Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung esok, Sabtu dan tempoh berkempen akan tamat pada tengah malam ini.
Bahang kehangatan kempen PRN Melaka tidak begitu ketara secara fizikal berikutan peraturan dan SOP yang ketat, namun ia amat meriah di alam maya.
Platform-platform media kini menjadi saluran utama kempen PRN Melaka. Namun, persoalan penting di sini bagi rakyat Melaka, siapa dan parti mana yang hendak dipilih esok?
Sudah pasti semua parti sama ada BN, PN, PH, Putra, IMAN atau Bebas sedang berhempas-pulas dan berusaha memenangi hati pengundi di kawasan-kawasan yang ditandingi.
Sebahagian pengundi Melaka tentunya telah membuat keputusan untuk memilih parti dan calon mana, dan sebahagiannya belum. Namun begitu, beberapa garis panduan umum memilih parti dan calon perlu diberi perhatian.
Kecenderungan pengundi kebanyakannya memilih parti mana lebih daripada siapa calonnya. Namun begitu, parti dan calon mana yang ingin dipilih bergantung kepada banyak faktor.
Sama ada BN, PN atau PH, semuanya sudah ada pengalaman mentadbir negeri. Prestasi kerajaan parti mana yang lebih baik berkhidmat, sudah pasti rakyat Melaka mengetahuinya.
Bagi calon-calon Ketua Menteri yang diumumkan oleh ketiga-tiga gabungan tersebut, faktor ini mungkin mempengaruhi trend pilihan pengundi, kerana rakyat secara umumnya sudah mengetahui prestasi dan sumbangan mereka, namun faktor parti calon tetap memberi pengaruh besar.
Isu nasional seperti kesihatan terutamanya pandemik Covid-19 kemungkinan besar banyak mempengaruhi keputusan PRN Melaka.
Pergolakan demi pergolakan politik yang berlaku agak mengganggu kestabilan negeri sehingga terpaksa menempuh pilihan raya pada musim Covid-19 dan berpotensi memberi kesan yang buruk kepada kesihatan rakyat.
Selain itu, isu-isu tempatan dan pembelaan golongan marhaen jika dapat dimanfaatkan dengan baik, boleh memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang memperjuangkannya.
Bagi calon-calon pula, aspek kompetensi, kewibawaan dan pengalaman berkhidmat dengan rakyat boleh menjadi nilai tambah dan peluang kepada mereka untuk memenangi kerusi.
Semoga rakyat Melaka dapat memilih parti dan calon yang benar-benar kompeten, cakna dan memperjuangkan nasib mereka, bukan yang sibuk bergaduh sesama sendiri, mengejar kuasa, projek dan juga harta.
Rakyat Melaka, selamat memilih!
Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.