SHAH ALAM, 8 Mei – Ketua Wanita IKRAM Selangor, Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman hadir meraikan para jemputan ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri IKRAM peringkat negeri Selangor anjuran IKRAM Selangor yang berlangsung sederhana tapi bermakna pada Rabu di Pejabat IKRAM Negeri Selangor, di sini.
Beliau bersama Setiausaha Wanita IKRAM Selangor, Puan Roselinee Mohammad Radzi dan Penolong Setiausahanya, Puan Nur Izatul Azreen Apili meraikan wakil-wakil agensi, badan dan pertubuhan bukan kerajaan serta pemimpin setempat yang telah sudi hadir ke majlis berkenaan yang berlangsung bermula jam 12 tengah hari semalam.
Antara yang hadir, Pengurus Kanan Operasi Wanita Berdaya Selangor, Puan Nurul Imma Mansor, Pengerusi Persatuan Kebajikan Kerja Sosial Malaysia (PERKASA), Tuan Perkas Rao A/L Ramah merangkap Ketua Unit Warga Emas, OKU dan Sukarelawan Pejabat Kebajikan Masyarakat Shah Alam, Selangor.
Pada masa sama, Prof. Dr. Norhasmah turut menzahirkan rasa terima kasih beliau atas kesudian semua jemputan Wanita IKRAM Selangor hadir ke majlis berkenaan khususnya rakan-rakan kerjasama Wanita IKRAM Selangor untuk program-program akan datang dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor, Puan Shafareeza Ismayatim selaku Pengarah LPPKN Selangor dan Pengarah Pusat Rawatan AMC, Dr. Nor Aniza Ali Shibramulisi merangkap pemilik Rumah Bersalin Bukit Beruntung serta wakil dari Poliklinik An-Nur.
Dalam perkembangan berkaitan, para tetamu disajikan dengan pelbagai juadah termasuklah nasi minyak, ketupat dan sate.
Turut hadir memenuhi undangan, wakil-wakil dari Sekretariat Hal Ehwal Wanita (SALWA) di bawah pergerakan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Persatuan Persara LPPKN dan wakil dari Pertubuhan Wanita Bumiputra (Pernita) di bawah Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO).
Hadir sama, Yang Di-Pertua IKRAM Negeri Selangor, Prof. Dr. Azhar Muhammad Zailani, Timbalan Yang Di-Pertua IKRAM Negeri Selangor, Haji Mohd Dusuki Mohd Nor dan barisan ahli Jawatankuasa IKRAM Negeri Selangor. Majlis berakhir kira-kira jam 6 petang.