Perutusan Hari Guru 2021 : Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu

 

بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

Kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi Azzawajalla di atas segala inayah wal hidayah wat taufiq-Nya SWT ke atas kita sehingga kini. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT dan mendoakan moga-moga perjalanan majlis ini diberkati-Nya – amin.

 

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah diberi peluang menyambut Hari Murabbi IKRAM Musleh 2021 walaupun dalam suasana pandemik COVID-19 yang sedang mengganas di tanah air.

 

Kita juga amat bersyukur kerana sistem pendidikan yang telah kita asaskan semenjak tahun 1982 bukan sahaja telah lebih mantap pengurusannya, bahkan ia terus berkembang dengan cemerlang dan mampu bersaing dengan sekolah-sekolah tersohor peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

 

Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan jazakumullah khairal jaza’ kepada semua yang terlibat, khususnya para muallimin dan muallimat, para pendidik, para murabbi murabbiah yang telah bertungkus lumus berhempas pulas menjayakan sistem pendidikan ini.

 

Moga-moga Allah SWT mengurniakan ke atas para murabbi ganjaran yang setimpalnya. Mudah-mudahan para murabbi akan terus dikurniakan kemampuan bagi memperkasakan lagi sistem pendidikan kita.

 

Para murabbi yang dikasihi,

 

Ummah memerlukan generasi yang menguasai ilmu, kerohanian yang kukuh, kepimpinan yang berwibawa, berdakwah dengan istiqamah, akhlak mulia yang akhirnya membawa kepada rahmatan lil alamiin kepada semua.

 

Namun, keadaan pandemik COVID-19 meletakkan cabaran-cabaran baharu dalam usaha kita membentuk generasi yang mempunyai ciri-ciri ini.

 

Dengan penutupan sekolah dan penerusan pengajaran dan pembelajaran di rumah melalui atas talian, kita telah tidak dapat memberi sentuhan pendidikan dan bimbingan secara bersemuka dalam menyampaikan ilmu, apatah lagi dalam pembentukan keperibadian anak-anak didik. Keadaan ini tentulah memberi impak yang besar dalam keberkesanan pendidikan anak-anak didik kita.

 

Sebagai guru murabbi, kita haruslah sentiasa positif dan berusaha menukarkan halangan dan cabaran menjadi peluang. Dalam Surah Yusuf ayat 67, Nabi Yaakub AS mengingatkan anak-anaknya supaya tidak menggunakan hanya satu jalan untuk masuk ke Mesir.

 

Dan ia berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan.”

 

Rasululullah SAW telah menerima pandangan Salman al-Farisi RA untuk membuat inovasi menggali parit ketika perang Khandak. Begitu juga sejarah menunjukkan Sultan Muhammad al-Fatih menggunakan inovasi ketika penaklukan Konstantinopel pada tahun 1453M dengan membawa kapal-kapal perang melalui jalan darat bagi mengatasi halangan rantai yang merentas selat Tanduk Emas.

 

Mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa di atas, kita juga perlu kreatif dan inovatif untuk mencari pelbagai kaedah dan pendekatan PdPR yang berkesan bagi mengatasi halangan dan mencapai matlamat pendidikan kita.

 

Para murabbi yang diraikan,

 

Sebenarnya Allah telah membuka peluang untuk kita berhijrah kepada pendekatan pendidikan dan PdP berasaskan teknologi digital, walaupun secara ‘terpaksa’. Penggunaan teknologi digital merupakan satu keperluan yang sangat asasi pada masa depan. Jangan kita persia-siakan peluang keemasan yang Allah telah berikan kepada kita ini.

 

Bersamalah kita menguruskan dan melaksanakan perubahan ini dengan gigih agar dapat memberi natijah yang kita perlukan. Jangan biarkan diri kita dalam keadaan dilema, konflik, ragu-ragu dan tidak menentu. Tingkatkan kemahiran dan penguasaan teknologi serta kreativiti kita.

 

Kajian oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah menunjukkan 36.9 peratus murid tanpa peranti di rumah. Kajian oleh NUTP juga mendapati antara masalah guru ialah kemudahan Internet, peranti dan peralatan komputer, kemahiran guru menggunakan aplikasi dan juga isu prasarana digital yang kurang memadai.

 

Sebenarnya, kita di IKRAM Musleh sejak beberapa tahun yang lepas, sebelum pandemik COVID-19 lagi telah meminta pihak lembaga dan pengurusan sekolah memberi perhatian terhadap perkara ini.

 

Keperluan ini tentulah lebih lagi meruncing apabila PdPR dilaksanakan secara berpanjangan seperti sekarang. Dalam kita berusaha membantu guru dengan melaksanakan sistem pembelajaran Al Bayen IKRAM Musleh secara pilot pada tahun ini, kita juga berhadapan dengan masalah yang serupa.

 

Maka kita berharap pihak pengurusan sekolah berusaha membantu guru dengan sebaik mungkin dengan menyediakan keperluan-keperluan ini. Fasiliti ini sudah menjadi keperluan asas sekolah.

 

Bagi para murabbi pula, untuk memastikan pembelajaran atas talian ini lebih berkesan, mengekalkan atau meningkat motivasi para murid adalah perkara utama. Di samping itu, kita perlu memastikan pelaksanaan PdP yang lebih interaktif. Penyampaian secara ‘ceramah’ perlu dikurangkan.

 

Sediakan lebih banyak peluang untuk berinteraksi dengan murid secara individu atau secara dalam kelas menggunakan pelbagai alat dan apps interaktif seperti Mentimeter, Kahoot, Padlet, Socrative, Quizzlet dan seumpamanya.

 

Bantu juga murid untuk mengurus masa dengan baik dengan membuat PdPR secara hibrid/campuran antara dalam talian dan tugasan kendiri, kerana mungkin suasana di rumah kurang kondusif untuk memberi fokus kepada pembelajaran.

 

Pemeliharaan kesihatan mental para murabbi dan murid juga harus diberi perhatian kerana perubahan kepada pendekatan dan PdP baharu ini juga boleh memberi tekanan kepada guru dan murid.

 

Tambahan pula, kajian telah menunjukkan terdapat peningkatan permasalahan kesihatan mental dalam kalangan murid seperti anxiety dan stress. Maka para murabbi yang menguruskan kesihatan mental murid, perlulah lebih dahulu memelihara kesihatan mental masing-masing.

 

Mudah-mudahan kita akan terus berkobar-kobar semangatnya, memainkan peranan besar dalam membangunkan sistem pendidikan Islam, melahirkan generasi rabbani justeru memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara dan ummah.

 

Semoga Allah SWT memberkati dan meredai usaha-usaha para pendidik semua, baik di sekolah atau dalam masyarakat.

 

Selamat Menyambut Hari Murabbi IKRAM MUSLEH 2021.

 

Jazakumullahu khairal jaza’.

 

Profesor Dr Omar bin Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia