SERDANG – Seramai 30 orang kanak-kanak berusia 4 hingga 13 tahun telah turut serta dalam program “Knowing You Knowing Me” pada Ahad, di sini.
Selain itu, para peserta yang menyertai program yang menjadi pembuka tirai bagi program IKRAM Junior Kawasan Serdang untuk tahun 2023 itu, turut berpeluang menyaksikan pelancaran kit IKRAM Junior yang julung-julung kalinya diadakan sebelum program diteruskan lagi dengan aktiviti senaman ringan, seni dan kraftangan.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua IKRAM Kawasan Serdang, Juhari Hassan. Melalui kit tersebut, setiap peserta menerima sekeping passport program IKRAM Junior yang akan digunakan pada sepanjang tahun 2023 untuk setiap program yang dihadiri.
Dengan tema Giat Bermanfaat Generasi Hebat, program-program IKRAM Junior Kawasan Serdang yang akan diadakan secara bulanan ini antara lainnya bertujuan untuk mendidik sahsiah islamiah, menanam nilai-nilai Islam dan memupuk sikap untuk meneladani masyarakat dalam diri para peserta.
Turut hadir, Ketua Wanita IKRAM Serdang, Aida Abdul Rahim serta ahli jawatankuasanya. Program berakhir pada kira-kira jam 1 petang.