BUKIT BERUNTUNG – Seramai 23 orang ibu bapa kepada murid Sekolah Kebangsaan Sungai Selisek diraikan kerana berjaya menamatkan modul Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) selama enam minggu.
Mereka diraikan pada Sabtu, 23 November 2024 dalam Majlis Graduasi IMPAK SK Sungai Selisek 2024 yang telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Aula Al-Irsyad, Pejabat IKRAM Hulu Selangor untuk memberi penghargaan kepada mereka.
Majlis ini telah dirasmikan oleh Bendahari IKRAM Pusat, Hj Ismail Yusoff Awang, yang turut dihadiri tetamu kehormat iaitu YDP IKRAM Hulu Selangor, Hj Romzi Ishak, Penasihat IMPAK dan Setiausaha IKRAM Hulu Selangor, Hj Mohd Amran Sakir, Ketua Sekretariat IMPAK Pusat, Pn Hajjah Fariza Said Hassan, dan Pengerusi PIBG SK Sungai Selisek (SKASESS), Hj Azrul Aziz.
Dalam ucapan perasmiannya, Hj Ismail Yusoff menyampaikan rasa syukur kepada Allah SWT atas kejayaan para peserta dalam menyempurnakan program ini. Beliau juga menekankan betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam memastikan peningkatan akademik dan sahsiah anak-anak.
“Program IMPAK atau Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak ini adalah hasil adaptasi daripada konsep ‘Parents Assuring Students Success‘ (PASS) dari Amerika Syarikat. Objektif utama program ini adalah untuk membantu ibu bapa memahami peranan mereka serta pengaruh yang besar dalam proses pembelajaran anak-anak,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan kepentingan peranan ibu bapa mendidik keluarga dalam Islam dengan memetik ayat al-Quran daripada Surah At-Tahrim, ayat 6, yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, yang tidak menderhakai Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Selain itu, beliau juga mengingatkan hadis Rasulullah SAW yang menyebut:
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci); maka kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Majlis tersebut turut dihadiri oleh para jurulatih bertauliah IMPAK IKRAM Hulu Selangor, Hj Fatkurradzi Jamil dan Ts. Dr. Mohd Yazid Mohd Yunos, serta ahli keluarga para graduan. Kejayaan seramai 23 peserta ini telah menamatkan program IMPAK ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.
Program ini dianjurkan oleh IKRAM Kawasan Hulu Selangor dengan kerjasama SK Sungai Selisik (SKASESS), PIBG SKASESS dan Pertubuhan IKRAM Malaysia. Usaha murni ini diharapkan dapat melahirkan generasi yang cemerlang dari segi akademik dan sahsiah, serta lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Majlis dimeriahkan lagi dengan ucapan dan persembahan peserta dan diakhiri dengan doa dan harapan agar usaha murni ini diberkati dan diberi ganjaran oleh Allah SWT.