Tular baru-baru ini bagaimana Will Smith telah menampar pelawak Chris Rock di pentas Oscar selepas beliau membuat jenaka tentang isteri Smith, Jada Pinkett.
Menyedari bahawa isteri Smith mengalami alopecia areata (sakit yang menyebabkan rambut gugur), Rock berkata, “Jada, saya menantikan GI Jane 2!”
Disebabkan insiden itu, Pinkett Smith menzahirkan rasa tidak senang dengan lawak yang dibuatnya.
Smith lantas naik ke atas pentas dan terus menampar Rock, sebelum kembali ke tempat duduknya sambil menjerit memberi amaran keras agar pelawak itu tidak menyebut nama isterinya.
Tidak sampai sejam selepas peristiwa tersebut, Smith telah dianugerahkan Anugerah Akademi kerana memainkan watak bapa kepada bintang tenis Venus dan Serena Williams dalam King Richard.
Ketika menerima anugerah itu beliau berkata, “Saya ingin meminta maaf kepada Akademi. Saya ingin meminta maaf kepada semua rakan penama saya.”
Seni meniru kehidupan
“Saya kelihatan seperti bapa yang gila, seperti yang mereka katakan tentang Richard Williams. Tetapi cinta membuatkan saya melakukan perkara gila itu. Seni meniru kehidupan.”
Setelah menerima anugerah, Smith berkata bahawa Richard Williams adalah pembela yang kuat untuk keluarganya dan beliau tentunya akan menjadi contoh sebagai lelaki yang menyayangi isteri dan melindunginya.
Jada Pinkett sebelum ini telah berkongsi bahawa dirinya mengalami penyakit rambut gugur.
Sejurus selepas insiden itu, Rock kelihatan terkejut dengan mengungkapkan kepada penonton, “Ini adalah malam yang paling hebat dalam sejarah televisyen,” dan kemudiannya menyerahkan anugerah Dokumentari Terbaik kepada pemenang.
Jenakanya merujuk kepada filem 1997 ’GI Jane’ yang mana pelakon Demi Moore membintanginya dengan kepala yang botak.
Smith letak jawatan
Susulan daripada kontroversi menampar muka pelawak Chris Rock pada 2 April lalu, Will Smith mengumumkan peletakan jawatannya daripada Akademi Seni dan Sains Filem (Oscar).
“Tingkah laku saya pada Anugerah Akademi ke-94 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan,” kata Smith dalam kenyataan peletakan jawatannya.
Tambahnya, senarai mereka yang terluka dengan apa yang berlaku adalah sangat panjang, termasuk Chris, keluarganya, kawan-kawan dan orang tersayangnya, semua orang yang hadir dalam anugerah itu dan penonton di seluruh dunia.
Perubahan perlukan masa
Beliau mengakhiri kenyataannya dengan berkata, “Perubahan memerlukan masa, dan saya komited untuk melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan dan tidak membenarkan keganasan mengatasi logik.”
Dalam pada itu, Presiden Akademi Seni dan Sains Filem, David Rubin berkata, beliau menerima peletakan jawatan Will Smith.
“Tetapi Akademi akan meneruskan tindakan disiplin terhadap bintang Hollywood tersebut.”
Chris Rock turut memberikan maklum balas ringkas insiden yang secara spontan berlaku semasa Oscar, semasa pertunjukan komedi berdiri di Boston Rabu lalu.
“Saya masih cuba menerima apa yang berlaku.”
Penonton turut meraikan pelawak itu dengan tepukan gemuruh sebaik sahaja dia memasuki pentas semasa penyertaannya dalam jelajah Ego Death.
Beliau memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Will Smith.
Isteri Smith, Jada Pinkett memecah kesunyian dengan menulis komen pada foto yang dihantar pada akaun Instagramnya dengan berkata:
“Ini adalah musim penyembuhan, dan saya di sini untuk itu.”
Kegananasan adalah beracun
“Keganasan dalam semua bentuknya adalah beracun dan merosakkan,” kata Smith dalam satu kenyataan di Instagramnya.
“Tingkah laku saya di Oscar pada malam itu tidak boleh diterima dan tidak wajar. Jenaka tentang saya adalah sebahagian daripada profesion, tetapi bergurau tentang keadaan perubatan Jada terlalu berat untuk ditanggung dan reaksi saya adalah emosi.”
Seterusnya Smith terus meminta maaf kepada Rock dengan berkata, “Saya telah melampaui batas.”
Beliau juga memohon maaf kepada Oscar dan keluarga Williams.
“Saya sangat kesal kerana tingkah laku saya telah merosakkan perjalanan yang indah untuk kita semua,” tulis Smith.
Sebelum permohonan maaf Smith, akademi itu berkata dalam satu kenyataan bahawa ia mengutuk tindakan pelakon itu.
“Kami secara rasmi telah memulakan semakan insiden itu dan akan mempertimbangkan tindakan dan akibat selanjutnya mengikut peraturan dalaman kami, standard kelakuan dan undang-undang California,” kata Akademi.
Namun setakat ini, Chris Rock tidak mengulas apa yang berlaku dan Jabatan Polis Los Angeles juga memberitahu kepada Variety bahawa Rock enggan membuat laporan polis.