Pendidikan Masyarakat: Wanita IKRAM Shah Alam Anjur Siri Bicara Kesejahteraan Keluarga dan Kesihatan

Shah Alam – Apabila menyentuh soal pendidikan, kita tidak boleh meninggalkan aspek perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh iaitu perkembangan mereka sebagai seorang kanak-kanak dan bukan dari aspek pembelajaran sahaja.

Pengerusi Rangkaian Naluri Kreatif, Nurul Hanan Arifin, ketika membicarakan kesan pandemik kepada kanak-kanak dalam Siri Bicara Kesejahteraan Keluarga dan Kesihatan anjuran Wanita IKRAM Kawasan Shah Alam bagi sesi yang ke-4 itu berkata, kemahiran sosial kanak-kanak kerana kurangnya interaksi bersama manusia lain selain yang ada di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semakin perlahan progresnya, walaupun pada peringkat umur 2-3 tahun anak-anak masih membina kemahiran tersebut.

Selain itu, dalam sesi ke-4 bertajuk Mendidik Anak Seawal Usia: Cabaran Zaman Pasca COVID yang bersiaran secara langsung di laman facebook Wanita IKRAM Shah Alam bermula jam 9 malam pada Sabtu lalu itu, Nurul Hanan turut menjelaskan satu lagi aspek lain perkembangan anak-anak yang turut terkesan iaitu aspek keberanian. Apabila ruang lingkup dunia anak-anak tertutup sepanjang PKP serta tidak boleh menjangkau lebih dari kawasan rumah, tidak banyak cabaran atau ujian bagi melatih mereka bersikap berani.

“Keadaan ini menyebabkan anak-anak menjadi lebih ‘reserved’ dan mengambil masa yang lebih panjang untuk beradaptasi. Tetapi apabila sekolah mula dibuka pasca COVID, kita seolah-olah berlumba untuk kembali kepada keadaan asal yang normal sedangkan sekiranya kita sangat teliti dalam perancangan dan pengamatan terhadap kanak-kanak, kita harus mengambil sikap menyediakan jambatan daripada keadaan mereka yang masih rapuh itu dan kemudiannya membantu mereka kembali semula kepada landasan pembelajaran,” ujarnya.

Peranan Semua Pihak
Turut hadir sebagai penampilan istimewa dalam siri bicara tersebut, pempengaruh media sosial yang tidak asing lagi, Mohd Fairuz Abu atau lebih dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi, seorang aktivis dan penulis buku Pendidikan Seksualiti Kanak-Kanak. Menurutnya, masih belum terlambat untuk berpatah balik bagi memastikan anak-anak mendapat ruang yang secukupnya sebagai kanak-kanak dan diberikan hak mereka. Cuma ini bukan tugas kecil. Bukan hanya sekolah dan ibu bapa sahaja yang berperanan.

“Agenda untuk mengembalikan hak kanak-kanak ini melibatkan semua pihak dan bukan hanya Kementerian Pendidikan tetapi juga kementerian-kementerian lain kerana sinergi bersama inilah yang akan mengembalikan hak kanak-kanak ini dan menjadikan mereka kanak-kanak yang kuat emosinya dan fizikalnya dengan cara mewujudkan apa yang sepatutnya ada untuk kanak-kanak meliputi persekitaran di rumah, silibus pembelajaran dan sebagainya,” jelasnya.

Gajet: Bagaimana Ibu Bapa Berperanan
Mengupas isu penggunaan gajet yang telah menjadi instrumen utama dalam kehidupan pada hari ini, Nurul Hanan turut berkongsi beberapa tip kepada sidang pendengar.

“Antara perkara yang perlu jelas ialah kita perlu komunikasikan tentang penggunaan gajet ini dengan setiap ahli keluarga kita. Letakkan had-had yang perlu dalam tatacara penggunaan gajet. Contohnya, di meja makan, tiada gajet. Bina nilai keluarga kita dan ambil kira gajet sebagai salah satu komponen juga di dalam rumah dan kita perlu jelaskan di mana kedudukan gajet itu contohnya ketika waktu makan tadi. Suburkan perbualan di meja makan,” terangnya.

Selain itu, memperkenalkan permainan lain atau aktiviti lain yang lebih menarik dengan melihat kepada minat anak-anak juga boleh dilakukan seperti membawa anak-anak pergi berkhemah, membuat aktiviti yang disertai juga oleh masyarakat seperti acara larian awam dan sebagainya di samping tidak lupa untuk membekalkan anak-anak dengan panduan untuk bersosial.

Tambahnya lagi, aktiviti membaca juga ialah aktiviti yang lestari dan berterusan serta tidak akan terkalahkan oleh teknologi.

“Penting juga untuk kita perkenalkan aspek-aspek seni kepada anak-anak kerana ia akan membantu aspek emosi anak-anak seperti melukis dan seumpamanya. Sekiranya kita berlatih untuk mengurus emosi diri kita maka kita akan kembali menjadi ahli masyarakat yang lebih baik. Ada juga yang bermain muzik. Maka, kehidupan yang sihat ini harus digerakkan oleh setiap keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Akhi Fairuz Al-Jengkawi turut mendedahkan bahawa, lambakan kartun ataupun siri animasi yang menjadi tontonan kanak-kanak pada hari ini bukan hanya melibatkan keganasan atau lucah sahaja, bahkan telah berkembang kepada yang melibatkan unsur-unsur LGBT dan video ini datang daripada segenap platform.

“Semuanya nak dijadikan agenda yang membolehkan kanak-kanak atau dunia menormalisasikan hal-hal seperti itu. Maka, didik anak-anak dengan cara bercerita contohnya. Daripada lari atau mengelak daripada membicarakan isu tersebut, kita menunjukkan anak kita kepada masalah itu. Bersedia mendengar soalan anak dan bersedia untuk menerangkan,” ujarnya di hujung sesi.

Sesi akan Datang
Siri Bicara Kesejahteraan Keluarga dan Kesihatan anjuran Wanita IKRAM Shah Alam ini membincangkan topik-topik berkaitan kesihatan dan kekeluargaan setiap bulan yang keseluruhannya berjumlah enam sesi. Sesi ke-5 yang akan datang bertajuk Mendekati Anak Remaja: Jom Selami Jiwa Mereka akan bersiaran langsung di laman facebook Wanita IKRAM Shah Alam pada 25 Februari jam 9 malam. Orang ramai juga boleh mendengar rakaman 3 sesi yang telah diadakan sebelum ini di laman facebook yang sama.

 

Syawal Permulaan Baharu. Raya bersama IKRAM dengan klik gambar di bawah.

[supsystic-social-sharing id='1']
Author picture

Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli binti Madlan adalah anak kelahiran Melaka yang kini menetap di Terengganu. Beliau seorang penulis, novelis, kolumnis majalah, penceramah dan pengasas Kaedah Membaca Ekspres-i.

ARTIKEL BERKAITAN

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia