Sejak awal jenayah genosid di Gaza, rejim Zionis diberikan bantuan tanpa had oleh banyak pihak terutamanya negara jiran yang tediri daripada negara Arab dan Islam.
Bahkan tidak salah jika kita katakan, sebahagian negara Arab dan Islam yang ‘menaja’ Nakbah moden yang sedang berlaku di Gaza.
Walaupun di atas meja persidangan kemuncak Arab dan Islam, mereka tanpa henti mengecam dan menyalahkan rejim Zionis atas jenayah kemanusiaannya, tetapi tangan mereka jugalah tanpa rasa bersalah menandatangani kontrak kerjasama dan perjanjian yang bertujuan memanjangkan nyawa rejim Zionis.
Saudi, UAE, Jordan dan Mesir membenarkan laluan darat, lautan dan udara digunakan tanpa sebarang halangan untuk kepentingan rejim Zionis. Bahkan untuk mengebom negara jiran mereka, Qatar pun dibiarkan begitu sahaja.
Dalam masa yang sama, negara Arab dan Islam juga adalah pembekal besar bagi sektor penting buat negara rejim Zionis. Azerbaijan sebagai contoh pembekal minyak yang memenuhi keperluan sebanyak 60% bagi negara Zionis, sedangkan Azerbaijan adalah anggota dalam OIC.
Mesir juga bersetuju membeli gas asli milik orang Palestin yang dicuri, dengan harga yang dibayar kepada rejim Zionis sebanyak 35 bilion dolar Amerika. Begitu juga halnya dengan Morocco (Maghribi) yang membeli senjata daripada pihak rejim Zionis.
Banyak lagi sebenarnya pembelian-pembelian negara Arab yang merupakan kesalahan dari sudut agama dan moral. Situasi ini diibaratkan membeli sesuatu daripada pembunuh, pengganas, perombak dan perampas.
Tiada apa yang boleh menghalalkan hubungan antara sesebuah negara yang bermoral dengan rejim Zionis.
Peta Palestin dipadam daripada buku teks
Barangkali jenayah paling besar di negara Arab kepada Palestin ialah menghalang rakyatnya daripada menyokong rakyat Palestin, bahkan belajar tentangnya pun dihalang.
Pada tahun lalu, Saudi dilaporkan memadamkan nama Palestin dalam kebanyakan peta dan lakaran sempadan dalam buku-buku silibus sekolah.
Hal terbabit berdasarkan kajian yang dijalankan oleh sebuah badan pemikir Israel, menurut Middle East Eye. Badan tersebut meneliti 371 buku teks yang diterbitkan antara 2019 hingga 2024 dan menyorot kandungan yang telah dibuang, diubah atau bahagian yang kekal tidak berubah.
Sebuah buku teks kajian sosial tingkatan 12 yang sebelum ini mendefinisikan Zionisme sebagai satu gerakan perkauman tidak lagi diajar sejak 2023, manakala sebuah lagi buku teks yang masih digunakan telah membuang bab berkaitan isu Palestin, demikian menurut kajian tersebut.
Tujuan usaha Saudi ini adalah satu, untuk memastikan generasi muda melupakan isu perjuangan Palestin. Tiada siapa yang paling untung daripada usaha ini melainkan rejim Zionis kerana minda umat Islam tidak lagi memikirkan nasib saudara-saudara mereka yang tertindas.
Seterusnya di kebanyakan negara Arab, segala perhimpunan untuk Palestin diharamkan seakan-akan jenayah besar di sisi undang-undang.
Kalaulah perhimpunan aman di Amerika, Eropah dan banyak tempat lain boleh disertai oleh ratusan ribu penunjuk perasaan, mustahil di negara Arab tidak boleh mengumpulkan jumlah yang ramai seperti itu, melainkan disebabkan kerajaan mereka sendiri takut dengan rakyatnya sendiri yang berpotensi untuk berkumpul dengan jumlah yang ramai untuk menunjukkan solidariti.
Lebih daripada itu, mereka takut sekiranya rakyat mereka mula bangkit untuk Palestin, Netanyahu sudah tidak lagi suka akan mereka.
Seruan usaha lebih kuat
Penulis menyoroti jenayah dunia Arab dan Islam terhadap perjuangan Palestin bukan dengan tujuan menyalahkan pihak lain, tetapi sebagai usaha menyedari realiti yang berlaku.
Dengan kesedaran ini, kita harus mempertingkatkan usaha dengan apa sahaja kekuatan yang kita miliki, kerana kita hidup di zaman kemuncak jenayah pengkhianatan ke atas maruah umat Islam.
