tanda kasih sayang seorang suami kepada isteri, sekali gus melambangkan tanggungjawab kepimpinan yang telah Allah letakkan di bahu lelaki.

Al-Quran dengan tegas menyebut dalam Surah At-Talaq ayat 7, bahawa orang yang mempunyai kelapangan hendaklah memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya hendaklah tetap memberi nafkah mengikut apa yang Allah kurniakan. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa nafkah adalah kewajipan mutlak, bukan pilihan.

Hadis Nabi SAW juga menegaskan perkara ini. Dalam riwayat Muslim, Baginda bersabda:

“Berilah nafkah kepada mereka (isteri) dengan cara yang baik.”

Perkataan bi ma’ruf atau dengan cara yang baik, membawa maksud nafkah itu perlu diberikan secara adil, penuh tanggungjawab, dan sesuai dengan kemampuan suami. Ia bukan soal jumlah semata-mata, tetapi tentang keikhlasan, amanah dan kesungguhan suami dalam menunaikan tanggungjawabnya.

Apakah nafkah gugur apabila isteri bekerja?

Ramai yang menyangka bahawa apabila isteri sudah bekerja dan ada gaji sendiri, maka gugurlah tanggungjawab nafkah daripada suami. Hakikatnya, menurut syariah, kewajipan itu tetap berjalan walaupun isteri seorang wanita berharta, kaya atau berpendapatan tinggi. Kekayaan isteri tidak menggugurkan kewajipan suami.

Namun begitu, dalam fiqh, ada beberapa keadaan yang dibincangkan ulama yang boleh mempengaruhi kedudukan nafkah ini. Jika seorang isteri keluar bekerja dengan izin suami, para fuqaha’ kontemporari memutuskan bahawa nafkah tetap wajib diberikan oleh suami.

Kehadiran izin suami menandakan bahawa isteri masih menunaikan tanggungjawab rumah tangganya, dan pekerjaan yang dilakukan adalah sesuatu yang direstui. Maka, haknya terhadap nafkah kekal terpelihara.

Sebaliknya, jika seorang isteri bekerja tanpa izin suami, meninggalkan tanggungjawab rumah tangga dan mengabaikan hak suami serta anak-anak, maka para ulama bersepakat bahawa ia boleh dianggap nusyuz, iaitu derhaka.

Dalam keadaan nusyuz, hak terhadap nafkah boleh gugur. Ini berdasarkan firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 yang menyebut tentang langkah-langkah yang boleh diambil apabila isteri menunjukkan tanda-tanda nusyuz.

Walaupun begitu, jika keadaan berbalik di mana suami tidak menunaikan nafkahnya, maka isteri berhak untuk bekerja demi menyara dirinya, dan suami tidak boleh menghalangnya.

Dalam keadaan lain pula, seorang isteri boleh meletakkan syarat dalam akad nikah bahawa dirinya ingin terus bekerja selepas berkahwin. Jika suami bersetuju, maka dia terikat dengan syarat itu. Dalam situasi begini, nafkah tetap wajib diberi selagi pekerjaan isteri tidak bertentangan dengan syariat. 

Kaedah fiqh menyebut:

Orang Islam terikat dengan syarat-syarat mereka, kecuali syarat yang mengharamkan yang halal atau menghalalkan yang haram.”

Dengan itu, akad yang disertai syarat untuk bekerja akan memastikan hak isteri terhadap nafkah tidak tergugat.

Antara ihsan dan kewajipan

Satu lagi isu yang sering menimbulkan pertelingkahan ialah persoalan gaji isteri. Ada suami yang beranggapan bahawa disebabkan isteri tinggal bersamanya, maka gaji isteri juga adalah harta bersama. Namun, dari sudut syariah, gaji isteri adalah milik mutlaknya. Suami tidak boleh mengambil atau menggunakannya tanpa izin dan kerelaan isteri.

Imam Ibn Qudamah dalam kitab Al-Mughni menegaskan bahawa harta isteri adalah miliknya sepenuhnya dan suami tidak berhak ke atas harta tersebut melainkan dengan keizinan. Hal ini bermakna, jika isteri memilih untuk berkongsi gajinya dalam urusan rumah tangga, ia adalah sumbangan sukarela dan dikira sebagai ihsan serta sedekah, bukan kewajipan.

Islam tidak pernah mewajibkan isteri untuk menanggung kos perbelanjaan rumah. Namun, jika seorang isteri dengan rela hati membantu suami, maka perbuatan itu adalah sangat terpuji dan diganjarkan pahala.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi SAW menjelaskan bahawa nafkah yang dibelanjakan kepada keluarga adalah antara yang paling besar pahalanya.

Bayangkan, seorang isteri yang menyumbang sebahagian daripada pendapatannya untuk rumah tangga bukan sahaja meringankan beban suami, tetapi juga memperoleh ganjaran pahala yang berlipat ganda.

Begitu juga halnya dengan suami, setiap ringgit yang dibelanjakan kepada keluarga adalah bukti kasih sayang dan tanggungjawabnya sebagai pemimpin rumah tangga. Kedua-duanya saling melengkapi, dan inilah yang menjadikan rumah tangga sebagai ladang pahala bersama.

Tidak dinafikan, ada rumah tangga yang isteri berpendapatan lebih tinggi daripada suami. Ada pula keluarga yang mencampurkan kedua-dua gaji untuk menampung kehidupan.

Situasi ini mudah menimbulkan konflik jika tidak ada kefahaman jelas. Ada suami yang berasa tercabar, seolah-olah hilang kuasa sebagai ketua keluarga hanya kerana pendapatannya lebih rendah.

Ada isteri pula yang berasa terbeban kerana terpaksa menanggung lebih banyak kos, walaupun secara syarak, nafkah sepatutnya dipikul suami. Jika tidak ditangani dengan hikmah, anak-anak pula akhirnya menjadi mangsa ketegangan emosi ibu bapa.

Di sinilah pentingnya untuk kembali kepada prinsip syarak. Nafkah tetap tanggungjawab suami, dan apa sahaja sumbangan isteri adalah ihsan semata-mata.

Hikmah kewajipan nafkah

Mengapa Islam menetapkan bahawa nafkah adalah tanggungjawab suami, bukan isteri? Jawapannya terletak pada hikmah yang besar.

Pertama, kerana suami adalah qawwam, pemimpin dalam keluarga. Kepimpinan ini bukan sekadar kedudukan, tetapi amanah yang datang bersama tanggungjawab memberi nafkah.

Kedua, kerana ia melindungi maruah wanita. Islam tidak mahu wanita dipaksa mencari rezeki demi menampung kehidupannya sendiri. Jika dia bekerja, ia adalah pilihan, bukan paksaan.

Ketiga, ia mengelakkan ketidakadilan. Jika nafkah dibebankan kepada isteri, suami mungkin akan mengambil kesempatan dan lepas tangan. Dengan kewajipan ini, suami sentiasa terikat dengan amanahnya.

Keempat, nafkah adalah simbol kasih sayang. Duit yang diberi bukan sekadar wang, tetapi tanda bahawa suami menghargai dan menjaga isterinya.

Hakikatnya, jalan keluar untuk masalah ini ialah perlunya komunikasi yang jelas. Pasangan perlu berbincang tentang kewangan sejak awal perkahwinan. Mereka perlu membezakan antara hak dan ihsan iaitu nafkah adalah hak isteri, manakala sumbangan isteri adalah ihsan.

Selain itu, suami juga perlu berpada dengan kemampuannya. Nafkah tidak semestinya mewah, tetapi mesti memenuhi keperluan asas dengan cara yang baik.

Yang lebih penting, suami perlu melihat nafkah sebagai ibadah, bukan beban. Apabila suami memberi, hakikat sebenarnya ialah dia sedang beramal soleh. Apabila isteri membantu, dirinya juga sedang mengumpul pahala.

Inilah yang menjadikan rumah tangga sebagai ruang ibadah yang berterusan. Perkahwinan dalam Islam dibina di atas asas kasih sayang, tanggungjawab dan sikap saling menghormati. 

Nafkah bukan sekadar soal wang, tetapi tanda cinta seorang suami kepada isterinya. Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik kepada isterinya.”

Rumah tangga bahagia bukan terletak pada siapa yang lebih banyak menyumbang duit, tetapi pada hakikat saling melengkapi dan mencari reda Allah bersama.

Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman

Atriza Umar

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia