Hari Nuzul al-Quran, peristiwa bersejarah Ramadan

Hari Nuzul al-Quran, peristiwa bersejarah Ramadan | IKRAM

Salah satu kemuliaan yang ada pada bulan Ramadan adalah berlakunya peristiwa Nuzul al-Quran yang membawa maksud penurunan al-Quran.

Hal ini sepertimana yang terkandung dalam firman Allah SWT melalui Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi pentunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan di antara yang benar dan yang salah.”

Perkataan Nuzul al-Quran berasal daripada bahasa Arab yang terdiri daripada dua perkataan, iaitu perkataan ‘Nuzul’ (نزول) dan ‘al-Quran’ (القرأن).

Perkataan ‘Nuzul’ membawa maksud menetap di suatu tempat atau turun dari tempat yang tinggi, manakala perkataan ‘al-Quran’ pula merujuk kepada maksud kitab yang diturunkan Allah secara berperingkat kepada Nabi SAW melalui malaikat Jibril, yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Penurunan al-Quran terbahagi kepada dua tahap utama. Tahap pertama, al-Quran itu diturunkan dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Baitul Izzah.

Tahap kedua, al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah kepada baginda Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun. Firman Allah SWT dalam Surah al-Buruj ayat 21 dan 22 yang bermaksud:

“(Sebenarnya apa yang Engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya ; (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.”

Berdasarkan firman ini, kita fahami bahawa al-Quran yang sebelum diturunkan itu sangat terpelihara kesucian dan keasliannya yang berada di Luh Mahfuz, di bawah peliharaan Allah.

Kemudian dari Luh Mahfuz, diturunkan ke langit dunia Baitul Izzah, yang kemudiannya diturunkan kepada baginda Nabi SAW secara berperingkat selama tempoh 23 tahun. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Qadr ayat 1 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar (Lailatulqadar).”

Para sarjana Islam berbeza pandangan dalam soal menentukan tarikh bilakah diturunkan al-Quran.

Pendapat yang sangat masyhur, adalah pada 17 Ramadan. Pendapat ini dipegang kuat oleh ulama sirah seperti Syeikh al-Khudhari. Pendapat ini juga berdasarkan kepada satu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Nabi SAW bermula pada hari Isnin, 17 Ramadan (dan dikatakan pada 24 Ramadan).

Riwayat ini seperti yang telah dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Kathir dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah yang bermaksud:

“Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadan.”

Ada pula yang berpendapat penurunan al-Quran berlaku pada 7 Ramadan dan 18 Ramadan. Kedua-dua pendapat ini seperti yang telah dinukilkan oleh Syeikh Safiyyur Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya, ar Rahiq al-Makhtum.

Pada masa sama, Syeikh Safiyyur Rahman juga telah membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan kedua-dua pendapat ini. Pada pandangan beliau, penurunan al-Quran berlaku pada 21 Ramadan.

Selain daripada itu, ada juga yang berpendapat penurunan al-Quran berlaku pada 24 Ramadan. Pendapat ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang dinilai hasan oleh Syeikh al-Albani, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadan, Injil diturunkan pada 13 Ramadan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (al-Quran) pada 24 Ramadan.”

Walau bagaimanapun, majoriti para ulama tafsir berpegang kepada riwayat Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitul Izzah di langit dunia pada malam Lailatulqadar dan ia diturunkan kepada baginda Nabi SAW secara beransur-ansur selama tempoh 23 tahun.

Hal ini juga berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 106 yang bermaksud:

“Dan al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya Engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat dan tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”

Al-Quran yang menjadi panduan hidup kita sebagai orang Islam ini telah wujud dengan sempurna di sisi Allah sebelum wujudnya dunia ini lagi. Ia terletak di Luh Mahfuz dan dibawa turun ke Baitul Izzah iaitu langit dunia.

Barangkali timbul persoalan, bagaimana boleh wujudnya al-Quran sedangkan peristiwa-peristiwa atau cerita-cerita yang termaktub dalam al-Quran belum berlaku lagi?

Bagi menjawab persoalan ini, kita haruslah tahu bahawa ilmu Allah itu tidak pernah terikat dengan masa dan zaman. Allah Azzawajalla tidak terikat dan tidak terlibat dengan sistem masa. Allah-lah yang menciptakan masa.

Oleh kerana itu, tiada yang mustahil bagi Allah untuk menyempurnakan al-Quran dengan menceritakan kisah peristiwa yang terdahulu, kini dan yang akan datang dalam al-Quran merentasi sistem masa yang Allah ciptakannya.

Demikian bagaimana peristiwa Nuzul al-Quran menjadi sebuah episod bersejarah bagi umat Islam dan seharusnya kita pada hari ini bukan sekadar menghiasi al-Quran di rumah-rumah, tidak sekadar meletakkan al-Quran di bibir kemudian dilagukan dengan pelbagai irama, bukan juga sekadar kita menjadi ianya sebagai lambang dan simbolik semata-mata.

Malah kita hendaklah kembali kepada intipati ajarannya yang mengajak, mendidik dan menyeru umat manusia mentauhidkan Allah, melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Semoga episod bersejarah ini tidak sekadar disambut kosong. Mudah-mudahan Allah berkati kita semua.

Muhammad Faidhi Azis
Pegawai Masjid dan Guru Takmir JAIPs

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia