Pempengaruh atau influencer media sosial bukan sekadar figura hiburan, bahkan telah menjadi ejen perubahan sosial dan budaya. Mereka memainkan peranan penting dalam membentuk pendapat awam, mempengaruhi gaya hidup dan juga memberi impak kepada keputusan pembelian pengguna
Kini, peranan pempengaruh media sosial semakin menonjol dan memberi impak besar kepada masyarakat. Fenomena ini berkembang pesat seiring dengan peningkatan penggunaan media sosial di negara kita.
Menurut Laporan Digital Global Overview 2023, seramai 26.8 juta pengguna atau 78.5% daripada jumlah penduduk Malaysia menggunakan media sosial. Keadaan ini menunjukkan betapa luasnya pengaruh platform digital dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Dalam sektor pelancongan pula, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mula menggunakan khidmat pempengaruh untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Hal ini menunjukkan pengiktirafan kerajaan terhadap keberkesanan pempengaruh dalam menarik minat generasi muda dan pelancong antarabangsa.
Walau bagaimanapun, fenomena ini juga telah membawa cabaran tersendiri. Terdapat kebimbangan mengenai kredibiliti sesetengah pempengaruh dan kesan negatif yang mungkin timbul akibat pengaruh mereka yang meluas.
Oleh itu, untuk menangani isu ini, kecerdasan emosi (EQ) memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk pempengaruh yang berintegriti dan berkualiti tinggi.
Menurut Model Kecerdasan Emosi Goleman-Noriah (2004), terdapat tujuh domain utama kecerdasan emosi iaitu kesedaran kendiri, regulasi kendiri, motivasi, empati, kemahiran sosial, kerohanian dan kematangan.
Kesemua domain ini amat relevan dalam membentuk pempengaruh yang berintegriti di media sosial. Dengan mengaplikasikan domain-domain ini, pempengaruh dapat menghasilkan kandungan yang lebih bertanggungjawab dan membina.
Walau bagaimanapun, adalah penting bagi masyarakat Malaysia untuk bijak menilai kandungan yang dihasilkan oleh pempengaruh dan tidak mengikut bulat-bulat apa yang dipaparkan di media sosial, sambil menghargai pempengaruh yang menunjukkan kecerdasan emosi yang tinggi dalam interaksi mereka di platform digital.
Pada masa yang sama, pempengaruh media sosial perlu memikul tanggungjawab yang besar terhadap kandungan yang mereka hasilkan dan tindakan mereka di alam maya.
Pempengaruh media sosial tidak boleh sewenang-wenangnya bermain dengan sentimen “mangsa” (play victim) apabila berhadapan dengan kritikan atau kontroversi yang timbul akibat tindakan mereka sendiri.
Mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap video, gambar atau kenyataan yang mereka kongsikan di platform digital. Hal ini termasuk kesediaan untuk mengakui kesilapan, memohon maaf secara tulus dan mengambil langkah pembetulan apabila perlu.
Sebagai contoh, kes kontroversi yang melibatkan beberapa selebriti tempatan yang membuat jenaka tidak sensitif tentang isu perkauman dan agama di media sosial telah menimbulkan kemarahan orang ramai.
Dalam situasi seperti ini, pempengaruh terbabit tidak seharusnya menyalahkan netizen atau menggunakan alasan seperti “niat saya baik” atau “ini hanya gurauan”. Sebaliknya, mereka perlu mengambil tanggungjawab atas kesilapan mereka dan menggunakan platform mereka untuk mendidik pengikut tentang kepentingan sensitiviti budaya.
Selain itu, pempengaruh media sosial juga tidak boleh menyalahkan netizen atas “kebodohan” yang mereka sendiri tunjukkan. Sebarang tindakan atau kenyataan yang tidak berfikir panjang, tidak beretika atau menyalahi undang-undang adalah tanggungjawab pempengaruh itu sendiri.
Mereka perlu sedar bahawa sebagai figura awam, tindakan mereka membawa impak yang besar dan boleh mempengaruhi ramai orang, terutamanya golongan muda.
Dalam konteks ini, pempengaruh media sosial di Malaysia perlu meningkatkan tahap profesionalisme mereka. Keadaan ini termasuk melakukan penyelidikan yang teliti sebelum berkongsi maklumat, berhati-hati dengan kandungan yang dihasilkan dan sentiasa peka terhadap sensitiviti masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
Mereka juga perlu bersedia untuk menghadapi kritikan membina dan menggunakannya sebagai peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri.
Selain itu, kemampuan untuk mengawal emosi dan menunjukkan empati juga penting bagi pempengaruh. Menurut Goleman (1995), individu yang memiliki kecerdasan emosi yang tinggi mampu mengawal perasaan negatif dan menggunakannya secara konstruktif.
Hal ini amat penting dalam dunia media sosial yang sering diwarnai dengan kontroversi dan kritikan. Pempengaruh yang berintegriti perlu bijak menangani kritikan dan menggunakannya sebagai peluang untuk berkembang, bukannya bertindak balas secara negatif.
Kita perlu mengakui bahawa cabaran untuk mengekalkan integriti di media sosial adalah besar. Fenomena FOMO (Fear of Missing Out) yang semakin berleluasa boleh mendorong pempengaruh untuk menghasilkan kandungan yang sensasi tanpa mengambil kira kesannya.
Di sinilah pentingnya domain regulasi kendiri dalam kecerdasan emosi. Pempengaruh yang berintegriti perlu bijak mengawal dorongan untuk mendapatkan “likes” dan pengikut dengan cara yang tidak beretika.
Walaupun kecerdasan emosi penting, ia bukanlah satu-satunya faktor yang menentukan integriti seorang pempengaruh. Faktor-faktor lain seperti latar belakang, pendidikan dan nilai-nilai peribadi juga memainkan peranan.
Namun, kecerdasan emosi boleh dianggap sebagai pemangkin yang membolehkan pempengaruh menggunakan semua faktor ini secara optimum untuk membina pengaruh yang positif dan berintegriti.
Kesimpulannya, peranan pempengaruh media sosial di Malaysia telah berkembang jauh melampaui sekadar hiburan, menjadi sebahagian penting dalam membentuk budaya, ekonomi dan bahkan politik negara.
Dalam dunia media sosial yang semakin kompleks ini, kecerdasan emosi yang tinggi menjadi aset yang tidak ternilai bagi pempengaruh yang ingin mengekalkan integriti. Ia membolehkan mereka membina hubungan yang tulen, menangani cabaran dengan bijak dan memberi impak positif kepada pengikut mereka.
Walau bagaimanapun, usaha berterusan untuk membangunkan dan mengasah kemahiran kecerdasan emosi adalah penting. Hanya dengan cara ini, kita dapat membentuk generasi pempengaruh yang bukan sahaja popular, tetapi juga berintegriti dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu bijak dan kritis dalam menilai pengaruh mereka untuk memastikan impak positif kepada pembangunan negara.
Dengan keseimbangan ini, pempengaruh media sosial boleh menjadi ejen perubahan yang berkesan dan bertanggungjawab dalam landskap digital Malaysia yang semakin berkembang.
Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon
Pengarah Kreatif
Sixtysix Action Academy