Kerap imam mengingatkan kita sebelum mengangkat takbiratul ihram:
صلوا صلاة مودع
“Solatlah kamu seumpama solat yang terakhir.”
Dengan itu, ia akan menambahkan rasa kekhusyukan dan kesungguhan seseorang untuk menyempurnakan solat itu jika itulah solat yang terakhirnya. Begitu juga terdapat hadis yang menyebut:
من كان آخر كلامه لاإله إلا الله دخل الجنة
“Sesiapa yang akhir kalimahnya menyebut ‘La ilaha ilallah’, dia akan memasuki syurga.” (HR Ahmad, Abu Daud & Thabrani)
Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengatakan:
“Kenapa kalimah La ilaaha illallaah di akhir itu begitu besar ganjarannya berbanding La ilaaha illallaah di waktu yang lain? Ini kerana apabila ucapan itu merupakan ucapan terakhir, maka ia dilafazkan dengan penuh keikhlasan dan kesucian hati dan tidak ada lagi niat untuk kembali kepada perbuatan dosa dan maksiat.”
Andai ini Ramadan terakhir
Dengan itu, kalaulah Ramadan ini seseorang itu berfikir sebagai Ramadan yang terakhir bagi kita, maka sudah tentu kita akan lebih menghargai setiap saat dan setiap detik yang berlalu pada bulan ini.
Guru Imam al-Ghazali mengingatkan bahawa seseorang itu akan bersungguh-sungguh dan tidak akan bertangguh beramal apabila ia tidak mempunyai angan-angan yang panjang, iaitu ia merasakan boleh hidup lama lagi.
Tetapi guru beliau itu berada di suatu tahap yang tinggi sekali merasakan hal itu sehingga menyatakan bahawa saat yang berlalu telah pun berlalu, dan saat yang kita bernafas sekarang sedang dinikmati dan nafas yang berikut itu belum pasti. Begitulah tingginya kesedaran guru beliau tentang angan-angan hingga nafasnya pun dijadikan ukuran.
Bagaimana kita? Mungkin kita merasakan 20 tahun lagi baru akan ternoktahnya hidup ini, kerana angan-angan kita itu bukannya nafas. Sebagai contohnya, mungkin kita pernah dengar ada yang menyatakan, “Ikut umur keluarga saya, 20 tahun lagi boleh hidup.”
Itulah sebabnya seseorang itu banyak bertangguh dan tidak bersungguh-sungguh kerana mengandaikan hidup ini masih lama. Ia sama juga seperti kehadiran tetamu yang mengatakan sebulan lagi akan bertamu ke rumah, maka seseorang itu tidak akan tergopoh-gapah bersiap sedia. Tetapi jika ia kata, dua jam lagi akan sampai, tentu kita akan utamakannya daripada kerja-kerja yang lain.
Demikian juga kehadiran malaikat maut dan juga mati. Sekiranya seseorang itu pendekkan angan-angan dan andaian, tentunya seseorang itu akan lebih cepat dan menghargai masa yang ada ini.
Andainya Ramadan ini Ramadan yang terakhir, sebagaimana yang diucapkan Almarhum Ustaz Abu Hasan Din al-Hafiz, tetapi Ramadan beliau yang terakhir adalah yang tahun lalu, 2018, bukan tahun ini (2019).
Dan sesungguhnya itu adalah pengajaran untuk kita semua. Walaupun mungkin harapannya itu adalah untuk tahun ini, namun semua itu tidak tercapai.
Ini penting dalam menimbulkan kesungguhan beramal sebagaimana Allah SWT menyatakan, puasa itu tujuannya takwa, ( لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ) hanya beberapa hari ( أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ).
Sekarang ini jika kita melalui laluan lebuh raya, kita akan dapati papan tanda mengenai pelbagai tawaran, yang di sana sudah pasti ada tarikhnya, dari bila sehingga bila, sebagai contoh dari 5 Mei hingga 10 Mei, ‘Sale’.
Yang mana tidak ada tawaran jualan sepanjang tahun, tetapi bertempoh tertentu. Begitulah dengan Ramadan, Allah hadirkan dengn tawaran ‘beberapa hari’ untuk hamba-Nya isi sebaik mungkin. Namun berapa ramaikah yang mengambil peduli?
Yang peliknya, jika ada ‘offer’ yang bersifat duniawi contohnya pelancaran tudung baru, mereka akan bermalam di depan kedai dan berebut-rebut menjadi pembeli pertama tudung baru tersebut.
Namun, adakah orang berebut-rebut untuk berburu kelebihan Ramadan? Sedangkan ia adalah “… hanya beberapa hari..” dan ia berlalu begitu pantas tanpa disedari.
Seringnya apabila dua atau tiga hari lagi, seseorang itu akan merasakan betapa cepatnya hendak raya, dan dari situ mula wujud penyesalan pada diri, kerana Ramadan akan meninggalkan kita. Apatah lagi di akhirat nanti akan menjadi lebih menyesal kerana di sana nanti akan dilihat suasana di Mahsyar, penghisaban.
Sebagaimana Allah SWT menyatakan:
كَأَنَّهُمْ يَوْمَ يَرَوْنَهَا لَمْ يَلْبَثُوا إِلَّا عَشِيَّةً أَوْ ضُحَاهَا
“Pada hari mereka melihat hari berbangkit itu, mereka merasa seakan-akan tidak tinggal (di dunia) melainkan (sebentar) di waktu petang atau pagi hari.” (An-Naazi’aat: 46)
Di akhirat nanti kita akan merasakan demikian, merasakan hidup pada waktu pagi atau petang sahaja. Cukup pengalaman kita di dunia ini, sudah terjadi.
Jika seseorang itu memikirkan saat kelahiran hingga ke detik sekarang ini, tentunya dalam waktu 20 minit, boleh habis semua cerita. Apatah lagi di akhirat sana, semuanya hanya beberapa saat sahaja.
Ketika itu, sekalian manusia akan menyesal sangat-sangat setiap minit yang dihabiskan dalam kehidupan mereka, khususnya di bulan Ramadan yang banyak kelebihan ini, tanpa dimanfaatkan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ganjaran-Nya.
Jerat syaitan dan nafsu
Sudah tentu kesan daripada bisikan syaitan dan pengaruhnya selama sebelas bulan itu sedikit sebanyak mempengaruhi manusia, kerana nafsu itu adalah musuh dalam selimut yang mejadi teman kepada syaitan. Berdepan dengan syaitan ini memang satu masalah, kerana dia melihat kita (manusia), kita tidak dapat melihat dia.
Yang keduanya dia ‘full timer’, menyerang manusia ini siang dan malam. Dan manusia ini, banyak kerja lain seperti buat langsir, buat kuih raya, tukar tayar, tukar minyak hitam dan bermacam-macam lagi. Tetapi dia (syaitan) hanya satu projek sahaja iaitu menyesatkan manusia, siang dan malam tanpa henti.
Selain itu, dia tidak pernah lupa bahawa manusia ini adalah musuhnya. Tetapi kita sebagai manusia yang sering lupa bahawa dia adalah musuh kita. Dia ada teman dalam diri manusia ini, yang membantunya iaitu nafsu.
Sebab itu, untuk berdepan dengan syaitan ini, hanya bergantung dan meminta kepada Allah SWT sahaja. Sia-sia seseorang itu melawannya, tetapi kita perlu minta Allah tolong, hinggakan ketika hendak membaca al-Quran pun, seseorang itu perlulah meminta pada Allah agar diberikan kekuatan.
فإذا قرأت القرآن فاستعذ بالله من الشيطان الرجيم
“Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.” (An-Nahl: 98)
“Jangan beramal,” kata syaitan. “Tidak perlulah berbuat amalan kerana semuanya itu sunat sahaja,” ditambah pula jika seseorang itu mengaji Usul Fiqh, sunat itu jika dikerjakan mendapat pahala, jika ditinggalkan tidak dapat dosa.
Dari sudut penyucian jiwa, sunat itu jika dikerjakan mendapat pahala, jika ditinggalkan rugi. Jangan sesekali fikir, jika ditinggalkan tidak mengapa.
Seseorang itu perlu berfikir bahawa amal ibadah sunat itu ditinggalkan bukan tidak apa-apa tetapi jika ditinggalkan, seseorang itu akan menyesal dan merasa rugi, apatah lagi yang fardu dan yang wajib.
Sekiranya seseorang hamba itu diberikan taufik, ia akan berkata kepada nafsunya: “Wahai nafsu, aku perlukan bekalan untuk kembali kepada Allah untuk akhirat.” Maka tentunya ia berkeinginan untuk beramal.
Dan ketika itu datang pula perangkap kedua: “Ya, kamu perlu beramal, tetapi bukan sekarang. Kamu masih muda. Kamu boleh hidup lama lagi. Datuk kamu pun masih hidup. Takkan kamu nak mati dulu daripada datuk nenek kamu? Tunggulah lepas berumah tangga. Tunggulah lepas ada anak dan semua berjaya, bersara dan sebagainya.”
Sekiranya seseorang hamba itu mendapat taufik daripada Allah, ia akan berkata: “Wahai nafsu, aku perlu lakukan sekarang. Aku tidak boleh bertangguh kerana ajal maut bukan di tangan aku tetapi ketentuan Allah SWT. Aku tidak tahu bilakah aku akan mati, maka aku perlu lakukan sekarang juga.”
“Baiklah. Buatlah,” jawab nafsu.
Maka dilakukanlah olehnya dengan rasa gangguan oleh urusan itu dan ini sehingga seseorang itu melakukannya dengan tidak sempurna, dilaksanakan dengan gopoh-gapah, membaca al-Quran dengan tidak sempurna, solat, rukuk, sujudnya tidak sempurna.
Di mana khusyuk dan keikhlasannya? Buat seperti melepaskan batuk di tangga, dengan tidak ada rasa ‘khauf’ (takut) dan ‘rajaa’’ (mengharap).
Ketika berbuka puasa pula, tiada rasa takut dan harap apabila melihat juadah-juadah yang lazat di depan mata. Ia merasakan tidak kisah apa yang terjadi terhadap puasanya.
Sedangkan para ulama telah mengingatkan kita, “Setiap ilmu itu perlu melalui tiga perkara, iaitu perlu diamalkan, amalan itu perlu disempurnakan, berharap diterima Allah SWT.”
Nabi Ibrahim alaihissalam selepas membina Kaabah pun berdoa (Al-Baqarah: 127):
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Itulah perbuatan Nabi yang membina masjid, masih mengharap dan berdoa: “Ya Allah, terimalah amalan hamba-Mu ini.”
Perasaan takut bahawa puasa itu tidak diterima, bimbang itu akan mendorong seseorang hamba itu melaksanakan fardu, amal dengan sebaik-baiknya, sesempurna mungkin kerana amal yang sempurna itulah yang layak mendapat kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Melakukan ibadah bukan ikut suka kita, tetapi ikut apa yang Allah dan Rasul-Nya suka kerana dengan cara itu, ia akan diterima oleh Allah SWT. Jika tidak, sekurang-kurangnya seseorang itu bertaubat, beristighfar kepada Allah SWT serta mengharapkan Dia menerimanya.
Kemudian, kalau seorang hamba tadi itu telah diberikan taufik, lalu ia pun berkata: “Tidak, saya perlu melakukan ibadah ini dengan sempurna, jika tidak, ia tidak diterima Allah.”
Elak kemurkaan Allah
Anak Nabi Adam alaihissalam, kedua-duanya berkorban. Yang seorang berkorban sambil lewa, dan seorang lagi bersungguh-sungguh. Lalu yang bersungguh-sungguh itu Allah SWT terima amalannya, korban si Habil yang Allah terima.
Peristiwa itu mengajar dan mengingatkan kita sebagaimana sabda Nabi SAW:
كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
“Berapa ramai orang yang berpuasa, ia tidak dapat apa-apa daripada puasanya, melainkan lapar dan dahaga.” (HR An-Nasa’i)
Adakah itu yang kita mahu, mendapat lapar dan dahaga? Tidakkah kita bimbang akan puasa ini tidak diterima-Nya? Naudzubillahi min dzalik.
Ketahuilah, perkara yang paling bahaya bagi kita sebenarnya adalah kemurkaan Allah. Kalau Allah murka, tiada siapa yang dapat menghalangnya.
Anak Nabi Nuh alaihissalam berkata kepada ayahnya ketika Nabi Nuh mengajak anaknya naik ke atas bahtera (Nuh: 42-43):
يا بني اركب معنا
“Wahai anakku, marilah naik bersama kami.”
قال سآوي الى جبل يعصمني من الماء
“Aku akan naik bukit, ia akan menyelamatkan aku daripada air.”
Maka, kita perlu ingat bahawa jika Allah SWT murka, tiada siapa yang boleh terlepas. Ia amat dahsyat dan tiada siapa yang dapat menanggungnya.
Jadi, jangan main-main dengan kemurkaan dan seksaan Allah. Memang ia sangat dahsyat, agar nafsu hamba-Nya takut setakut-takutnya, gerun kerana tiada siapa yang boleh lepas dan mampu menanggung seksaan-Nya.
Takwa itu ialah memelihara diri daripada bahaya. Jadi, kita perlu lahirkan setiap hari bahawa bala yang paling besar ialah kemurkaan Allah.
Sebab itu disebutkan, takwa itu melaksanakan perintah Allah, meninggalkan larangan Allah, tidak mengikut hawa nafsu dan juga syaitan kerana semua itu membawa bahaya kepada diri seseorang itu, dengan kata lain, menzalimi diri dengan melakukan pelanggaran yang sudah ditetapkan Allah.
Dalam Islam, terdapat konsep zalim terhadap diri sendiri iaitu apabila seseorang itu melanggar perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Maka, perlulah diingat bahawa nafsu ini perlu diingatkan selalu.
Sabar mendapatkan syurga
Ramai yang berlumba-lumba mencari produk awet muda, mencari ubat-ubat atau suplemen untuk sihat, menginginkan tempat percutian yang mendamaikan, hotel lima bintang yang mana semuanya disediakan, ketika makan ada yang menghidangkan, disendukkan, layanan-layanan yang istimewa, lazat-lazat dan ramai juga yang tidak mahu mati dengan memakan ubat-ubat tertentu, kononnya.
Sebenarnya segala keinginan itu Allah SWT telah sediakan, ada dalam syurga-Nya. Insya-Allah, mereka yang menginginkannya akan dapat dengan syarat mengikuti segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya serta perlu bersabar sedikit untuk menuju ke destinasi itu.
Apabila masuknya Ramadan, seseorang itu menghayatinya sebagaimana ayat:
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka Allah ampunkan dosanya yang lalu.” (HR Bukhari & Muslim)
Jadi, kita perlu timbulkan rasa ingin itu sebagaimana tiap-tiap malam dalam mukadimah witir, imam ada membacakan:
وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ
“Dan akhirat itu lebih baik dan lebih dekat.” (Al-A’laa: 17)
Sebab itu pada bulan Ramadan ini, umat Islam digalakkan banyak berdoa meminta syurga.
اللهم إنا نسألك رضاك والجنة ونعوذ بك من سخطك والنار
“Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu akan keredhaan-Mu serta syurga, dan kami berlindung dengan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan api neraka.”
Dengan mengingati hari akhirat itu, balasan-balasan yang akan diberikan Allah, dengan berdoa bersungguh-sungguh, maka kita akan dapatkan dengan bersungguh-sungguh, tentunya nafsu boleh diredakan dan keinginan itu boleh ditundukkan.
فاصبر لحكم لربك
“Oleh itu, sabarlah kamu menerima perintah Tuhan-mu…” (Al-Insaan: 24)
Allah perintahkan kita sabar, kerana balasan akhirat itu, kerana usaha-usaha kita di dunia ini dan dengan sebab kesabaran diri kita.
Jaga tujuh anggota
Justeru, untuk meningkatkan kualiti puasa, umat Islam perlulah menjaga tujuh anggota ini supaya tidak menjadi sumber laluan kekotoran jiwa yang tidak menghasilkan takwa.
Dalam kitab Penawar Hati karangan Syeikh Abdul Qadir al-Mandili (kitab jawi tua) mengatakan:
“Hati ini ibarat kolam yang bersih, terdapat tujuh saluran ke kolam itu. Jika saluran itu kotor, air dalam kolam itu akan kotor. Jika mahu dibersihkan, saluran itu perlu ditutup dahulu dan disalurkan air yang bersih. Demikianlah hati, saluran yang membawa kekotoran pada hati itu ada tujuh iaitu mata, telinga, lidah, tangan, kaki, perut dan kemaluan.”
Dosa-dosa sering tercipta melalui tujuh tempat itu.
قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم
“Katakanlah kepada orang mukminin supaya menundukkan pandangan mereka…” (An-Nuur: 30)
Antara anggota manusia yang paling aktif adalah mata kerana saluran itu jika tidak ditutup, akan mendatangkan dosa dan akan memberi kesan titik hitam pada hati.
Selain itu, di bulan Ramadan digalakkan membaca al-Quran kerana al-Quran itu, apabila kita membacanya, ketujuh-tujuh saluran itu fokus membawa kesucian kepada jiwa.
Mata melihat al-Quran, telinga mendengar bacaan al-Quran, lidah membaca al-Quran, tangan memegang al-Quran, badan mengadap kiblat dan semua saluran itu menjurus kepada penyucian jiwa, saluran-saluran itu dibersihkan dan kolam-kolam itu menjadi bersih dengan taubat dan istighfar.
Mudah-mudahan dengan Ramadan ini, dosa-dosa kita diampunkan-Nya.
Sumber: Tazkirah khas Ramadan oleh Konsultan Tarbiah IKRAM, Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Shahar kepada kakitangan Ibu Pejabat IKRAM, Rabu, 15 Mei 2019.