Ulama terdahulu pernah mengatakan, “Tidak ada seorang pun yang pergi ke mana-mana yang ia mahu, tanpa persiapan. Dan tidak ada seorang pun yang mengundang tetamu di rumahnya, tanpa mempersiapkan diri untuk menyambut tetamu itu.”
Demikian juga dengan bulan Ramadan. Maka, umat Islam yang bakal melakukan rehlah (perjalanan) Ramadan, tidaklah akan sempurna rehlahnya kecuali ia mempersiapkan dirinya.
Tahukah kita, sebelum peristiwa Hijrah, umat Islam belum diwajibkan berpuasa Ramadan?
Puasa Ramadan difardukan pada tanggal 2 Syaaban, tahun ke-2 Hijrah. Ini bermakna, sebulan sebelum masuknya bulan Ramadan, umat Islam diperintahkan bersedia untuk berpuasa Ramadan pada tahun berkenaan.
Sedarkah kita, tidak lama lagi, akan hadir satu bulan yang sangat barakah? Di dalamnya pelbagai nikmat dan ganjaran Allah SWT tawarkan buat hamba-Nya.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”
Sesuai ajaran Rasulullah, umat Islam disarankan beribadah pada bulan Ramadan dengan ‘imanan wahtisaban’ agar meraih reda Allah SWT dan mendapat pengampunan dosa daripada-Nya.
Umat Islam diseru melakukan ibadah puasa dengan iman yang kukuh dan niat semata-mata kerana Allah.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan iman dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari No. 38 dan Muslim No. 760)
Disebutkan dalam kitab Fathul Bari bahawa kata ‘imaanan’ bererti meyakini bahawa puasa pada bulan suci Ramadan adalah perintah Allah yang wajib untuk dilaksanakan umat Islam.
Sedangkan, kata ‘ihtisaban’ tercatat dalam kitab penjelasan Sahih al-Bukhari tersebut masih satu timbangan iaitu perumpamaan (wazan) dengan kata iftitah, yang bermaksud pembuka.
Maka, ihtisaban pula bermakna perhitungan, iaitu pada ayat tersebut bermaksud Allah akan menghitung pahala puasa yang dilakukan oleh umat Islam.
Ramadan Sesuatu Yang ‘Special’
Pengerusi Tarbiah dan Modal Insan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib menerusi rancangan di TV Al-Hijrah pada 5 Mac lalu, berkata:
“IKRAM memilih tema Ramadan kali ini ialah ‘Ramadan, Aku Kembali’ kerana Ramadan itu sendiri adalah sesuatu yang istimewa.”
Beliau menganggap Ramadan itu adalah suatu rahmat dan anugerah Allah SWT.
“Kita, umat Nabi Muhammad ini, umur tak panjang, tetapi Allah SWT sediakan pada satu bulan yang di dalamnya, Allah hidangkan pahala yang melebihi usia kita itu sendiri.”
Beliau berkata, sesiapa yang berpuasa dan mendirikan solat malam dengan penuh keimanan dan menghitung pahala, maka diampunkan segala dosa.
“Benarlah di bulan ini dosa-dosa diampunkan dan pahala bertambah-tambah. Ia adalah bonus dan seolah-olah selesai Ramadan itu kita menjadi bersih,” ulasnya.
Rebut Tawaran Peluang
Dalam kesempatan itu, beliau mengajak umat Islam agar merebut peluang yang ditawarkan Allah SWT kepada hamba-Nya.
“Macam ‘supermarket’ buat tawaran, siapa yang pergi ‘sale’ tu dia dapatlah. Ramai yang berkejar nak dapatkan tawaran hebat atau murah itu.”
Dr Syazalie turut mengingatkan agar kita melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh dan mengikut kadar kemampuan masing-masing pada bulan Ramadan.
“Tetapi buatlah pecutan beramal di hujung-hujung (Ramadan),” ujarnya.
Bercakap mengenai tema ‘Ramadan, Aku Kembali’, beliau berkata, IKRAM menyediakan beberapa program antaranya Tazkirah Ramadan di media sosial IKRAM selama 30 hari.
“Di negeri-negeri pula akan diadakan iktikaf di 10 malam terakhir, kerana inilah sunnah yang dilakukan Nabi SAW di setiap kali penghujung Ramadan.”
IKRAM juga turut menyediakan ‘lantern’ Ramadan untuk keluarga, agar anak-anak berasa tertarik melalui Ramadan dengan menanda apa yang mereka lakukan setiap hari seperti baca al-Quran, buat baik, bangun sahur, solat, puasa dan sebagainya.
“Ini juga sebagai satu usaha menyambut Ramadan dengan lebih bermakna bersama keluarga.”
Untuk mendapatkan informasi kempen ‘Ramadan, Aku Kembali,’ sila layari pautan https://linktr.ee/ikrammalaysia.
Moga Ramadan kali ini kita dapat melaksanakan segala ibadah dengan lebih baik dan bersungguh-sungguh semata-mata mendambakan reda Ilahi, insya-Allah.
Salam Ramadan 1444 H.