SERI KEMBANGAN – Hidayah Centre Foundation (HCF) Sarawak telah menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada Open University Malaysia (OUM) bagi menjayakan Program Sumbangan Berbuka Puasa Bersama Saudara Baru.
“OUM kini giat melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya dan sumbangan kepada HCF Sarawak adalah salah satu tanda sokongan kepada aktiviti kebajikan di Sarawak,” kata Pengarah Pusat Pembelajaran Kuching, Puan Hamimah Kipli.
Program yang telah diadakan pada 17 April 2022 di Dewan Majma Mall Kuching ini turut menampilkan kumpulan Hijjaz sebagai artis jemputan.
Sekitar 150 orang saudara baru telah hadir yang rata-ratanya mereka datang dari pelbagai tempat seperti Kuching, Samarahan, Padawan, Serian dan juga tempat yang lain.
Selain menyantuni saudara baharu melalui aktiviti berbuka puasa, HCF Sarawak juga turut mengagihkan dana bantuan kebajikan kepada mereka sepanjang bulan Ramadan ini.
Dalam pada itu, organisasi ini mensasarkan sumbangan sebanyak RM100,000 melalui penglibatan sektor awam dan swasta bagi menyokong usaha memberi pendidikan dan pemerkasaan kepada saudara baharu di Sarawak.
Hidayah Centre Foundation adalah pusat sokongan dan bimbingan saudara baru untuk menjadi Muslim yang sempurna. Sehingga kini, ia telah menyantuni seramai 500 saudara baru di sekitar Sarawak.
Saudara-saudara baharu yang disantuni terdiri mereka yang memerlukan bimbingan kerohanian, berhadapan dengan masalah keluarga dan memerlukan perlindungan sementara.
Untuk menyumbang kepada aktiviti sokongan dan bimbingan saudara baru oleh HCF, sila layari www.dahsedekah.com.
Lagi foto majlis sumbangan: Iftar HCF Sarawak 2022