Sehubungan dengan itu, antara iktibar daripada kisah Nabi Musa menentang Firaun ialah jenayah yang dilakukan oleh kaum Firaun. Mereka membiarkan kezaliman Firaun berleluasa dan mentaati pemerintahan Firaun yang sesat sehingga mereka juga akhirnya digelar oleh Allah kaum yang fasik.
Firman Allah SWT:
فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ
“(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodoh kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka.” (Az-Zukhruf: 54)
Ayat ini menunjukkan, apabila pemerintah yang zalim memaksa rakyat menerima naratif yang salah, tidak bermakna rakyat perlu mentaatinya. Bagi setiap akidah seorang Muslim, ketaatan yang mutlak hanya diberikan kepada Allah dan rasul-Nya.
Pada zaman sekarang, meninggalkan perjuangan isu Palestin hanya disebabkan ia tidak disukai oleh pemerintah sebenarnya meninggalkan prinsip asas dalam Islam. Ia samalah seperti meninggalkan prinsip jihad demi menyelamatkan agama, nyawa manusia dan maruah ummah di hadapan musuh yang zalim.
Perjanjian mengatasi prinsip dan maruah?
Ada yang menyebutkan pula, negara Arab dan Islam terikat dengan perjanjian-perjanjian yang telah dipersetujui dengan pihak rejim Zionis. Mereka perlu menepatinya demi menjaga hubungan antarabangsa dan kedaulatan negara. Melanggar perjanjian ini boleh memudaratkan kedaulatan dan keamanan negara mereka.
Namun, kita semua tahu wujudnya pendatang haram Yahudi ini sejak penjajahan British pada tahun 1917 sehingga kini membawa ideologi yang sama. Mereka mahu meyahudikan Masjid al-Aqsa dan seluruh Palestin dan menundukkan segala kuasa yang boleh mencabar kuasa mereka di Asia Barat.
Mereka tidak akan menepati apa-apa perjanjian yang bertentangan prinsip berasaskan ideologi Zionisme kerana prinsip ini mereka pegang mengatasi segala-galanya. Mereka akan melakukan segala-galanya dengan helah dan tipu daya demi mempertahankan ideologi mereka.
Pemimpin Arab dan Islam hari ini pula seolah-olah tiada prinsip dan maruah. Dengan apa yang berlaku di Gaza hari ini dan tuntutan jihad melawan kezaliman, tindakan waras mereka tidak sepatutnya dihalangi oleh perjanjian yang telah ada antara mereka dan pihak rejim Zionis.
Berdasarkan prinsip agama dan kemanusiaan, sepatutnya telah terbatallah segala perjanjian yang membantu memanjangkan nyawa pihak rejim Zionis. Tetapi apa yang berlaku ialah pemimpin Arab dan Islam pada hari ini melebihkan reda rejim Zionis daripada segala-galanya.
Rasulullah SAW telah memerintahkan umatnya berpegang pada prinsip agama Islam dengan gigi geraham (berpegang dengan teguh), khususnya pada zaman yang penuh pertelingkahan dan perbalahan seperti sekarang.
Sabda Rasulullah SAW:
فإنَّه مَن يَعِشْ منكم فسيَرَى اختِلافًا كثيرًا، فعليكم بسُنَّتي وسُنَّةِ الخُلَفاءِ الرَّاشِدينَ المَهْدِيِّينَ، عَضُّوا عليها بالنَّواجِذِ
“Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku nanti akan melihat banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunah para khalifah yang diberi petunjuk (Khalifah Abu Bakar sehinggalah Ali). Gigitlah ia erat-erat dengan gigi geraham (jangan lepaskan).” (Sahih Abu Dawud, no. 4607)
Teguhlah sehingga menang
Terakhir, persidangan negara Arab dan Islam di Doha adalah kezaliman ke atas hak penduduk Palestin dan Gaza kerana masih tidak sanggup mengambil risiko demi menyelamatkan nyawa penduduk Gaza.
Ia perlu diberikan teguran, kritikan dan pendedahan kepada awam supaya ummah tidak reda dan cenderung kepada kezaliman.
وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian) api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah.” (Surah Hud: 113)
Segala usaha perlu disokong sepenuhnya tanpa mengira parti politik, agama dan bangsa demi Palestin. Sekarang adalah masa untuk mengangkat segala slogan Palestin setinggi-tingginya di tanah air sebagai tanda sokongan tanpa rasa segan dan malu.
Pada akhirnya, Allah sahaja yang memberikan kemenangan. Namun untuk merasai kemanisan perjuangan, kita perlu melakukan tindakan sejajar dengan ajaran Islam.
Semoga pendedahan ini mampu memberikan pencerahan keadaan ummah pada hari ini.
Ustaz Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik Aqsa Syarif