Tahukah anda, negara Eropah adalah yang pertama memperkenalkan hak mengundi untuk wanita oleh Grand Duchy of Finland pada tahun 1906. Ini adalah antara pembaharuan yang berlaku selepas kebangkitan 1905.
Hasil daripada pilihan raya parlimen 1907, pengundi Finland memilih 19 orang wanita sebagai ahli parlimen pertama menjadi wakil rakyat menduduki kerusi itu.
Kebanyakan negara merdeka menggubal hak pilih wanita pada era antara perang, termasuk Kanada pada 1917, Britain dan Poland pada 1918, dan Amerika Syarikat pada 1920.
Leslie Hume berkata, Perang Dunia I mengubah suasana popular:
“Sumbangan wanita kepada usaha perang menggantung idea tentang kelemahan fizikal dan mental wanita, dan menjadikannya sukar untuk mengekalkan bahawa wanita tidak layak untuk mengundi. Jika wanita mampu bekerja di kilang peluru, nampaknya tidak wajar dan tidak logik untuk menafikan mereka mendapat tempat di pusat pengundian.”
Tetapi undian itu lebih daripada ganjaran untuk tindakan perang, dan intinya ialah penyertaan wanita dalam peperangan hingga mereka dapat membantu menghilangkan ketakutan wanita yang terkepung ketika insiden itu berlaku.
Hak Mengambil Bahagian
Mengundi adalah satu cara penting dan utama yang membolehkan individu mempengaruhi keputusan membentuk sebuah kerajaan.
Pengundian pula ialah apabila seseorang individu memilih calon untuk mewakilinya dalam parti yang dipilih bagi mengemukakan undang-undang atau dalam beberapa jawatan pembuat keputusan.
Pengundian selalunya berlaku sebagai sebahagian daripada pilihan raya di peringkat negara atau negeri. Perlu diingat bahawa pilihan raya negeri adalah sama pentingnya dengan pilihan raya umum untuk sesebuah negara.
Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat diterima hampir sebulat suara oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1948, yang mengiktiraf peranan pilihan raya yang adil dan telus dalam memastikan dan merealisasikan hak untuk mengambil bahagian dalam hal ehwal awam.
Perkara 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan:
“Setiap orang mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam pengurusan hal ehwal awam negaranya, sama ada secara langsung atau melalui wakil yang dipilih secara bebas. Setiap orang, atas dasar sama rata dengan orang lain, mempunyai hak untuk memegang jawatan di negaranya.”
Kehendak rakyat adalah asas kepada kuasa kerajaan, dan kehendak ini mesti dizahirkan melalui pilihan raya bersih yang dijalankan menerusi hak mengundi sejagat dan sama rata, melalui undi rahsia atau melalui prosedur yang setara dari segi memastikan kebebasan mengundi.
Undi Wanita
Sebagai wanita, golongan ini tidak terkecuali wajib menjalankan tanggungjawab untuk mengundi kerana undi wanita sangat berharga dalam menentukan kerajaan yang bakal dibentuk seterusnya menghormati wanita di samping prihatin terhadap mereka dan keluarga.
Dengan kata mudahnya, undi wanita membolehkan suara wanita didengari dari peringkat tertinggi dalam membuat sesuatu keputusan.
Hak menentukan masa depan wanita dan keluarga terletak di tangan wanita itu sendiri kerana secara jelasnya, telah terbukti bahawa wanita yang lebih prihatin mengenai isu-isu tersebut.
Oleh yang demikian, di samping memilih calon wakil rakyat yang mampu, amanah dan jujur, sekalian kita, bukan sahaja wanita juga mesti memilih mereka yang boleh memperjuangkan isu-isu berkaitan wanita dan keluarga tanpa mengira kelompok, kaum atau agama.
Tentunya calon PRU15 yang jelas memikirkan kepentingan wanita dan keluarga dalam kesemua perancangan negara dan dalam penggubalan sebarang undang-undang menjadi nilai tambah ketika memilih.
Calon yang dipilih itu juga perlulah yang menghormati wanita dan tidak pernah merendah-rendahkan wanita di parlimen atau dalam laporan media mahupun dalam tindakan sehariannya.
Kuasa wanita dalam membuang undi sangatlah menjadi penentu. Sebagaimana statik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), pengundi dalam kalangan wanita ialah sebanyak 50.17 peratus berbanding lelaki sebanyak 49.83 peratus daripada jumlah pengundi iaitu 21,173, 638 orang.
Wanita Mendominasi
Ia bukan sekadar angka. Sebanyak 71,990 pengundi wanita yang mendahului lelaki itu tentunya mampu mengubah keputusan atau memberikan keputusan yang terbaik dalam pilihan raya umum ini.
Pilihan raya tersebut perlulah bebas dan demokratik merangkumi hak kedaulatan yang rakyatnya berhak untuk menyatakan, hak rujukan yang memberikan kuasa dan legitimasi kepada institusi pentadbiran untuk kebebasan bersuara.
Inilah masanya sekalian wanita perlu bangkit menyatakan hasrat mereka melalui peti undi untuk memilih wakil rakyat yang bersih, amanah dan jujur dan mampu membawa suara-suara wanita khususnya untuk mencorakkan negara ke arah yang lebih baik.
Tentunya setiap wanita punya peranan besar untuk membina peradaban. Sejarah telah membuktikan wanita memiliki kekuatan, kehebatan tersendiri serta kegemilangan yang boleh diberikan kepada ummah.
Marilah kita menjulang dan merealisasikan kata peribahasa ini, “Tangan yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia.”
Ayuh, bersama selamatkan Malaysia.
Dr Roohaida Othman
Jawatankuasa Advokasi & Polisi
Wanita IKRAM
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia