Banyakkan Calon Wanita Dalam PRU15

“Saya yang akan tandatangan watikah calon PRU15. Saya jamin jika perlu memilih calon wanita dan lelaki yang mempunyai kriteria sama, saya akan memilih wanita.”

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada Forum Kepimpinan Wanita Dalam Politik: Memacu Realiti Peningkatan Perwakilan Wanita Dalam PRU15 dan Badan Legislatif.

Tambah beliau, parti itu akan meletakkan lebih ramai calon wanita bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melebihi PRU14 sebelum ini.

Forum yang julung kali diadakan menampilkan ahli-ahli panelnya daripada beberapa parti utama negara, iaitu Democratic Action Party (DAP), Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beri Ruang dan Peluang

Naib Ketua Srikandi Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, yang juga ahli panel pada forum itu berkata, Bersatu kebelakangan ini semakin terbuka dalam memberi ruang kepada wanita sebagai calon pilihan raya.

“Seramai 60 peratus terdiri daripada Srikandi manakala 40 peratus sayap utama dan Armada. Begitu ramainya wanita, kita akan perjuangkan supaya pucuk pimpinan memberi ruang kepada lebih ramai calon wanita bertanding pada PRU15 ini,” katanya.

YB Senator Fadhlina Dato Sidek pula berkata, negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) telah meletakkan syarat minimum kuota 30 peratus calon daripada wanita untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan Dewan Negara.

“Dalam komposisi hari ini adalah kritikal, jadi kita tiada pilihan. PRU makin hampir, jadi tuan-tuan dan puan-puan, NGO perlu bantu kami untuk mendesak terus semua parti komponen untuk pastikan bahawa wanita adalah amat penting dalam tuntutan komposisi.”

Beliau yang juga Ketua Wanita Keadilan memberitahu, komposisi Dewan Negara adalah jalan terbaik untuk menunjukkan bahawa wanita boleh menguasai Dewan Negara kerana isu lantikan tetapi tiada iltizam politik untuk menjadikan dewan negara ini sebahagiannya, 15 peratus adalah wanita.

“Jadi, jika tiada iltizam politik dalam Dewan Negara, macam mana kita nak sebut dalam dewan-dewan yang lain? Apatah lagi ketika ini, kedudukan pembuat dasar negara perlukan lonjakan yang lebih tinggi.”

Perkasakan Wanita

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir berkata, BN mendahului usaha memperkasakan wanita dalam politik mahupun pembuat keputusan.

“Bahkan jika dilihat hari ini, YB (Yang Berhormat) Rina dan Mas sendiri lahir daripada Umno, kita serius dalam memperkasakan wanita, mungkin satu hari nanti, kita boleh gubal Akta 30 peratus wanita dalam Parlimen,” katanya.

Berdasarkan Indeks Jurang Gender Global (MGGI 2022), Malaysia berada di kedudukan 123 daripada 146 negara dalam konteks penglibatan wanita dalam politik.

Hakikatnya, inilah masa yang sesuai untuk meningkatkan calon wanita dalam Dewan Rakyat, tidak kisah bagi pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Waktu yang Tepat

“Ini adalah waktu yang tepat untuk meningkatkan jumlah calon wanita dalam parlimen berikutan isu jumlah gender yang ketara,” kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina harun.

Beliau berkata, hanya 14 peratus ahli parlimen dalam kalangan wanita dan angka itu menjadi berkurang apabila tidak semua ahli parlimen dalam kalangan wanita dilantik menjadi Menteri.

“Kita hanya ada 14 peratus ahli parlimen di Dewan Rakyat. Mereka bukan saja perlu menjadi calon tetapi perlu menang,” kata Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata, jurang gender yang ketara dalam kepimpinan, politik dan pembuat keputusan merupakan satu indikator yang perlu diberi perhatian serius.

Oleh yang demikian, inisiatif perlu ditingkatkan supaya lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya seterusnya menjawat jawatan Menteri.

Terdahulu, sejak 65 tahun kemerdekaan negara, jumlah kepimpinan wanita dalam badan legislatif negara tidak pernah melebihi 15 peratus iaitu 14.86 peratus di Dewan Rakyat, 11.42 peratus di Dewan Negara dan 11.57 peratus di Dewan Undangan Negeri (DUN)

Realisasikan 30 Peratus Kepimpinan Wanita

Realitinya, kadar enrolmen wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah atau tertiari adalah tinggi tetapi bagi aspek kadar penyertaan dalam pasaran buruh adalah rendah.

Ini menunjukkan ramai wanita di Malaysia yang berpendidikan tinggi dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.

Program anjuran Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan Pusat Kepimpinan Wanita dalam Politik Malaysia (COMWEL), telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina Mohd Harun dan dihadiri oleh lima wakil parti politik utama dan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rentetan daripada isu yang diforumkan itu juga, NCWO akan mewujudkan Jawatankuasa Pemantauan Masyarakat Sivil Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bersama sukarelawan bermula tempoh prapencalonan.

Tidak terkecuali, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis, semuanya perlu bergandingan mendesak dan memperjuangkan perkara ini walaupun akhirnya akan diputuskan di Dewan Rakyat..

“Kita mahu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya pembabitan lebih ramai wanita pada pilihan raya, seterusnya sebagai ahli dalam badan legislatif,” kata Presiden NCWO, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Shahabudin.

Justeru untuk jangka masa panjang, perlunya reformasi legislatif pada peringkat negeri dan persekutuan bagi meningkatkan bilangan wanita di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Forum ini antara lain bertujuan menggerakkan penyertaan wanita ditingkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam politik dan kepimpinan, termasuk sebagai calon pilihan raya, telah diadakan pada 5 Oktober 2022 di Royal Lake Club, Kuala Lumpur.

Pakatan parti politik kerajaan mahupun pembangkang ketika forum tersebut senada untuk terus memberikan komitmen mencapai sasaran 30 peratus wanita sebagai calon dalam pilihan raya, seterusnya menambah bilangan golongan itu dalam badan legislatif di negara ini.

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia