Di sebalik sesebuah negara yang makmur dan disegani dunia, terdapat satu akar tunjang yang menyokong kemajuan, iaitu masyarakat yang berilmu. Ilmu bukan sekadar alat untuk memperoleh pekerjaan, tetapi kunci utama kepada pembangunan insan, rakyat juga negara.
Dalam menghadapi cabaran yang penuh dengan ketidaktentuan dan ketidakpastian, hanya dengan masyarakat yang celik ilmu dan bijak menilai akan mampu menjamin kesejahteraan yang berpanjangan.
Ilmu sebagai asas pembinaan negara
Sedarkah kita bahawa sesebuah negara tidak akan bertahan hanya semata-mata kerana kemewahan ekonomi atau kecanggihan teknologi, tetapi kekuatan intelektual rakyatnya itulah yang menjadi pasak utama.
Masyarakat yang berilmu akan lebih memahami hak dan tanggungjawab mereka, bertindak secara rasional serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda yang merosakkan perpaduan dan kestabilan negara.
Ilmu memberi pencerahan. Ia menyuluh jalan daripada kejahilan kepada kefahaman, daripada perpecahan kepada perpaduan.
Justeru, negara yang berteraskan masyarakat berilmu akan lebih kuat akar demokrasinya, lebih matang budaya politiknya dan lebih sejahtera kehidupan rakyatnya.
Namun begitu, tidak semua lapisan masyarakat mempunyai akses yang sama terhadap ilmu. Terdapat jurang digital, geografi dan ekonomi yang masih menyukarkan segolongan rakyat untuk menikmati pendidikan yang berkualiti.
Dalam era maklumat ini, keadilan ilmu bukan lagi satu kemewahan, tetapi satu keperluan mendesak yang sangat perlu diberikan perhatian.
Segelintir masyarakat luar bandar, kelompok B40, komuniti minoriti dan warga emas antara yang masih tercicir daripada arus pendidikan holistik yang merangkumi kemahiran hidup, celik digital, literasi kewangan serta kefahaman agama dan sivik yang progresif.
Jika jurang ini tidak dirapatkan, maka akan wujud dua dunia yang berbeza dalam satu negara iaitu antara yang tahu dan yang tertinggal.
Ilmu yang menyantuni zaman dan realiti
Dalam era ledakan teknologi dan media sosial, cabaran terbesar bukan kekurangan informasi, tetapi kekeliruan akibat banjir maklumat.
Masyarakat memerlukan ilmu yang bukan sahaja benar, tetapi juga relevan, membumi dan membina. Ilmu itu perlu bersifat menyantuni zaman dan tidak beku dalam wacana lama.
Sebagai contoh, Asas Islam Rahmah yang dipelopori Jabatan Pendidikan Masyarakat dengan singkatan AISAR, bukan sahaja menekankan hukum atau ritual, tetapi juga nilai-nilai murni seperti hikmah, toleransi, keadilan sosial dan kesederhanaan.
Pendidikan sebegini bukan hanya membina Muslim yang taat, tetapi warganegara yang bertanggungjawab, berpengetahuan dan berjiwa besar.
Masyarakat berilmu jiwa merdeka
Tentunya mereka yang berilmu tidak mudah dimanipulasi. Mereka tidak cepat termakan propaganda, tidak mudah terikut emosi bahkan sentiasa menilai dengan akal dan hati yang seimbang.
Inilah jenis rakyat yang menjadi benteng kepada negara. Mereka tahu bersuara dengan adab, membantah dengan hujah dan menyokong dengan kefahaman, bukan semborono, ikut-ikut apalagi kerana ketidakpuasan hati.
Sebaliknya, rakyat yang tidak diberi ruang untuk belajar dan memahami akan menjadi mangsa kepada retorik kosong, ekstremisme dan polarisasi masyarakat hingga tercetusnya polemik serta ketidaksejahteraan.
Oleh yang demikian, sewajarnya kita semua fikirkan bahawa usaha mendidik masyarakat bukan hanya sekadar amanah pendidikan, tetapi tanggungjawab dan amanah yang perlu disempurnakan demi keharmonian serta kestabilan negara.
Ilmu membina harapan dan masa depan
Ilmu bukan sahaja memerdekakan minda, tetapi ia juga menghidupkan harapan. Dalam masyarakat yang dihimpit cabaran ekonomi, sosial dan politik, ilmu mampu menjadi cahaya yang membuka jalan keluar melalui ruang juga peluang.
Anak muda yang memahami potensi diri akan bangkit mencipta solusi. Ibu bapa yang celik teknologi akan berusaha membantu anak-anak bersaing. Pemimpin yang berilmu akan lebih bijak mentadbir dengan penuh kompetensi, keadilan dan rasional.
Maka, membina masyarakat berilmu adalah seperti membina sebuah masa depan yang lebih stabil, lebih inklusif dan lebih berdaya saing.
Apa yang pasti, kata-kata ‘Rakyat Berilmu, Negara Sejahtera’ bukan sekadar slogan. Ia adalah impian yang kita harus jayakan bersama daripada pendidik, pemimpin masyarakat, hingga kepada setiap individu. Semua pihak perlu berganding bahu menjadikan pendidikan sebagai agenda utama negara.
Setiap kuliah yang dihadiri, buku yang dibaca, video bermanfaat yang ditonton, kelas komuniti yang dianjurkan, semuanya adalah langkah kecil ke arah sebuah Malaysia yang lebih cemerlang.
Ilmu bukan milik golongan tertentu. Ia milik semua yang ingin membaiki diri dan masyarakat. Mari kita renung seketika kata-kata Imam Syafie:
“Barang siapa yang ingin dunia, hendaklah ia memiliki ilmu. Barang siapa yang ingin akhirat, hendaklah ia memiliki ilmu. Dan barang siapa yang inginkan kedua-duanya, maka wajiblah ia memiliki ilmu.”
Mari kita bina negara bukan hanya dengan bangunan yang tinggi, tetapi dengan pemikiran serta kefahaman kerana negara yang cemerlang lahir daripada jiwa-jiwa rakyatnya yang berilmu dan berpengetahuan.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia