SERI KEMBANGAN – Konvensyen Anjakan Paradigma pada Sabtu, 11 Disember ini bakal mengetengahkan tujuh topik penting berkaitan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Program sehari itu bakal menampilkan wakil-wakil OKU daripada pelbagai latar belakang, penjaga OKU (caregivers) serta penyelidik dan pakar berkaitan dengan pembangunan OKU,” kata Pengarah Konvensyen, Siti Aisyah Rozalli.
Jelas beliau, Konvensyen Anjakan Paradigma adalah salah satu program sempena Sambutan Bulan OKU anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Yayasan IKRAM Malaysia dengan kerjasama pelbagai NGO, yang berlangsung sepanjang Disember.
Menurutnya, konvensyen ini bertujuan mengetengahkan masalah dan cabaran semasa yang dihadapi oleh warga OKU.
“Ia juga bertujuan menimbulkan kesedaran kepada masyarakat, pemimpin masyarakat, kerajaan, badan bukan kerajaan akan kelompongan dalam pengendalian isu OKU yang perlukan anjakan paradigma.”
Ujar beliau, ramai yang serba salah bagaimana nak menyantuni rakan-rakan dalam kalangan OKU, mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan.
“Mereka pula jarang punya peluang untuk mendengar pendapat dan suara rakan-rakan OKU, menyebabkan mereka tidak tahu bagaimana untuk berkomunikasi dengan mereka.”
Jelasnya, kerana itulah pasukan Anjakan Paradigma, Pertubuhan IKRAM Malaysia berasa terpanggil untuk menganjurkan konvensyen tersebut.
Kata Siti Aisyah lagi, topik-topik yang bakal diketengahkan dalam Konvensyen Anjakan Paradigma ialah:
Simposium 1: Ketidakupayaan Tak Terlihat; ‘Fahami Kesihatan Mental’
Simposium 2: Kebolehcapaian OKU Terhadap Infrastruktur – Persekitaran Yang Mengupayakan
Simposium 3: Pembangunan Kanak-kanak OKU Melalui Pendidikan
Simposium 4: Akses OKU di Pendidikan Tinggi
Simposium 5: Forum : Kelesuan di Kalangan Penjaga OKU – Apa Solusi Kita
Simposium 6: Mental Health Warriors, The Unsung Heroes
Simposium 7: Care for Caregivers – Move to Relax
Lebih menarik tambahnya, konvensyen ini ada cabutan bertuah bagi para penonton yang mendaftar di pautan https://bit.ly/3kXgpp9.
“Konvensyen Anjakan Paradigma bakal dirasmikan oleh Pemangku Presiden Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM), Datin Paduka Khatijah Sulieman.”
Ucaptama konvensyen akan disampaikan oleh Presiden Malaysian Association of Rehabilitation Physicians, Profesor Dr Nazirah Hasnan yang juga Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya yang bertajuk ‘Kepimpinan dan Penglibatan OKU Ke Arah Dunia Pasca Covid-19 yang Inklusif, Boleh Capai dan Mampan’.
Konvensyen Anjakan Paradigma boleh disaksikan secara langsung di Facebook Pertubuhan IKRAM Malaysia dan Yayasan IKRAM Malaysia serta YouTube TV IKRAM.