Pada beberapa minggu yang lalu, masyarakat di negara kita telah dikejutkan dengan pelbagai masalah tingkah laku yang membabitkan kesalahan membuli pelajar di peringkat sekolah menengah.
Dalam hal ini, pembentukan tingkah laku dan perkembangan minda adalah amat penting untuk diberi perhatian dalam menangani masalah yang dihadapi oleh para pelajar.
Isu sebegini memerlukan ilmu serta perkongsian yang berkait dengan ilmu psikologi bagi mengenal pasti faktor-faktor dan punca masalah serta mencari penyelesaian bagi mengelakkan masalah ini berulang pada masa depan.
Psikologi adalah cabang ilmu yang berkait dengan perkembangan tingkah laku dan proses perkembangan mental. Ilmu ini boleh memberi panduan kepada kita dalam mengenal pasti tingkah laku yang normal dan tingkah laku yang tidak normal.
Malah, kita juga boleh mempelajari tindakan yang bersesuaian serta perancangan pemulihan dalam membaiki keadaan psikologi seseorang individu. Yang berikut adalah kepentingan ilmu psikologi berhubung masalah sosial:
1. Pemahaman terhadap punca masalah
Psikologi membantu pihak pengurusan sekolah mengenal pasti punca masalah dalam mengkaji faktor individu, sosial dan persekitaran yang menyumbang kepada masalah sosial seperti jenayah, keganasan, kemiskinan dan masalah kesihatan mental.
Pemerhatian, perbincangan, sesi temubual atau kaunseling adalah antara kaedah yang boleh digunakan untuk mengumpul maklumat, data serta mendapat gambaran tentang masalah sosial yang telah berlaku.
2. Peningkatan kesejahteraan masyarakat
Dengan memahami keperluan psikologi individu dan komuniti, ahli psikologi dapat membantu membangunkan program dan perkhidmatan yang menyokong kesejahteraan mental dan emosi masyarakat secara keseluruhan
Program, kursus dan bengkel yang berkait dengan pembentukan tingkah laku, personaliti dan corak pemikiran adalah amat baik dianjurkan bagi mendedahkan masyarakat tentang perancangan dan langkah-langkah yang harus diambil dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
3. Pembentukan dasar dan polisi
Penyelidikan dan pengetahuan psikologi dapat memberikan maklumat penting serta gambaran yang jelas dalam pembentukan dasar sosial yang lebih efektif seperti Dasar Pendidikan, Dasar Kesihatan Mental dan Dasar Keselamatan Sosial.
Pembentukan dasar dan polisi berhubung masalah sosial mestilah mengambil kira aspek psikologi agar ia dapat mendatangkan kesan dan impak berhubung perkembangan pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
4. Pencegahan masalah
Ilmu psikologi membantu kita mengenal pasti individu atau kumpulan yang berisiko tinggi berhubung masalah sosial dan seterusnya membangunkan program pencegahan yang sesuai untuk mengurangkan risiko tersebut.
Ahli psikologi dan kaunselor yang mempunyai kepakaran boleh membantu meneroka masalah yang dihadapi serta mencadangkan langkah-langkah pencegahan yang patut diambil.
5. Pembangunan intervensi dan program pemulihan yang berkesan
Ilmu psikologi membolehkan pembangunan program intervensi dan pemulihan yang disasarkan untuk menangani masalah sosial tertentu seperti program pencegahan jenayah, program pemulihan bagi pelajar yang terlibat dengan jenayah serta program kaunseling untuk pelajar dan keluarga yang bermasalah.
Ilmu psikologi juga penting untuk tenaga pengajar, guru dan ahli akademik kerana ia membolehkan mereka menjalankan tugas dalam menyampaikan ilmu dengan lebih baik dan dapat mengenal pasti potensi para pelajar.
Malah, dengan ilmu psikologi juga mereka boleh mengenal pasti keperluan psikologi bagi pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran, kehidupan dan kelakuan.
Selain daripada itu, para pendakwah yang ingin mendekati masyarakat eloklah mempunyai pengetahuan dalam ilmu psikologi agar mereka boleh mempertingkatkan kaedah penyampaian, cara pertuturan serta pendekatan berdakwah dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini.
Ilmu psikologi ini juga boleh membantu para pendakwah dalam membentuk peribadi yang unggul seperti Nabi Muhammad SAW.
Secara keseluruhannya, ilmu psikologi adalah penting dalam menangani masalah sosial kerana ia dapat menyediakan rangka kerja untuk memahami, menangani dan mencegah masalah ini daripada berterusan dan bertambah teruk.
Pembelajaran dan pendedahan asas ilmu psikologi seharusnya dimulakan di peringkat sekolah menengah setelah bermulanya alam remaja bagi para pelajar.
Dalam hal ini juga ia boleh membantu para pelajar untuk membentuk peribadi, personaliti dan tingkah laku yang baik sehingga mereka menjadi insan yang soleh dan berakhlak pada masa akan datang.
Harriz Zainal Abidin
Ahli Akademik
Bendahari
Persatuan Akademia IKRAM Malaysia