Aidilfitri: Menuai Takwa yang Telah Disemai

Aidilfitri: Menuai Takwa yang Telah Disemai

Berlalulah sudah Ramadan, sebulan kita berpuasa, menahan lapar dan dahaga, menjauhkan segala perkara yang boleh mensia-siakan ibadah demi sebuah ketaatan kepada Allah Taala. 

Ketaatan yang berputik daripada sebuah keimanan yang kukuh dan perkiraan yang teliti bahawa Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosa lalu, maka pada pagi Aidilfitri, kita bangun dalam keadaan bersih daripada dosa dan kesalahan lama.

Pastinya, kesegaran bukan sahaja terserlah pada tubuh badan yang dibaluti dengan pakaian serba baharu, malah kematangan iman dan takwa yang terasa dalam setiap genap hati dan jiwa.

Syariah menggambarkan hari raya sebagai satu keraian kepada kemenangan yang perlu diwara-warakan dengan gah sekali. Hari yang dihiasi dengan takbir dan tahmid yang berpanjangan disambut oleh segenap masyarakat.

Bahkan sunah mengikuti jalan lain untuk ke masjid dan pulang ketika menunaikan solat sunat hari raya memberikan mesej kepada kita bahawa hari raya ialah sebuah hari yang mengujakan semua.

Hari raya ialah hari gembira untuk umat Islam mensyukuri kejayaan dalam melakukan ketaatan, iaitu sebuah ibadah istimewa yang ganjarannya hanya Allah Taala membalasnya.

Oleh itu, hari raya sepatutnya dirayakan dengan penuh kesyukuran dan perkongsian kegembiraan dengan semua keluarga, jiran rakan dan taulan. Maka, sambutan dalam ruang ketaatan juga dianggap sebagai ibadah dengan ziarah, juadah dan hadiah.

Melestarikan takwa yang telah dicapai

Jangan dilupa, takwa yang menjadi matlamat utama ketika berpuasa perlu dijaga dengan sebaiknya. Sesuatu yang diperoleh dengan usaha keras tidak seharusnya dibiarkan pergi begitu sahaja.

Itulah cabaran utama bagi seorang mukmin setelah Ramadan berlalu, menyematkan takwa dalam setiap aspek kehidupan bukanlah perkara mudah, tetapi tidak mustahil.

Seharusnya, ketika Ramadan lagi, orang yang berpuasa mestilah menanam azam untuk menjadikan takwa sebagai latar kepada gaya kehidupan. 

Ketika memasuki Ramadan, kita disibukkan dengan pelbagai perancangan untuk menyantuni bulan yang sangat istimewa itu. Begitu juga ketika bulan tersebut telah berlalu, kita juga perlu merancang untuk menghidupkan roh dan semangat Ramadan dalam diri dan kehidupan.

Jika ketika Ramadan amalan kita dilipatgandakan, maka setelah Ramadan berakhir, janganlah ditinggalkan semua. Mulakan dengan sesuatu yang sangat mudah dan sedikit dahulu. Bak kata pepatah Melayu “berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.”

Saidatina Aisyah r.a. mengatakan Rasulullah SAW bersabda:

“Amalan paling dicintai Allah SWT ialah amalan berterusan walaupun sedikit.” (HR Muslim)

Amalan-amalan tambahan yang dilakukan ketika Ramadan seperti tadarus dan sedekah, sepatutnya diteruskan meskipun sedikit. Rancanglah sebaiknya, masukkan dalam jadual harian sebagaimana kita memasukkannya ketika Ramadan.

Sebagai panduan, ikhlaskan diri dalam beramal. Buatlah sesuatu amalan kerana kesungguhan dan kesanggupan sendiri, bukan paksaan atau untuk dipamerkan kepada khalayak. 

Buatlah sesuatu amal kerana kecintaan kepada Allah Taala. Dengan itu, perasaan bangga dan izzah kerana dapat berkhidmat kepada Allah SWT akan hadir dalam diri. Itulah yang menjadi momentum kepada semangat seorang Muslim.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Lakukanlah amal sesuai dengan kesanggupan kerana sesungguhnya Allah SWT tidak akan bosan sehingga engkau menjadi bosan. Dan sesungguhnya amal yang paling Allah SWT sukai ialah yang terus-menerus dikerjakan walaupun sedikit.” (Riwayat Abu Dawud)

Membangunkan kecerdasan diri 

Jika diteliti, ibadah puasa merupakan latihan dan didikan kepada tiga kecerdasan utama manusia iaitu kecerdasan fizikal, mental dan spiritual. 

Puasa telah melatih manusia membina kecerdasan fizikal dengan menahan lapar. Dengan itu, badan menggunakan kekuatan fizikal yang sedia ada untuk meneruskan aktiviti pada siang hari.

Puasa melatih manusia membina kecerdasan minda dengan mengawal nafsu dan keinginan daripada melakukan perkara-perkara yang disukainya pada siang hari.

Yang paling utama ialah puasa membangunkan kecerdasan spiritual dan keimanan dengan tumpuan kepada perlakuan ketaatan demi meraih takwa kepada Allah Taala.

Hakikat ibadah puasa memberikan mesej kepada kita bahawa kecerdasan pada manusia perlu dilatih dan dididik. Menahan diri merupakan satu latihan yang dapat membina kekuatan pada segenap aspek dalam diri manusia.

Maka, dengan berpuasa sebulan, manusia akan menjadi lebih kuat spiritualnya, fizikalnya dan mindanya.

Mengawal nafsu punca kejayaan 

Segala kerosakan dan kebinasaan manusia didorong oleh kebejatan hawa nafsu yang tidak terkawal. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya nafsu manusia sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia daripada hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf: 53)

Nafsu merupakan kehendak semula jadi bagi manusia. Nafsu perlu dipandu oleh iman dan minda yang sihat. Allah SWT memberikan akal kepada manusia untuk memilih apa yang baik dan apa yang buruk dalam perlakuan juga tindakan.

Manusia tidak boleh menjadikan nafsu sebagai raja atau penentu segala tindak-tanduknya. Justeru, menundukkan nafsu merupakan sesuatu yang mulia di sisi syarak. 

Teruskan doa-doa kita

Kemanisan beribadah ketika Ramadan merupakan kenangan manis bagi setiap diri seorang mukmin. Ramadan sangat membekas dalam minda dan jiwa mereka yang menghidupkannya. Hingga bertemu Ramadan akan datang, sama-samalah kita berdoa:

رَبَّنَا لَا تُزِغۡ قُلُوبَنَا بَعۡدَ إِذۡ هَدَيۡتَنَا وَهَبۡ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحۡمَةًۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡوَهَّابُ

(Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu; kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.” (Ali Imran: 8)

 

Indah nian bunga kekwa

Mekar sejambak dalam gubahan

Ramadan pergi meninggalkan takwa

Moga bertemu di tahun hadapan.

 

Dr Hamidah Mat
Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia