MEKAH – Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata, budi bahasa, disiplin tinggi jemaah haji serta pengurusan teratur menjadi antara faktor di sebalik pemilihan Malaysia dalam program Makkah Route atau prapelepasan.
“Lebih istimewa, Malaysia pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya negara yang menjadi pilihan kerajaan Arab Saudi ketika kali pertama program tersebut dilaksanakan.”
Beliau berkata, tahun ini pula hanya lima negara terpilih dalam program istimewa itu iaitu Malaysia, Maghribi, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.
“Kalau kita lihat sejarah Makkah Route ini, ia diperkenalkan secara projek rintis pada 2017 hingga Malaysia merupakan satu-satunya negara yang terpilih dan kejayaan pada projek rintis membolehkan Malaysia meneruskannya pada tahun selepasnya sehingga hari ini,” ujarnya.
Arab Saudi kini jelasnya, memilih lima negara sahaja daripada beratus negara lain yang menghantar jemaah haji mereka.
“Kerajaan Arab Saudi juga kelihatan selesa dalam berurusan dengan Tabung Haji (TH) kerana mampu bertindak secara langsung dalam urusan haji, malah sistem pengurusan sedia ada juga memudahkan pelaksanaan Makkah Route.”
Menurutnya, kebolehan jemaah tanah air memahami arahan asas meskipun dalam bahasa Arab dan Inggeris juga menjadi faktor penyumbang kepada pemilihan Malaysia berbanding negara lain.
“Pihak Kementerian Haji dan kerajaan Arab Saudi mempunyai hubungan cukup rapat dengan TH dan Malaysia, ini juga memudahkan mereka untuk berurusan dan kita akan bersama-sama memperhalusi serta memperbaiki lagi sistem ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya kepada beberapa negara lain,” katanya.
Inisiatif program Makkah Route dilihat berjaya melancarkan pergerakan jemaah, termasuk yang melibatkan imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang di Madinah serta Jeddah.
Sejurus sampai, jemaah Malaysia akan terus menaiki bas, sama ada di Madinah atau Makkah, malah beg mereka akan diuruskan pihak agensi di Arab Saudi untuk dibawa ke hotel masing-masing.
Dalam pada itu, setakat Selasa, seramai 2,227 jemaah telah berada di Makkah manakala 2,730 masih di Madinah.
Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.