Senarai barisan kabinet telah kita ketahui. Maka bermulalah episod yang baharu kerajaan perpaduan yang mentadbir Malaysia.
Pelbagai komentar yang positif mahupun agresif daripada netizen apalagi parti lawannya, kelihatan tidak berhenti sehingga kini.
Memang terdapat juga kekecewaan di pihak kita, sebagai rakyat untuk menerima pengumuman senarai kabinet yang telah dibentangkan Perdana Menteri sekitar pada Jumaat lalu, pukul 8.20 malam, selepas lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Penantian dan debaran sebelum itu sangat menyesakkan banyak pihak, apatah lagi tersebar pelbagai spekulasi.
Namun, apabila sesuatu yang tidak disangka itu terjadi, maka bermacam-macam yang dihamburkan kepada Pakatan Harapan khususnya Perdana Menteri itu sendiri, dan pelbagai polemik timbul berdasarkan sentimen semasa.
Pada waktu yang sama, parti dan ahli-ahlinya pun dijadikan ‘bahan’ oleh mereka yang menzahirkan rasa tidak bersetujunya sedari awal pelantikan perdana menteri kesepuluh ini. Keadaan ini seakan rumah siap, pahat masih berbunyi.
Bukan itu sahaja, dalam kalangan ahli parti sendiri pun ada yang protes menampakkan tidak setuju dengan seseorang yang ada hubung kait dengan kluster mahkamah.
Maka, para menteri janganlah terlalu defensif dan selesa apabila wujud suara-suara yang mempertikaikan pelantikan mereka, kerana kita semua perlu mengakui bahawa kabinet yang dibentuk Perdana Menteri belumlah dapat dinilai sempurna dan tahan uji.
Namun, bermula semalam 28 orang yang menjadi menteri itu sudah mula memasuki pejabat kementerian bagi memulakan tugasnya setelah mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu lalu.
Jumlah tersebut, termasuk Anwar yang memegang portfolio Menteri Kewangan adalah lebih kecil berbanding seramai 31 jemaah menteri dalam kerajaan yang terbentuk sebelum ini.
Justeru seperti biasa, rakyat terus memerhati dan menilai.
PM Tersepit?
Barangkali Perdana Menteri sendiri tersepit dalam keadaan yang mencengkam, seperti diluah mati emak, ditelan mati bapak. Akhirnya begitulah senarai nama kabinet yang dibentangkan pada Jumaat malam lalu.
Ya, di sini kita sebagai rakyat perlu mengambil sikap tunggu dan lihat sebagaimana kata hikmah yang sangat saya sukai ini,
“Anda boleh bersetuju untuk setuju dan anda boleh bersetuju untuk tidak bersetuju.”
Maka, suara-suara anda itu perlu dizahirkan, seharusnya yang baik-baik untuk menjadikan menteri-menteri kabinet atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ini menjadi lebih baik.
Apa yang pasti, Kerajaan Perpaduan yang dibina yang berasaskan kerjasama merentasi politik kepartian, rakyat tentu mahukan kerajaan yang dapat meneruskan aspirasi perpaduan demi menjamin kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat pascapandemik Covid-19.
Sebagaimana kata Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, anggota kabinet ini bukan sahaja mewakili kepentingan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi berprestasi tinggi dan mampu menggalas amanah dengan sebaik mungkin.
“Jika silap percaturan dengan meletakkan calon tidak layak dan bersesuaian, ia akan menjejaskan persepsi dan meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan ini.”
Banteras Kebobrokan
Kalaupun ada di peringkat kabinet itu yang membuat onar, kontroversi mahupun kejahatan yang jelas, maka marilah sama-sama kita desak mereka turun, atau boleh jadi, kita yang turun beramai-ramai di jalanan, agar mereka turun.
Tidak terkecuali, di pihak pembangkang pun perlu dikritik dan ditangani jika mereka melakukan sebarang provokasi yang merencatkan perjalanan kerajaan perpaduan ini, begitu juga sentimen perkauman dan agama untuk menyerang pihak lawan,
Apa yang pasti, kebobrokan yang terjadi, perlu kita sebagai rakyat sama-sama banteras segera. Bukan kerana rakyat tidak suka kepada PM, tetapi barisan kabinet yang ‘buruk’ perlu segera disingkirkan agar anai-anai tidak merosakkan kabinet sepenuhnya.
Maka, berhati-hatilah.
Rakyat Hakim Negara
Boleh jadi, inilah masa kita sebagai rakyat menjadi hakim yang sebenarnya. Kerja sudah bermula. Jadi, kita tunggu dan lihat di mana kewibawaannya membawa negara kembali terhormat di mata dunia.
Teruskan kritikan kita sebagai rakyat bagi menyempurnakan semak dan imbang untuk kukuhkan kerajaan perpaduan ini agar lebih maju ke hadapan.
Tentu sebilangan besar rakyat Malaysia merindukan suara-suara keras dengan hujah, berfakta seorang Rafizi Ramli yang kini telah menjadi Menteri Ekonomi. Janganlah dek kerana bersama dengan ‘kerajaan perpaduan,’ suara-suara bergempita yang lalu terbenam.
Dalam pada itu, setiap menteri perlu mengakui hak rakyat dan pengundi untuk mengkritik mereka dan seharusnya mereka tangani dengan sebaiknya.
Tahniah kepada barisan menteri kabinet baharu. Jalankanlah amanah ini dengan bersungguh-sungguh kerana Allah. Moga amanah itu dipikul dengan rasa tanggungjawab.
Terus doakan yang baik-baik buat Malaysia yang lebih baik, insya-Allah.
Ayuh, bersama kita selamatkan Malaysia.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.