KUALA LUMPUR – Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 perlu dipinda bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan bahasa Melayu.
“Perkara itu merupakan sebahagian daripada usaha semasa pentadbirannya, namun tidak sempat dilaksanakan disebabkan pertukaran kerajaan,” kata mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Kerajaan Keluarga Malaysia dahulu berpendirian Akta DBP 1959 perlu dipinda bagi memberikan lebih kuasa kepada DBP untuk mengambil tindakan dari segi penyalahgunaan bahasa Melayu, namun hasrat tersebut tidak sempat dilaksanakan disebabkan peralihan Kerajaan.
“Justeru, saya berharap usaha ini diteruskan dan diberikan perhatian oleh kerajaan hari ini agar bahasa Melayu dapat diperkasakan dan digunakan secara menyeluruh,“ katanya.
Menurutnya, bahasa Melayu masih bergelut untuk mendapat tempat dan dimartabatkan, biarpun sudah 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.
“Ini terbukti apabila masih ada di antara pemimpin negara yang berasa canggung atau lekeh untuk menggunakan bahasa ibunda di pentas antarabangsa.”
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM), pada Isnin.
Simposium selama dua hari itu dianjurkan oleh Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman (IKK) dan Asean Lecturer Community (ALC), Thai Global Business Administration Technological College serta Rajamangala University of Technology (RMUTT) Thailand, dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri Ke-9 dan Kumpulan UCSI.




