Adalah sangat penting apabila umat Islam ingin membina sejarah baru, umat Islam perlu lahirkan daripada generasi ini yang mampu mendukung gagasan tersebut serta menjayakannya di medan perjuangan.
Kerana asal sahabat itu sebelumnya adalah jahiliah yang bermacam-macam seperti fikrah tidak betul, peribadi teruk, berperang sesama sendiri dan lain-lain. Tetapi Nabi SAW tetap berdakwah dan asuh mereka itu, menyusun dan melibatkan mereka dalam perjuangan.
Hubungan kita dengan umat ini adalah berlandaskan iman, persaudaraan dan hubungan perjuangan iaitu bukan sendiri-sendiri.
Sebagaimana Kaum Nabi Musa AS, ketika beliau mengajak membebaskan Baitul Maqdis dan umatnya menjawab:
قَالُوا يَا مُوسَىٰ إِنَّا لَن نَّدْخُلَهَا أَبَدًا مَّا دَامُوا فِيهَا ۖ فَاذْهَبْ أَنتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ
Mereka berkata: “Hai Musa, kami sekali sekali tidak akan memasukinya selama-lamanya, selagi mereka ada dalamnya, karena itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja.” (Al-Maidah: 24)
Berbeza dengan umat yang dididik pada zaman Rasulullah SAW, dengar sahaja Rasulullah pergi, mereka segera patuh dan ikut. Rasulullah SAW ajak, mereka sentiasa bersedia untuk mengikutinya.
Dan seperti itulah umat, hasil daripada tarbiah Rasulullah SAW, yang mana tentunya tidak akan berlaku jika bukan daripada asuhan Rasulullah SAW. Ketika sudah diasuh, mereka sudah faham, diatur, disusun dengan sebaik-baiknya seterusnya dilatih mendepani pertarungan-pertarungan yang berlaku.
Jadi, pada bulan Ramadan ini bukan hanya zikir, baca al-Quran, setakat itu sahaja. Dan apakah seterusnya? Adakah setakat itu sahaja?
Kita adalah umat risalah yang punya misi. Lantaran itu, umat Islam perlu ada big picture, iaitu gambaran yang besar terhadap misi yang sepatutnya dipegang.
Terutama sekali, ia perlu mengatur dirinya, kemudian menyusun kehidupan keluarganya, memperkemaskan kehidupan masyarakatnya, mengatur kehidupan negaranya, mengatur perjalanan dunia antarabangsanya, kerana itulah kerja umat Islam kini. Dan itulah kerja kita sebagai ‘خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ’ serta to lead them, iaitu memimpin, memandu mereka.
Seterusnya tugas kita menyebarkan dakwah ke seluruh alam kerana ini suatu tugas atau misi yang perlu dilaksanakan oleh negara Islam sebagai sebuah negara. Negara Islam adalah Daulah ar-Risaalah, negara yang mempunyai misi menyampaikan risalah ke seluruh dunia.
Kalaulah orang di Amerika, di Eropah masih kekal dalam kekufurannya dan kesyirikannya, kita sebagai umat Islam tetap bertanggungjawab ke atas mereka di depan Allah SWT kelak.
Oleh itu, betapa pentingnya umat Islam melibatkan diri dalam usaha-usaha perjuangan untuk memungkinkan kita berperanan sehingga di peringkat global, bukan setakat tempatan dan dalam lingkungan sahaja. Dan kita tetaplah melalui prosesnya.
Walaupun mungkin kita seperti sahabat Nabi juga:
من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه ۖ فمنهم من قضى نحبه ومنهم ينتظر ۖ وما بدَّلوا تبديلا
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (Al-Ahzaab: 23)
Golongan ini telah dibangunkan sebagai anak lelaki semuanya, tetapi golongan anak lelaki yang sodiq, mempunyai sikap yang benar, depan dan belakang kita, sama sahaja.
Tahap apa persediaan yang telah dilakukan terhadap Allah SWT?
Sebahagian daripada golongan ini, mereka telah mati tetapi ada sebahagian lagi yang masih menunggu giliran. Begitulah tamsilannya, yang pergi, pergilah. Yang tinggal atau generasi baru ini tetap teruskan menjadi penyambung lidah perjuangan ini, generasi demi generasi.
Umat Islam perlu memainkan peranan mengorak kedudukan Islam ini, berperanan memimpin dunia antarabangsa dan bukan setakat memimpin diri, keluarga, masyarakat serta negara sahaja.
Itulah yang kita perlu ingat daripada peristiwa berpuasa pada bulan Ramadan, takwa yang dikehendaki Allah SWT adalah yang ada impak kepada dunia dan lingkungan. Takwa itu adalah bekalan.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)
ۚوَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ
“…berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa..” (Al-Baqarah: 197)
Sebagaimana Saidina Umar al-Khattab RA berkata:
ليس بيننا وبين الله نسب الا تقوى
“Tiada hubungan antara kita dengan Allah SWT melainkan dengan takwa.”
Dengan adanya takwa pada diri seseorang itu, maka hubungannya dengan Allah berlangsung. Berbekalkan bekalan takwa, seseorang itu akan ada rasa takut kepada Allah SWT, yang mana akhirnya ia melaksanakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan segala yang dilarang-Nya.
Ia melaksanakan tugasan-tugasan yang sepatutnya pada diri, keluarga, lingkungan masyarakat, negara dan dunia. Setiap umat Islam perlu jelas dengan kedudukan tersebut, selain yang utamanya kita semua punya peranan dalam membangunkan kehidupan ini.
Sebab itu sahabat Nabi SAW diasuh bagi mengangkat kualiti mereka kepada yang lebih tinggi. Walau permulaannya sedikit, semakin lama kuantitinya semakin bertambah setelah hijrah dan usaha-usaha dakwah Rasulullah SAW yang tidak pernah berhenti.
Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam juga perlu sedemikian, melaksanakan sedikit demi sedikit, seterusnya berkembang dengan berlakunya tindakan strategik yang mana akhirnya makin membesar. Termasuk dalam urusan tersebut adalah peningkatan daripada sudut kualiti.
Sebagaimana Saidina Umar menyebutkan ketika ‘Amru bin al-As yang waktu itu sebagai panglima Mesir memintanya mengirim bantuan seramai 5,000 tentera bantuan. Saidina Umar menjawab, cukup aku hantar lima orang ini yang kualitinya menyamai 5,000 orang.
Tentunya kita sebagai umat Islam inginkan sedemikian dengan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan, pemikir, perancang strategik, panglima tentera yang mempunyai strategi serta keupayaan dan kemahiran yang dimiliki mereka cukup, walaupun sedikit.
كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ
“… Berapa banyak golongan yang sedikit telah dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah…” (Al-Baqarah: 249)
Biar sedikit tetapi memiliki pelbagai kemahiran dan dapat dimanfaatkan semua. Dalam sejarah Islam, satu peperangan yang masyhur yang berlaku antara tentera Islam yang dipimpin Malik Shah pada zaman Imam al-Ghazali.
Tentera Islam hanya 7,000 orang sahaja, manakala tentera Rom melebihi 100,000 orang. Tentera Islam adalah tentera yang kuat pada waktu itu. 7,000 tentera berkuda tersebut sedang meronda sempadan, hingga sampai pada suatu kawasan, tentera Rom sudah menanti dan telah termasuk dalam perangkap tentera Islam. Tentera Rom mendapat arahan daripada maharajanya supaya menyerah kalah.
Dalam istilah peperangan Islam tiada kata menyerah kalah itu. Jadi Tentera Islam mengajak tentera Rom berdamai, namun mereka tidak mahu. Maka berlakulah perang kerana mereka tidak mahu tunduk. Pimpinan tentera Islam mengarahkan tentera Islam agar semuanya ‘pakai kafan’, iaitu maksudnya mereka tekad merebut syahid semuanya.
Maka berlakulah pertempuran itu. Dan tentera Rom majoritinya terbunuh dan hanya tinggal 100 orang sahaja, manakala tentera Islam seramai 7,000 orang itu semuanya tetap kekal.
Begitulah pertarungan yang berlaku yang mana akhirnya tentera Islam menang walaupun hanya sedikit. Dan termasuk yang ditawan itu maharaja Rom, maka pemimpin tentera Islam mengatakan, “Aku sudah tawarkan perdamaian, tetapi engkau tidak mahu dan memilih perang.”
Akhirnya ia dilepaskan untuk kembali ke negaranya. Tetapi di tengah-tengah perjalanan, tenteranya yang berbaki lebih kurang 100 orang itu membunuhnya.
Inilah yang kita kehendaki dengan semangat daripada Ramadan, ia akan terus memalu semangat untuk istiqamah dengan pelbagai inisiatif bagi membolehkan peribadi ini menguat, keazaman diri semakin teguh, penglibatan dalam perjuangan untuk mengangkat kedudukan umat ini bertambah kuat.
Perlu kita ingat, sejarah itu dapat kita cipta pada masa depan melalui usaha-usaha perjuangan yang sebenarnya. Sebagaimana sejarah Nabi SAW berlaku dalam tempoh 23 tahun sahaja hingga membawa perubahan besar kepada sejarah dunia.
Selepas dua tahun kewafatan Nabi SAW di bawah pemerintahan khalifah Abu Bakar, kuasa dunia waktu itu Roman dan Parsi, jatuh, kalah, tewas berdepan dengan tentera Islam. Tentera Roman di Yarmouk, tentera Parsi di al-Qadisiyyah.
Sebab itulah Maharaja Hercules (Roman) selepas tewas di Yarmouk berkata: “Selamat tinggal, selamat tinggal Syam. Selamat tinggal yang tidak akan kembali selepasnya.”
Tentera Islam yang seramai 40,000 orang mampu menewaskan 240,000 tentera mereka itu, bagaimana kedudukan itu kita dapat saksikan?
Tentunya tentera Islam itu bukan tentera yang sembarangan. Dalam peperangan Mu’tah pula, tentera Islam hanya 3,000 sahaja. Tetapi di bawah pimpinan Khalid al-Walid, tentera Islam dapat menewaskan tentera Roman.
Perlu juga diketahui, apa yang dilakukan tentera Islam yang lain, seperti di al-Qadisiyyah, peperangan yang berlaku selama tiga hari tiga malam, hinggakan bantuan datang daripada Syam yang dipimpin oleh panglima Dham Dham.
Beliau melepaskan tentera Islam sebanyak 100 orang dalam barisan seramai 7,000 orang itu, hinggakan tentera Parsi terkasima melihat ramainya tentera Islam yang baru sampai tidak henti-henti, hingga menggusarkan mereka.
Demikianlah yang mereka telah perolehi daripada Islam yang sebenar iaitu iman, keberanian, serta usaha-usaha untuk merubah sejarah. Dunia itu milik kita. Sejarah itu adalah masa depan yang ditentukan oleh umat Islam.
Justeru, kembalilah umat Islam berperanan merealisasikannya. Dan itu tidak akan terjadi jika kita tidak menyusun diri dan membangunkannya sebagaimana yang telah dilakukan oleh Nabi SAW dulu. Saidina Umar pernah menyebutkan:
لا يصلح آخر هذه الأمة إلا بما صلح به أولها
“Tidak akan baik akhir umat ini melainkan apa yang telah membaikkannya di peringkat awal dulunya.”
Sebagaimana asalnya dulu, al-Quran telah menyebutkan:
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah: 2)
Tentunya sebelum itu dibekalkan dengan ilmu pengetahuan. Dengan ilmu, kesedaran, kefahaman, pengetahuan, kepakaran, kebijaksanaan hingga boleh meletakkan seseorang itu sebagai thinker, policy maker.
Nabi SAW mengangkat sahabat begitu. Bukan hanya memilki kesedaran sahaja, tetapi itulah kedudukannya. Dan sangatlah perlu umat Islam membangunkan thinker dan policy maker ini, sebelum membangunkan negara ini. Bagaimana kita ingin membangunkan negara ini? Tentulah dibangunkan dengan usaha-usaha daripada golongan think tank ini.
Sumber: Taujihat Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad sempena Perhimpunan Ramadan IKRAM Kuala Lumpur (PERAWI 2019) pada 25 Mei 2019.
Baca Siri 1: http://bit.ly/umat-terbaik1