PUTRAJAYA – Dengan tema “Syawal Dirai, Gaza Di Hati”, Pertubuhan IKRAM Malaysia telah menganjurkan Majlis Rahmah Mesra Syawal IKRAM 2025 di Bizmilla Grand Hall, Shaftsbury Putrajaya semalam.
Acara ini menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan kaum, termasuk tokoh-tokoh politik, agamawan, agensi kerajaan, NGO, selebriti serta pengamal media dalam suasana yang penuh ukhuwah dan semangat kemanusiaan.
Dalam ucapan pembukaan, Presiden IKRAM, Hj. Badlishah Sham Baharin, mengingatkan bahawa Aidilfitri seharusnya dilihat sebagai manifestasi kemenangan rohani hasil daripada latihan Ramadan, bukan sekadar kemeriahan zahiriah.
“Kemenangan sebenar bukanlah pada pakaian baharu atau jamuan mewah, tetapi pada nilai ketakwaan, keinsafan dan rasa kemanusiaan yang terbina. Ramadan mendidik kita untuk berasa belas ihsan kepada insan lain – dan Gaza seharusnya sentiasa di hati kita,” tegas beliau.
Beliau turut menyeru kepada semua pihak yang hadir agar memperkukuh kerjasama rentas organisasi dan lapisan masyarakat untuk terus mengislah ummah dan membina negara yang rahmah.
“IKRAM tidak mampu bergerak bersendirian. Kita perlu rangkaian kerjasama dan kesatuan hati. Majlis ini menjadi wadah untuk memupuk kasih sayang, persahabatan dan kolaborasi demi masa depan yang lebih sejahtera,” ujarnya lagi.
Acara dimulakan dengan ketibaan tetamu seawal jam 11 pagi, disusuli bacaan doa, tayangan video, persembahan sajak oleh Atriza Umar dan nasyid daripada kumpulan Zeyad serta tayangan khas video raya IKRAM.
Majlis ini dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat antaranya Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr. Hjh. Fuziah Salleh; Timbalan Menteri Agama, Senator Dr. Zulkifli Hasan; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Ir. Ts. Zahir Hassan dan Ahli Parlimen Ledang, Tn. Syed Ibrahim Syed Noh.
Turut bersama Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Hjh. Anfaal Saari; mantan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik; Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Hj. Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Hj. Mohd Ajib Ismail.
Selain itu, tetamu lain yang hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hj. Hanifuddin Roslan; Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Siti Faridah Abdul Samad serta Penasihat Kumpulan Karangkraf, Dato’ Hussamuddin Yaacub.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah wakil-wakil NGO pelbagai latar belakang, antaranya Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), HALUAN, WADAH, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), BERSIH dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).
Menariknya, majlis ini juga diserikan dengan kehadiran dua pelakon utama iklan raya IKRAM tahun ini, Namron dan Idan Aedan, yang mana video iklan itu telah berjaya meraih lebih 850,000 tontonan sejak sebulan lalu.
Sepanjang ia berlangsung, Majlis Rahmah Mesra Syawal IKRAM yang dihadiri lebih 300 orang ini bukan sahaja menyuburkan semangat Aidilfitri, bahkan menjadi medan memperteguh jaringan ukhuwah dan persahabatan untuk masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera.