Pelihara lidah, berkata baik atau diam

Budaya mencarut dan memaki hamun adalah suatu perkara yang buruk dan keji. 

Sebagai manusia yang berakal waras, sudah tentu kita mampu membezakan antara yang baik dan buruknya sesuatu pekara tersebut.

Ini termasuklah dalam soal kita memilih perkataan atau ungkapan yang baik untuk kita ungkapkan kepada sesiapa sahaja.

Berkata dengan ungkapan yang baik juga merupakan tuntutan dalam Islam. Bercakap dengan ungkapan yang baik merupakan salah satu akhlak yang terpuji.

Demikian juga antara tujuan utama baginda Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul adalah untuk menyempurnakan kebaikan. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Adalah menjadi tujuan utama baginda Nabi SAW diangkat dan diutuskan menjadi Rasul untuk menunjukkan penyempurnaan akhlak yang terpuji sekaligus mencerminkan ajaran dan didikan Islam sebenar.

Oleh yang demikian, kita seharusnya lebih bijak dalam memilih perkataan agar kita tidak membawa fitnah terhadap ajaran Islam sebenar yang melarang penganutnya daripada menutur perkara yang buruk dan keji.

Sekalipun kita mahu bercakap, maka bercakaplah akan hal-hal yang baik, jika tidak, lebih baik dan bagusnya kita berdiam diri.

Dalam hal ini, baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita untuk bercakap pada yang baik sahaja. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.”

Imam an-Nawawi dalam Riyadhus Solihin, ketika beliau membahaskan hadis tersebut, beliau berkata:

“Hadis ini jelas sekali menunjukkan bahawa seseorang hendaklah tidak berbicara kecuali apabila perbicaraan itu adalah baik, iaitu hal yang telah jelas kemashalatannya (kebaikan).”

Amat malang sekali, apabila segelintir masyarakat kita ‘menormalisasikan’ budaya mencarut dan memaki hamun ini dengan menganggap ia sekadar hiburan lawak semata-mata.

Lebih menyedihkan lagi, segelintir para pendakwah menghamburkan kata-kata yang tidak elok ketika berceramah dan menganggap ia sebagai suatu kebiasaan bahasa bagi masyarakat setempat.

Hal ini tidak sepatutnya menjadi alasan lebih-lebih lagi perkataan itu keluar daripada mulut seorang ustaz yang sering menjadi rujukan dan contoh teladan pada masyarakat.

Mengungkap perkataan buruk dan keji bukanlah suatu hal yang boleh dianggap normal dalam masyarakat.

Sekiranya kita bantah dan tidak setuju dengan mereka yang cuba menormalisasikan budaya lucah dalam lawak dan sebagainya, maka kita juga perlu mengambil sikap dan pendirian yang sama membantah dan menolak budaya mencarut atau mengungkap perkataan buruk dan keji.

Sebagai seorang yang beriman, dirinya akan memastikan agar lidahnya selamat daripada hal yang buruk dan keji.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Musa al-Asy’ari dia berkata:

“Aku berkata : “Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama?” Baginda menjawab: “Orang yang kaum Muslimin selamat daripada lisannya dan tangannya.”

Hadis menjelaskan kepada kita bahawa sebaik-baik orang Islam itu antaranya adalah mereka yang memelihara mulutnya daripada perkara yang haram, termasuklah mencarut dan sebagainya.

Oleh yang demikian, agama ini sangat menuntut agar umatnya memelihara lidah daripada menuturkan perkara yang buruk dan keji.

Ini juga merupakan sebahagian besar mujahadah kita berlawan dengan emosi. Akibat bercakap dengan kawalan emosi yang buruk, maka akan terzahirlah perkataan dan ungkapan yang buruk lagi kotor.

Tanggapan bahawa perkataan kotor adalah bahasa biasa bagi masyarakat setempat merupakan cubaan untuk menghalalkan perbuatan bercakap kotor.

Usaha ini juga secara tidak langsung akan mendidik masyarakat melazimi menyebut perkataan yang buruk lagi keji ini. Walhal, Allah SWT tidak menyukai perkataan-perkataan yang buruk dan keji.

Dalam Surah an-Nisaa’ ayat 148, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Berdasarkan firman tersebut, sudah tentu sebagai orang yang beriman, pasti akan berusaha meninggalkan apa sahaja perkara yang dibenci oleh Allah termasuklah meninggalkan perkataan-perkataan buruk.

Betapa besar amanah Allah untuk para hamba-Nya, menjaga dan memelihara lidah daripada menutur hal yang buruk dan keji. Kita juga diingatkan dengan sebuah hadis riwayat Ahmad, ketika Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi bertanya kepada Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Wahai Rasulullah, katakanlah kepadaku suatu perkara yang dapat menjadi peganganku. Rasulullah SAW menjawab : “Katakanlah: Tuhanku ialah Allah, kemudian berlaku jujurlah.” Aku bertanya lagi : “Wahai Rasulullah, apakah yang paling ditakuti atas diriku?” Rasulullah memegang lidahnya, kemudian Baginda menjawab: “Ini.”

Segelintir manusia tidak sedar akan besarnya kesan daripada apa yang telah diungkapkan.

Sikap tidak berhati-hati ketika bercakap, mengungkap berdasarkan sentimen dan emosi, semua ini bakal membakar diri sendiri akibat keterlanjuran lidah yang bertutur. 

Barangkali di dunia kita boleh berikan seribu satu alasan bagi menghalalkan perbuatan tersebut, namun di akhirat kelak, kita akan dilondehkan oleh Allah SWT. Renungilah firman Allah dalam Surah Yasin ayat 65 yang bermaksud:

“Pada hari ini, Kami tutup mulut mereka; tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Oleh itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk menjaga dan memelihara lidah kita daripada menuturkan perkara yang buruk dan keji.

Sekalipun perkataan itu dianggap biasa oleh sebahagian kita, jangan kita jadikannya sebagai rutin kebiasaan dalam kehidupan. 

Nikmat lidah tidak bertulang ini adakalanya lebih berbahaya daripada pisau yang tajam. 

Kerana pisau yang tajam, zahirnya menakutkan. Namun lidah tidak bertulang, tanpa sedar, banyak dosa melaluinya. Semoga Allah mengampuni segala keterlanjuran kita selama ini.

 

Muhammad Faidhi Azis
Ketua Rakan Hidayah Perlis

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia